#3089: Bacaan Tahiyat Bagi Makmum Masbuk Pada Posisi Tahiyat Akhir Bersama Imam

Soalan:

Assalamualaikum Ustaz. saya Asyraf. Ingin bertanya soalan. Sekiranya makmum masbuk ketika imam di rakaat kedua, adakah makmum wajib membaca tahiyyat akhir dan selawat ke atas Nabi SAW ketika makmum duduk tahiyat akhir bersama imam (rakaat ke-2 bagi makmum) atau ketika makmum duduk tahiyat akhir di rakaat ke-4?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَإِذَا قَالَ: سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُولُوا جَمِيعًا: اللهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَلَا تَسْجُدُوا قَبْلَ أَنْ يَسْجُدَ، وَإِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ فَارْفَعُوا رُءُوسَكُمْ، وَلَا تَرْفَعُوا رُءُوسَكُمْ قَبْلَ أَنْ يَرْفَعَ

Maksudnya: “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti, maka apabila imam bertakbir lalu hendaklah kalian bertakbir, jika dia rukuk hendaklah kalian rukuk, jika dia mengkat kepala (i`tidal) maka hendaklah kalian mengangkat kepala. Jika disebut: Sami`allahu liman hamidah, maka hendaklah kalian sebut beramai-ramai: Allahumma rabbana wa lakal hamdu. Jika dia sujud, hendaklah kalian sujud, jangan kalian sujud sebelum dia sujud, dan jika dia mengangkat kepalanya barulah kalian mengangkat kepala dan jangan mengangkat kepala sebelum imam mengangkat kepala.”

Riwayat al-Baihaqi (2594) dalam Sunan al-Kubra

Dapat difahami melalui hadith ini apabila seseorang solat dengan niat mengikuti imam, adalah penting untuk mematuhi tindakan imam sehingga selesai solat. Ini kerana tindakan ini merupakan perintah Nabi Muhammad SAW , yang mengajar kita untuk mengikuti perbuatan imam semasa solat. Jika seseorang tidak mengikuti perbuatan imam ketika solat, ia dapat dianggap sebagai menyelisihi dari ajaran yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan boleh membawa kepada batalnya solat seseorang itu serta berdosa. Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW  bersabda:

أَمَا يَخْشَى أَحَدُكُمْ – أَوْ: لاَ يَخْشَى أَحَدُكُمْ – إِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ قَبْلَ الإِمَامِ، أَنْ يَجْعَلَ اللَّهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ، أَوْ يَجْعَلَ اللَّهُ صُورَتَهُ صُورَةَ حِمَارٍ

Maksudnya: “Tidakkah salah seorang dari kalian takut, atau apakah salah seorang dari kalian tidak takut, jika ia mengangkat kepalanya sebelum Imam, Allah akan menjadikan kepalanya seperti kepala keldai, atau Allah akan menjadikan rupanya seperti bentuk keledai?”

Riwayat al-Bukhari (691) dan Muslim (427)

Imam al-Khatib al-Syarbini menukilkan dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa : Para ulama fiqh menyatakan hukumnya batal jika makmum menyelisihi imam sehingga dua rukun fi’li (perbuatan), yang sempurna, dan berturut-turut, sama ada penyelisihan itu bersifat mendahului imam atau lewat daripada imam. (Lihat Mughni al-Muhtaj,1/506 & 510)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan adalah penting bagi seseorang yang mendirikan solat secara berjamaah untuk mengikuti  perbuatan zahir yang dilakukan oleh imam. Ketika makmum mengikuti imam dan imam sedang dalam posisi duduk tahiyat akhir, kami berpandangan adalah lebih baik bagi makmum yang masbuk membaca bacaan tahiyat awal, ini  kerana bacaan tahiyat akhir hendaklah  dibaca pada tempatnya iaitu di  pengakhiran solat dan seblum salam.

Ibn Qudamah dalam isu ini menyatakan, “Apabila seseorang sempat melakukan sebahagian perbuatan solat bersama imam dan kemudian imam duduk pada akhir solatnya, maka bagi makmum, tidak ada keharusan untuk menambahkan tahiyat awal. Sebaliknya, mereka harus mengulanginya, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Ahmad bagi mereka sempat satu rakaat bersama imam. Imam Ahmad menegaskan, bagi makmum yang masbuk, mereka harus mengulangi tahiyat tersebut, namun tanpa membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW, dan juga tidak  berdoa dengan apa-apa yang biasanya didoakan dalam tahiyat terakhir. Hal ini kerana doa tersebut hanya sepatutnya dilakukan dalam tahiyat yang terakhir, sedangkan makmum yang tertinggal berada pada tahiyat yang bukan merupakan tahiyat terakhir.” (Lihat al-Mughni, 2/224)

Sebagai kesimpulannya, jika seorang makmum hadir dalam solat ketika imam berada dalam posisi duduk untuk tahiyat akhir, maka  bagi makmum tersebut hendaklah membaca tahiyat awal. Ini kerana bacaan tahiyat akhir  hendaklah dibaca pengakhiran solat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan ibadah kepadanya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *