Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Dalam satu group whatsapp, ada seorang ahli berkongsi video petikan mengenai iblis. Dalam video tersebut dikatakan bahawa Allah melantik iblis (sebelum Iblid derhaka kepada Allah kerana tidak bersujud kepada Nabi Adam) sebagai “malikus sama’ fil ardh” iaitu raja langit di bumi, makanya sekalian para malaikat pun menghormati iblis ni. Adakah perkara ini betul? Saya cari di internet tak jumpa berkenaan “malikus sama’ fil ardh” ni. Setahu saya raja langit dan bumi adalah Allah. Terima kasih Dr.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam al-Baihaqi dalam “Syu’ab al-Iman” meriwayatkan dengan sanadnya daripada Ibnu Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ إِبْلِيسُ اسْمُهُ عِزَازِيلُ، وَكَان مِنْ أَشْرَافِ الْمَلائِكَةِ مِنْ ذَوِي الأَجْنِحَةِ الأربعة، ثم أبلس بعد

Maksudnya: Nama Iblis pada asalnya ialah Azazil, dan dia adalah dari golongan malaikat yang mempunyai empat sayap, kemudian beliau menjadi Iblis. (Lihat Syu’ab al-Iman, 1/305)

Ibn Hajar al-’Asqalani berkata: “Benar, al-Tabari dan Ibn Abi Dunya meriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: Nama Iblis ketika dia bersama-sama malaikat adalah Azazil, kemudian dia menjadi Iblis.” Beliau berkata: “Antara nama-nama Iblis ialah al-Harith dan al-Hakam, gelaran baginya adalah Abu Murrah, dan dalam sebuah buku yang bukan milik Ibnu Khalawaih: gelaran baginya adalah Abu al-Kurubain.” Amin. (Lihat Fath al-Bari, 6/339)

Dalam menolak pendapat ini, Syeikh al-Syanqiti berkata: “Apa yang disebutkan oleh para mufassir tentang sekelompok daripada Salaf seperti Ibnu Abbas dan yang lainnya: bahawa dia adalah salah satu daripada golongan malaikat yang mulia, dan salah satu daripada penjaga syurga, dan bahawa dia mengatur urusan langit dunia, dan bahawa namanya adalah Azazil, kesemua cerita ini berasal daripada cerita-cerita Israiliyat yang tidak dapat dipercayai. dan hujjah yang paling zahir dalam permasalahan ini adalah iblis bukan malaikat, kerana Allah SWT berfirman:

فَسَجَدُوا إِلَّا إِبْلِيسَ كَانَ مِنَ الْجِنِّ فَفَسَقَ عَنْ أَمْرِ رَبِّهِ ۗ

Maksudnya: “Lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

(Surah al-Kahfi: 50)

Dan ia adalah yang palaing jelas dalam bab ini berdasarkan wahyu, dan ilmu berkenaan dengan ini adalah milik Allah SWT sahaja. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 4/156)

Selain itu, sebagaimana yang diketahui, Iblis dan jin diciptakan daripada api sebagaimana firman Allah SWT:

وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِن قَبْلُ مِن نَّارِ السَّمُومِ

Maksudnya: Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Surah al-Hijr, 27)

Ibn Kathir menukil riwayat daripada Ibnu Abbas RA, menyatakan, sesungguhnya jin itu dijadikan daripada api yang marak dan menyala-nyala. Selain itu, riwayat daripada Amru bin Dinar menyatakan jin dijadikan daripada nyalaan matahari. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/458)

Begitu juga dengan kata-kata Iblis yang bongkak dengan penciptaannya daripada api sebagaimana katanya di dalam firman Allah SWT:

قَالَ مَا مَنَعَكَ أَلَّا تَسْجُدَ إِذْ أَمَرْتُكَ ۖ قَالَ أَنَا خَيْرٌ مِّنْهُ خَلَقْتَنِي مِن نَّارٍ وَخَلَقْتَهُ مِن طِينٍ ‎‏

Maksudnya: Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikannya dari tanah.”

(Surah al-A’raf: 12)

Al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya: Iblis menyatakan bahawa tangannya lagi keras daripada Adam, dia lebih kuat daripada sudut kekuatan berbanding Adam, dan jenisnya diciptakan lebih baik daripada Adam diciptakan iaitu daripada api. (Lihat Tafsir al-Tobari, 12/327)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa Iblis hanya bersama-sama dengan malaikat sebelum dia menderhakai Allah SWT dan dia bukannya malaikat kerana dia diciptakan daripada api, manakala Malaikat diciptakan daripada cahaya.

Selain itu, Allah SWT juga tidak melantik sesiapa pun untuk menjadi raja di langit dan juga di bumi melainkan Allah SWT sahaja yang menjadi raja di langit dan juga di bumi, tetapi Allah SWT hanya melantik khalifah di muka bumi ini sebagaimana firman-Nya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

(Surah al-Baqarah: 30)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply