Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu tanya kenapa dugaaan saya terlampau berat untuk ditanggung, anak yatim/ditinggalkan ibu/didera secara seksual oleh abang kandung dan abang ipar/dapat sakit mental. Sekarang saya sudah berumur hampir 32 tahun. Abang dan abang ipar saya masing-masing mengalami kehidupan yang sukar. Saya pernah baca bahawa kita tidak boleh memutuskan hubungan silaturahim dan perlu memaafkan apa juga tindakan mereka.

Persoalan saya, jika saya tidak mahu maafkan mereka, adakah saya dikira sebagai seorang pendosa di mata Allah? Bagaimana saya boleh memaafkan orang yang memusnahkan hidup saya walau ia ahli keluarga? Jika saya putuskan silaturahim maka saya tidak layak menjadi ahli syurga? Saya faham dengan firman Allah uji kerana Allah sayang, tapi apakah anak kecil seperti saya boleh hadapi ujian begini (ketika kejadian umur saya lebih kurang 11 tahun).

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ

Maksudnya: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar).”

(Surah al-Taghabun: 11)

Imam al-Tabari dalam tafsirnya mengatakan bahawa tidak akan menimpa seseorang hamba sebarang ujian melainkan dengan izin Allah SWT, qadha’ dan qadar-Nya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah SWT pasti akan tahu bahawa tiada siapa yang mampu menimpakan ujian pada dirinya kecuali dengan izin Allah SWT, lalu hatinya redha dengan ketentuan Ilahi. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 23/421)

Ibn Rajab al-Hanbali menukilkan kalam Abu al-Darda’ berkenaan ayat di atas, katanya: “Sesungguhnya Allah SWT apabila mentaqdirkan suatu ketentuan, dia suka apabila ketentuan-Nya itu diredhai (oleh hamba-hambanya).” (Lihat Rawai‘ al-Tafsir, 2/477)

Berkenaan isu dugaan, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2070: Peranan Seorang Muslim Dalam Mendepani Ujian Allah[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan pertamanya kami bersimpati atas apa yang berlaku kepada saudari. Sudah pasti perkara diluar tabi’i ini, menjadi suatu mimpi ngeri bagi setiap orang. Namun, percayalah setiap yang berlaku meskipun ia secara zahirnya ia suatu buruk, pasti ada hikmahnya. Allah tidak akan menguji seseorang itu melainkan Allah tahu hambanya itu mampu melalui ujiannya. Seepertimana firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا ۚ

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Keduanya, kami akui perbuatan abang dan abang ipar saudari merupakan suatu perbuatan yang keji. Namun, soal memaafkan itu, diharuskan bagi seseorang untuk tidak memaafkan kerana manusia itu mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang miliknya. Walaupun begitu, lebih utama untuk memaafkan kesalahan orang lain bagi menjaga kesucian hati dan jiwa kita. Maka, kami nasihatkan sekiranya menjauhkan diri dari abang dan abang ipar saudari dapat memulihkan trauma saudari, maka buat sementara waktu ini elakkanlah. Kami juga sarankan saudari meminta bantuan khidmat nasihat dari kaunselor agar masalah ini dapat dipulihkan dengan kaedah yang sebaiknya.

Ketiganya, soal masuk ke syurga atau tidak itu, kita tidak boleh putuskan sama ada kita layak ataupun tidak kerana syurga itu milik Allah SWT. Sabda Nabi SAW:

 لَنْ يُنْجِيَ أَحَدًا مِنْكُمْ عَمَلُهُ قَالَ رَجُلٌ : وَلَا إِيَّاكَ ؟ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : وَلَا إِيَّايَ ، إِلَّا أَنْ يَتَغَمَّدَنِيَ اللَّهُ مِنْهُ بِرَحْمَةٍ

Maksudnya : “ Amalan salah seorang dari kamu tidak akan menyelamatkannya. Seorang lelaki berkata : Walaupun engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW: Walaupun aku akan tetapi Allah saluti aku dengan Rahmatnya.”

Riwayat Muslim (5165)

Namun itu bukan alasan untuk tidak melakukan amalan soleh dan menuruti segala perintah Allah. Untuk mendapatkan rahmat Allah perlu untuk menjalankan apa yang telah diperintahkan dan memperbanyak amal kebaikan.

Akhir kalam, semoga Allah mempermudahkan segala urusan saudari, melapangkan hati dan melimpahkan rezeki saudari kelak. Ingatlah bahawa setiap ujian di dunia merupakan jalan untuk kita ke syurga Allah SWT. Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتُمْ أَن تَدْخُلُوا الْجَنَّةَ وَلَمَّا يَأْتِكُم مَّثَلُ الَّذِينَ خَلَوْا مِن قَبْلِكُم ۖ مَّسَّتْهُمُ الْبَأْسَاءُ وَالضَّرَّاءُ وَزُلْزِلُوا حَتَّىٰ يَقُولَ الرَّسُولُ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ مَتَىٰ نَصْرُ اللَّهِ ۗ أَلَا إِنَّ نَصْرَ اللَّهِ قَرِيبٌ

Maksudnya: Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

(Surah al-Baqarah: 214)

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

[1] https://maktabahalbakri.com/2073-peranan-seorang-muslim-dalam-mendepani-ujian-allah/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply