Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan tentang bayaran fidyah puasa. Saya pernah meninggalkan puasa selama beberapa tahun iaitu 2013, 2014, dan 2016. Soalan saya, apakah dibolehkan sekiranya saya membayar fidyah secara satu persatu mengikut tahun, atau saya perlu membayar semuanya secara pembayaran sekali sahaja (one-off) untuk ketiga-tiga tahun tersebut? Dan adakah sah jika saya membayar fidyah terlebih dahulu sebelum melunaskan puasa ganti?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama sekali, kami nukilkan hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: “Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat Bukhari (1953) dan Muslim (1148)

Hadith daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا

Maksudnya: “Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.”

Riwayat al-Tirmizi (718) dan Ibnu Majah (1757)

Firman Allah SWT:

فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: “Maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut: Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihat Ruh al-Ma’ni, 14/212)

Dalam isu di atas, sekiranya dia ingin bayar kaffarah dahulu, maka tiada masalah dan ia dibolehkan. Dan kami telah menjawab bahawa dalam masalah ini ada dua pandangan; ada berganda dan tidak berganda.[1]

Justeru, hendaklah dilihat, bagi orang yang mampu, yang kaya, maka kami syorkan yang berganda berdasarkan kemampuan dia. Namun, jika sekiranya dia memang orang yang naif, maka dia hanya bayar sekali sahaja mengikut satu pandangan ulama’. Atas apa keadaan sekalipun, maka yang penting, hutang Allah mesti ditunaikan.

Untuk mengetahui perbahasan yang lebih lanjut berkaitan fidyah bolehlah merujuk artikel kami pada nombor 1747: Gandaan Fidyah.[2]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

[1] Dalam mazhab Syafi’i yang masyhur ia digandakan selama mana melangkah tahun. Sebagai contoh: Jika seseorang meninggalkan puasa selama 3 hari dan tidak menggantikan puasanya sehingga 3 kali bulan Ramadhan, maka kadar fidyahnya ialah:

RM 4.00 (1 cupak) X 3 hari X 3 tahun = RM 36.00.

[2] https://maktabahalbakri.com/1747-gandaan-fidyah/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply