Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya peniaga di shopee dan lazada. Cara dia begini, saya beli dari shopee dan lazada barangan random atas pallet dan dalam guni atau kotak. Barang dalam itu ada yang nampak berdasarkan kotak dan ada yang tidak nampak . Barang unclaimed parcel ore panggil. (Barang ada campur gred a b c. Jadi apabila saya beli,  saya akan jual balik barang-barang tersebut dengan cara random tetapi saya akan jelaskan dulu pada pembeli (yang akan jual satu-satu). Apa item dalam guni @ kotak secara rawak. Saya sedia maklum juga jual beli cara ini tidak diharuskan oleh syarak. Saya duduk fikir juga cara nak jadikan jualan beli ni menepati syarak sebab ramai orang Melayu Islam terlibat beli dengan pembekal lain seperti saya (kebanyakan orang bukan Islam). Bagaimana hukumnya dan boleh ke minta pandangan dato Dr untuk saya buat jualan ni mematuhi syariah.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Secara asasnya, penentuan sama ada jual beli tersebut dibolehkan ataupun tidak menurut syara’, adalah bergantung kepada rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Rukun asas bagi jual beli adalah:

  • Al-‘Aqidan (dua pihak yang melakukan akad): Sebagai contoh pihak yang melakukan akad dalam urusniaga, pasti adanya penjual dan juga pembeli.
  • Al-Ma‘qud ‘Alaih (perkara yang diakadkan): Contohnya barang ingin dijual, dan sesuatu yang dijadikan sebagai tukaran seperti wang ringgit.
  • Sighah (lafaz akad): Ijab seperti mengatakan “aku jual”, dan juga qabul seperti mengatakan “aku beli”. (Lihat al-Mu’tamad Fi al-Fiqh al-Syafie, 3/15)

Jual beli barangan yang tidak diketahui disebutkan sebagai Bai‘ al-Gharar (jual beli yang ada unsur ketidakpastian). Perkara ini diharamkan dalam islam berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Jika barang yang dijual itu dapat dilihat serta diketahui kriterianya oleh penjual dan pembeli, maka jual beli itu sah. (Lihat al-Mu ‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/29)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1843: Pembelian Kotak Misteri dalam Permainan Elektronik[1]

#2830: Pembelian Barang Tidak Diketahui Tanpa Menggunakan Duit Betul[2]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan jualan seperti ini termasuk dalam bab  Bai‘ al-Gharar (jual beli yang ada unsur ketidakpastian). Hal ini kerana meskipun ia dijual dalam kuantiti yang banyak dan zahirnya ianya menguntungkan, namun pembeli tidak mengetahui apa yang ada didalam guni atau kotak. Maka, jual beli tersebut tidak sah kerana tidak menepati rukun seperti yang telah dijelaskan di atas. Meskipun saudara telah menjelaskan barang yang terdapat di dalam guni, namun ia dimaklumkan secara rawak tanpa pembeli tahu barang selebihnya. Maka, jual beli sebegitu tidak dibolehkan. Justeru itu kami nyatakan untuk menjadikan jual beli tersebut menepati syariat saudara perlu menjelaskan terlebih dahulu barang yang terdapat di dalam guni tersebut seperti baju, seluar, barang elektronik dan seumpamanya. Maka, sekiranya pembeli mengetahui barang yang dibeli dan redha dengan barang tersebut, maka hukumnya dibolehkan.

Akhir kata, apabila agama mengharuskan sesuatu perkara, agama juga mengehadkan sesuatu perkara yang lain. Kesemuanya memperlihatkan ciri-ciri agama yang bersifat fleksibel dalam masa yang sama tidak mengenepikan prinsip-prinsip utama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

[1] https://maktabahalbakri.com/1843-pembelian-kotak-misteri-dalam-permainan-elektronik/

[2] https://maktabahalbakri.com/2830-pembelian-barang-tidak-diketahui-tanpa-menggunakan-duit-betul/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply