Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah muntah itu najis? Adakah ada perbezaan dari segi hukumnya antara muntah bayi atau budak kecil dengan muntah dewasa? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan muntah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, muntah adalah keluar kembali daripada mulut (barang yang dimakan dan lain-lain). Dalam erti kata lain, muntah adalah mengeluarkan apa yang ada di dalam mulut.[1] Dalam bahasa Arab ia dipanggil sebagai al-Qai’ (القَيْءُ) iaitu makanan yang keluar selepas masuk ke dalam perut. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/85).

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahaskannya dengan bahagikannya kepada dua keadaan iaitu:

Keadaan Pertama: Muntah itu keluar dari perut dalam keadaan sudah berubah sifatnya daripada sifat makanan (asalnya); dari segi rasa, warna dan bau.

Jumhur ulama dalam kalangan salaf dan khalaf berpendapat, ia adalah najis. Di antara mereka ialah Imam empat mazhab, al-Zahiriyyah, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim dan ramai lagi. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 1/60; Mughni al-Muhtaj, 1/79; Syarh Muntaha al-Iradat, 1/102).

Mereka berhujah mengenai perkara tersebut dengan mengiyaskannya ke atas tahi. Hal ini kerana muntah telah berubah dalam perut menjadi benda yang rosak dan busuk, maka demikianlah kedua-duanya iaitu sama ada makanan atau minuman, keluar dari perut.

Ini sebagaimana dinukilkan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (34/86) mengenai hujah ulama Syafi‘iyyah, di mana mereka berpendapat, muntah tetap najis sekalipun tidak berubah sifatnya apabila telah sampai ke bahagian perut lalu termuntah keluar. Contohnya, jika seseorang meminum air lalu memuntahkan kembali air itu, tanpa ada perubahan apa-apa pada air tersebut, maka tetap dikira najis. Ini kerana fungsi perut adalah tempat berlakunya perubahan. Makanan dan minuman yang asalnya adalah suci, berubah menjadi tahi apabila melalui perut, maka perut ialah tempat makanan menjadi busuk dan rosak. Justeru, muntah itu najis sama seperti tahi.

Selain itu, Ibn Qudamah juga ada menyebutkan, muntah adalah najis kerana ia adalah makanan yang telah berubah dalam perut, menjadi benda yang rosak, maka ia menyerupai tahi. (Lihat al-Kafi, 1/153).

Begitu juga Ibn Hazm turut menyebutkan, muntah daripada setiap Muslim atau kafir adalah haram dan mesti dihindari. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW: “Sesiapa yang mengambil semula hadiahnya (pemberiannya), maka seperti seekor anjing yang mengambil semula muntahnya.”[2] (Lihat al-Muhalla, 1/191).

Selain daripada itu, Ibn Taimiyyah menyatakan, muntah adalah najis kerana Nabi SAW pernah muntah, kemudian Baginda berwuduk, dan (wuduk itu pula)  sama ada ia bermaksud membersihkan tangannya atau berwuduk syar‘i. Hal ini kerana hal tersebut tidak akan berlaku melainkan daripada najis. (Lihat Syarh ‘Umdah al-Fiqh, 1/108; Majmu‘ al-Fatawa, 21/597).

Abu al-Fadhl al-Mausili menyebutkan, semua yang keluar dari tubuh badan manusia yang memerlukan penyucian, maka kenajisannya adalah dikira besar seperti tahi, air kencing, darah, nanah, dan muntah, serta tidak ada khilaf mengenainya. (Lihat al-Ikhtiyar li Ta ‘lil al-Mukhtar, 1/32).

Tambahan lagi, dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah (4/193) dinyatakan, muntah adalah najis, sama ada daripada budak kecil atau orang dewasa; kerana ia adalah makanan yang telah berubah menjadi benda yang rosak (busuk) di dalam perut, menyerupai tahi dan darah. Oleh itu, jika ia terkena pakaian atau benda lain, wajib untuk mencucinya dengan air dengan menggosok dan memerahnya sehingga hilang ‘ain najisnya dan sebahagian daripadanya, dan tempat tersebut menjadi suci.

Sebahagian daripada mereka berhujah berdasarkan hadith:

يا عمّارُ إنما يغْسِلُ الثوبَ من خَمْسٍ من الغائطِ والبولِ والقىء والدّمِ والمنِيّ يا عمارُ ما نخامَتُكُ ودُمُوعُ عينيكَ والماءُ الذي في ركوتكَ إلا سواءٌ

Maksudnya: “Wahai ‘Ammar! Pakaian itu dibasuh hanya kerana lima sebab: Kerana terkena najis (air besar), air kencing, muntah, darah dan air mani. Wahai ‘Ammar! Kahak kamu, air mata kamu dan air yang terdapat dalam bekas itu sama sahaja.”

Riwayat al-Bazzar (1397) dan al-Daraqutni (1/127)[3]

Keadaan Kedua: Muntah itu keluar dari dalam perut dalam bentuk makanan (asalnya) tanpa mengalami perubahan.

Mengenai hal ini terdapat dua pendapat ulama. Secara ringkasnya, jumhur ulama berpendapat, ia adalah najis. Manakala ulama Malikiyyah berpendapat, ia dalam keadaan ini adalah suci — bukan  najis.  (Lihat al-Hattab ‘ala Mukhtasar Khalil, 1/94; Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/70).

Malah al-Qarafi (dalam kalangan ulama Malikiyyah) jelas menyebutkan bahawa muntah adalah suci jika ia keluar dalam bentuk makanan (asalnya). (Lihat al-Zakhirah, 1/185).

Hal ini juga adalah sebagaimana dinyatakan oleh Imam al-Nawawi bahawa kenajisan muntah adalah disepakati oleh para ulama, tidak kira ia muntah manusia mahupun muntah haiwan. Begitu juga tidak kira muntah itu keluar dalam keadaan sudah berubah ataupun belum lagi berubah. Namun, terdapat pendapat menyatakan, jika muntah itu keluar dalam keadaan tidak berubah (dari sifat makanannya), maka ia adalah suci, dan ini merupakan pendapat mazhab Imam Malik. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/551).

Sekalipun begitu terdapat dalam kalangan ulama yang menghukumkan muntah sebagai suci secara mutlak sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Syaukani dalam al-Sail al-Jarrar (1/43).

Seterusnya di sana terdapat pengecualian diberikan dalam kes-kes apabila keadaan sukar dijaga, maka hukumnya adalah dimaafkan. Ulama Syafi‘iyyah berpendapat, jika seseorang yang dibalakan (menerima ujian kesukaran) dengan kerapnya muntah, maka dimaafkan muntah pada baju dan badan, tetapi tetap menajiskan jika masuk ke dalam air, seperti darah kutu. Yang dimaksudkan sebagai dibalakan itu ialah keadaan yang menjadikan banyak dan kerap wujudnya sehingga kurangnya keadaan yang sunyi daripada selainnya. Hal yang sama juga diqiyaskan tentang mulut bayi yang muntah kemudian menyusu ibunya, maka muntah yang berbaki dalam mulut itu tidak menajiskan tubuh ibunya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyyah, 34/86), al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 1/49).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa muntah adalah najis, tidak kira ia keluar dalam keadaan sudah berubah daripada sifat asalnya mahupun tidak berubah, begitu juga tidak kira ia muntah manusia mahupun muntah haiwan, begitu juga tidak kira ia muntah budak kecil mahupun muntah orang dewasa, kesemuanya dihukumkan sebagai najis dan perlu dibersihkan dengan air sebagaimana najis mutawassitah. Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta pendapat yang dilihat lebih berhati-hati dan selamat, di samping mengambil jalan keluar daripada khilaf.

Namun, bagi seseorang yang diuji dengan kerapnya muntah seperti bayi yang kerap muntah termasuk dalam perkara yang dimaafkan jika terkena pada badan dan bajunya, atau baju ibu yang memeliharanya, dalam kadar yang sedikit pada uruf kerana kesukaran menjaga diri daripada terkena najis tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=muntah. Diakses pada 7 September 2023.

[2] Riwayat al-Bukhari (2623); Muslim (1620); al-Nasa’i (2615); Ahmad (281)

[3] Walau bagaimanapun hadith ini dinilai sebagai dha‘if jiddan (tersangat lemah), bahkan batil sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi mengenai perkara tersebut dalam al-Majmu‘ (2/549) dan Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Dha‘ifah (4849)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply