- Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang Peguam yang mengendalikan urusan jual beli hartanah. Terdapat suatu urusan jual beli tanah melibatkan beberapa Tuan Tanah Bersama yang mana salah satu tuan tanah adalah Baitulmal. Kesemua tuan tanah kecuali Baitulmal telah bersetuju untuk menjual tanah tersebut atas harga yang telah dipersetujui dengan pembeli. Walau bagaimanapun, bagi bahagian Baitulmal, perlu mendapat kelulusan daripada Baitulmal. Isu yang timbul adalah, proses untuk mendapat kelulusan Baitulmal (nota, setiap Baitulmal di bawah Majlis Agama Negeri dan proses tertakluk kepada Majlis Agama Negeri masing-masing) ada kalanya menghampiri tempoh satu tahun kerana dimaklumkan ada beberapa peringkat mesyuarat, pengesahan minit mesyuarat, kelulusan beberapa pihak yang perlu diperolehi. Dalam keadaan ini, semua pihak ambil maklum dan faham atas tanggung jawab Baitulmal untuk bersifat teliti dan menjalankan amanah dengan adil, namun adakah dengan praktis amalan ini akan berlaku adil kepada tuan tanah yang lain? Kesan daripada tempoh yang terlalu panjang, terdapat risiko pembeli membatalkan proses pembelian. Selain itu, sekiranya berlaku kematian kepada mana-mana tuan tanah sepanjang menunggu mendapat kelulusan pihak Baitulmal yang agak panjang, urusniaga tersebut tidak dapat diteruskan dan hajat tuan tanah tersebut tidak dapat dipenuhi. Sebagai tambahan, saya maklum bahawa bidang kuasa Hal Ehwal Agama tertakluk kepada setiap negeri. Terdapat Majlis Agama Negeri yang dapat membuat proses kelulusan ini dengan segera dan munasabah. Namun, terdapat Majlis Agama Negeri yang mengambil masa terlalu lama. Di kesempatan ini, saya syorkan bahawa suatu keseragaman atau suatu tempoh garis masa yang munasabah dan adil untuk semua pihak perlu ditetapkan dan dipatuhi. Terima kasih. Semoga Allah memberkati Dato’ Seri dan semua dunia dan akhirat. Amin.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab soalan di atas, terlebih dahulu kita hendaklah mengetahui bahawa setiap Baitulmal ada bidang kuasa yang telah diperuntukkan mengikut enakmen negeri masing-masing. Dalam erti kata lain, di negara kita, Malaysia, Baitulmal ditadbir oleh Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) selaras Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bidang kuasa agama di bawah negeri. Seterusnya, Baitulmal negeri beroperasi mengikut Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri dan struktur organisasinya di bawah MAIN.
Kehendak saudara untuk mempercepatkan atau menyegerakan tempoh proses bagi mendapatkan kelulusan, amat kami sokong kerana ia akan lebih memudahkan urusan ramai pihak yang terlibat. Hal ini selari dengan kehendak Islam yang menyeru kepada umatnya untuk memudahkan urusan orang lain seperti yang terkandung dalam hadith, di mana Rasulullah SAW bersabda:
مَن نَفَّسَ عن مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِن كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللَّهُ عنْه كُرْبَةً مِن كُرَبِ يَومِ القِيَامَةِ، وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عليه في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَمَن سَتَرَ مُسْلِمًا، سَتَرَهُ اللَّهُ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَاللَّهُ في عَوْنِ العَبْدِ ما كانَ العَبْدُ في عَوْنِ أَخِيهِ
Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan seseorang daripada kesusahan dunia maka Allah akan melepaskannya daripada kesusahan hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Sesiapa yang menutup aib saudaranya yang Islam maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.”
Riwayat Muslim (2699)
Kami juga mengambil kesempatan di sini berdoa agar Baitulmal akan terus maju jaya dan terkehadapan sebagai sebuah badan yang mengurus dan mengendalikan sumber kewangan dan harta umat Islam yang berada dibawah pentadbirannya. Ditambah lagi dengan kebijaksanaan Tuanku sebagai ketua agama Islam bagi negeri masing-masing akan menjadikan ia lebih cekap dan efisien terutamanya dalam menguruskan harta-harta umat Islam.
Cita-cita kami agar institusi Islam sama ada perbankan, ekonomi, pendidikan, gadaian, pentadbiran dan lain-lain lagi sentiasa berada di puncak kesiapsiagaan, efisien, inovasi, kreatif dan profesional bukan sekadar boleh menyaingi institusi terkemuka bahkan jauh lebih baik serta mempunyai good governance yang tinggi. Ini sudah tentu menjadi salah satu uslub dakwah dengan lisan al-hal yang sudah tentu akan diikuti oleh segenap khalayak masyarakat.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445