Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada menerima aduan berkenaan pasang audio bacaan al-Quran sebelum solat jumaat ada jemaah terganggu untuk solat-solat sunat. Namun, AJK masjid menyatakan:

  1. Tidak boleh puaskan hati semua orang
  2. Masjid lain juga buat
  3. Kata putus tidak perlu dibincangkan lagi

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ‎

Maksudnya:Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

(Surah al-Hijr: 9)

Kata Imam al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini: al-Zikr adalah al-Quran. Kata beliau lagi: Dan Kami (Allah) sangat memeliharanya daripada sebarang tokok tambah sebarang kebatilan yang bukan daripadanya. Ataupun dari sebarang kekurangan daripadanya dari sudut hukum-hakam, hudud, serta kefardhuan-kefardhuannya. (Lihat  Jami’ al-Bayan, 17/68)

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran sepertimana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka’ab al-Qurazi menyebut, aku mendengar daripada Abdullah bin Mas’ud RA berkata, Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.”

 Riwayat al-Tirmizi (2910)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2473: Bacaan al-Quran Menggunakan Pembesar Suara Sebelum Subuh[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan masalah ini khilaf dalam kalangan ulama. Oleh kami nasihatkan, isu ini perlu dilihat dari sudut uruf setempat. Sekiranya dengan memasang audio Quran itu sehingga mengganggu para jemaah yang lain, maka sebaiknya tidak perlu agar kesemua para jemaah boleh untuk beribadat secara selesa. Hal ini sepertimana sepertimana teguran Rasulullah SAW kepada para sahabat. Diriwayatkan daripada Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), Baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran). Lalu Baginda mengangkat langsir dan bersabda: ‘Ketahuilah, setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.”

Riwayat Abu Dawud (1332) dan Ahmad (11896)

Suka kami syorkan agar urusan masjid terutamanya sebarang bentuk tindakan perlulah dilaksanakan secara berhemah dan berhikmah. Hal ini akan menatijahkan rasa keselesaan kepada semua jemaah atau kebanyakannya dan ini membawa kebaiakan kepada semua.

Saat yang sama, perlunya sifat meraikan berdasarkan nas di atas kerana matlamat kita di masjid semua jemaah mampu beribadat denagn seselesanya tanpa sebarang gangguan. Sebagai contoh, ada yang ingin mengaji al-Quran tetapi memperlahankan suaranya, ada yang ingin berzikir tetapi memperlahankan zikirnya, ada yang ingin berselawat tetapi memperlahankan selawatnya. Sehingga konsep rai-merai membawa kepada kebaikan kepada semuanya.

Seperkara lagi, amat perlu masing-masing nasihat-menasihati dalam bentuk kebenaran dan kesabaran serta berhikmah. Hal ini selaras dengan firman Allah SWT:

 وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ

Maksudnya: “Berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

(Surah al- ‘Asr: 3)

وأوصى بعضهم بعضا بلزوم العمل بما أنزل الله في كتابه من أمره واجتناب ما نهى عنه فيه

Maksudnya: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam KitabNya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarangNya. (Lihat Tafsir al-Tabari, 24/590).

Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah:

وأوصى بعضهم بعضا بالصبر على العمل بطاعة الله

Maksudnya: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah” (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2473-bacaan-al-quran-menggunakan-pembesar-suara-sebelum-subuh/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply