Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya biasa melihat siaran langsung dari datuk seperti kuliah maghrib, kuliah dhuha dan ceramah perdana. Saya mohon penjelasan dari datuk kerana saya ada kemusykilan berkenaan menonton siaran langsung dari internet atau tv atau apa2 media massa seperti facebook, youtube dan sebagainya. Saya nak tahu sama ada bolehkah saya mengamalkan apa yang saya dapat dari internet tersebut kerana saya pernah mendengar dari laman  youtube seorang ustaz bahawa apabila kita belajar mesti berada di hadapan guru dalam keadaan kita melihat dan mendengar  apa yang guru sampaikan kepada kita, dan guru juga melihat dan mendengar apa yang murid pelajari dari guru tersebut. Saya pernah bertanya soalan sebegini kepada seorang ustaz selepas saya menonton YouTube tersebut, tetapi tidak mendapat jawapan daripada beliau. Saya mohon penjelasan daripada datuk untuk menyelesaikan kemusykilan saya ini. Untuk pengetahuan datuk, saya tinggal berhampiran dengan surau dan surau tersebut selalu mengadakan kuliah. Walaupun saya tidak pergi ke surau tersebut, segala apa ceramah yang imam surau atau ustaz sampaikan, jelas kedengaran di telinga saya. Cuma pada masa yang sama saya tidak melihat dan tidak berada di hadapan imam atau ustaz yang menyampaikan ceramah tersebut.

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan  dengan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat”.

 Surah al-Mujadalah (11)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Allah akan meninggikan darjat para ulama kerana keunggulan ilmu dan amal mereka, di dunia mahupun di akhirat (Lihat al-Wajiz, hlm.546)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2360: Mempelajari al-Quran Tanpa Guru[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan menuntut ilmu adalah satu kefardhuan bagi setiap orang Muslim. Pada hari ini, ilmu ibarat dihujung jari sahaja kerana hanya satu klik kita boleh perolehi pelbagai ilmu. Namun, dari sudut kaedah atau keberkatan dalam menuntut ilmu, sebaiknya kita bertalaqqi atau berhadapan dengan guru kerana dengan cara itu seseorang itu memperolehi keberkatan ilmu dan juga tidak tersilap faham akan maksud sebenar yang ingin dibawa oleh guru. Berkenaan belajar melalui maya (Facebook, Youtube, Google dan seumpamanya), kami nasihatkan tidak salah untuk menggunakan medsos sebegitu untuk menuntut ilmu dan beramal, namun sebaiknya menuntutlah ilmu dengan guru mengikut bidangnya seperti fiqh, hadith, tasawwuf dan sebagainya. Firman Allah SWT:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan ugama jika kamu tidak mengetahui.

Surah al-Nahl (43)

Begitu juga, Imam Muslim meriwayatkan dalam muqaddimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad ibn Sirin bahawa dia berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/11)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

[1] https://maktabahalbakri.com/2360-mempelajari-al-quran-tanpa-guru/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply