Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, Saya ada persoalan,  setahu saya selawat ke atas junjungan mulia. Nabi Muhammad SAW ada pelbagai. Ada selawat Ibrahimiyah,  selawat jibril dan lain-lain. Sebelum saya ada share tentang pentingnya selawat di dalam 1 group.  Tapi ada beberapa orang yang bagitahuu jangan silap selawat dan selawat yang benar hanyalah selawat Ibrahimiyah dan selain darinya adalah ditolak. Betul ke begitu ustaz, mohon pencerahan. Syukran

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya amalan berselawat ke atas Rasulullah SAW merupakan satu amalan yang agung dan besar ganjarannya di sisi Allah SWT. Dalam menggambarkan keagungan dan kebesaran amalan tersebut, Allah SWT memulakan perintah untuk berselawat dengan dzat-Nya dan para malaikat terlebih dahulu, sebelum kita sebagai orang-orang beriman dituntut untuk mengucapkan selawat dan salam kepada Rasulullah SAW. Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّـهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.

(Surah al-Ahzab: 56)

Syeikh al-Maraghi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: Wahai orang beriman, doakanlah supaya Nabi SAW mendapat rahmat, muliakan Baginda walau dengan apa cara yang kamu mampu lakukan. Umpamanya mengikut Baginda secara baik atau mematuhi setiap arahannya. Begitu juga, dengan cara mengucapkan selawat dan salam kepada Baginda dengan lidahmu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/5511)

Al-Qadhi Iyadh dalam kitab al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa  menyebut: Menurut Ibn Abbas R.Anhuma, makna ayat ini adalah, Allah SWT dan para malaikat sentiasa melimpahkan berkat kepada Nabi SAW. Ada juga yang mengertikan ayat ini dengan menyebut: Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa melimpahkan rahmat kepada Nabi.(Lihat al-Syifa bi Ta’rif Huquq al-Mustafa,hlm. 138-139)

Diriwayatkan daripada Husin Bin Ali Bin Abi Tolib bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَخِيلُ مَنْ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Orang yang bakhil adalah orang yang apabila disebutkan namaku, maka dia tidak berselawat ke atasku.”

Riwayat Tarmizi(3546) dan Ahmad(1736)

Syeikh al-Mubarakfuri menukilkan bahawa Imam Ibn Kathir ada menyatakan selepas menyebut berkaitan hadith daripada Ali dan juga hadith daripada Abu Hurairah menunjukkan akan dalil wajibnya berselawat ke atas Nabi SAW setiap kali mendengar nama Baginda SAW. Ini merupakan pandangan sebahagian mazhab daripada ulama seperti al-Tahawi dan al-Halimi. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/373)

Menjawab bagi persoalan di atas terlebih dahulu kami nyatakan antara lafaz-lafaz selawat yang sering diamalkan oleh orang ramai adalah seperti berikut:

  • Selawat Tafrijiyyah

اَللهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامَّاعَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ تَنْحَلُّ بِهِ الْعُقَدُ وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ وَحُسْنُ الْخَوَاتِمِ وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ فِى كُلِّ لَمْحَةٍ وَنَفَسٍ بِعَدَدِ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ

Maksudnya: Ya Allah limpahkanlah selawat (rahmat) yang sempurna dan kesejahteraan yang sempurna ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW, yang menjadi sebab terungkai segala kebuntuan dan terbuka segala kesusahan serta ditunaikan segala hajat dan dipenuhi segala keperluan serta dikurniakan husnu khatimah dan dikurniakan limpahan rahmat dengan keberkatan sosok tubuh (kemuliaan) Baginda SAW dan seluruh ahli keluarga Baginda dan sahabatnya dalam setiap kerdipan mata dan nafas setiap makhluk Engkau miliki. (Lihat al-Afdhal al-Salawat ‘ala Sayyid al-Sadat, hlm. 61)

  • Selawat Ibrahimiyyah

اللَّهُمَّ صلِّ على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما صلَّيتَ على (آلِ) إبراهيمَ وبارِك على محمَّدٍ وعلى آلِ محمَّدٍ كما بارَكتَ على (آلِ) إبراهيمَ في العالمينَ إنّكَ حميدٌ مجيدٌ

Maksudnya: Ya Allah! Berilah selawat ke atas Muhammad dan keluarnya seperti mana Engkau berikan selawat ke atas keluarga Ibrahim dan berkatilah ke atas Muhammad dan ke atas keluarganya seperti mana Engkau memberkati ke atas keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji dan Maha Agung.

Riwayat Muslim (405)

  • Selawat JIbril

 اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلٰى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلٰى اٰلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

Maksudnya: “Ya Allah, limpahkanlah kesejahteraan dan keselamatan atas Nabi Muhammad dan keluarganya dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.”

Justeru dalam isu ini, kami ingin menyatakan bahawa selagi selawat tersebut tidak mengandungi lafaz-lafaz atau makna yang bertentangan dengan akidah, maka kami berpendapat ia diperbolehkan. Namun, adalah lebih baik jika kita memilih untuk mengamalkan selawat yang terdapat dalam hadith nabi, seperti selawat Ibrahimiyyah, kerana selawat ini telah diajar  oleh Nabi Muhammad SAW dan merupakan amalan yang sangat dianjurkan.

Dikesempatan ini juga suka kami syorkan supaya menjadikan selawat sebagai amalan harian sebagai bukti kecintaan kita kepada baginda Nabi Muhammad SAW disamping mengamalkan sunnahnya serta meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Selain itu berselewat ke atas baginda  merupakan satu tuntutan di dalam agama ini. Ini kerana, di sana terdapat banyak kelebihan bagi orang yang sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW sebagaimana yang dikhabarkan oleh Baginda SAW, antaranya berdasarkan hadis daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا

Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.”

Riwayat Muslim (384)

Imam al-Sakhawi menyatakan : Menyibukkan diri dengan  berselawat dan memberi salam kepada Nabi kita, Muhammad SAW, adalah salah satu cara terbaik untuk mendekatkan diri kepada Allah Yang Maha Kuasa. Ini juga merupakan cara yang baik untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Selawat Nabi merupakan  perintah dari Allah yang mana  para malaikat-Nya yang tak terhitung jumlahnya telah melakukannya sebelum manusia diminta untuk melakukannya. (Lihat al-Qaul Badi’,hlm.5 )

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Wallahua’lam

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply