Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mandi wajib dengan memakai seluar dalam untuk mengelakkan tersentuh zakar untuk menjaga wudhu’. Semasa mandi, saya rasa seperti keluar sesuatu, lalu timbul was-was kerana tidak dapat dipastikan keluar kencing atau tidak, dan tidak pasti jika saya melakukan istibra’ sebelum mandi. Bagaimana status wudhu’ saya dan adakah seluar dalam itu najis jika diteruskan bermandi dengannya. Mohon penerangan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu di atas, kami katakan bahawa basuhlah seluar dalam itu, yakni ketika tengah mandi itu terus basuh. Tidak perlu ragu-ragu tentang perkara itu. Suka juga untuk kami nasihati supaya tinggalkan keraguan kerana keraguan itu datangnya daripada syaitan.

Diriwayatkan daripada Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ

Maksudnya:Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan ucapan Al-Khattabi berkenaan maksud di sebalik hadith ini. Beliau berkata: “Setiap apa yang kamu ragu padanya maka lebih baik menjauhinya.” (Lihat Fath al-Bari, 4/293)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyah, hlm. 61)

Justeru, tinggalkanlah perasaan was-was itu. Akhir sekali, selepas keluar itu, basuhlah sekali lagi. Maka dengan itu, dikira selesai.

Kami ingatkan kepada diri kami dan semua umat Islam agar sentiasa mematuhi perintah Allah SWT dengan meninggalkan segala perkara yang boleh menjadi mainan syaitan sehingga melalaikan kita, menghanyutkan kita dan mendatangkan kepada kita sebarang bentuk was-was. Justeru, hendaklah kita mujahadah nafsu dalam bertarung menentang was-was.

Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply