Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Suami saya adalah pelatih silat cekak. Baru-baru ini, suami memberitahu saya bahawa dia perlu mandi menggunakan kain putih selama 40 hari sambil membaca doa tawasul. Doanya adalah sebagaimana begini:

 بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ. اللهمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ وَبَارِك وَسَلَّمْ سَلَامٌ قَوْلًا مِّن رَّبِّ رَّحِيمٍ سلامٌ على نوح في العَالَمِينَ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ سَلَامٌ عَلَى إبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ. سَلَامٌ عَلَى مُوسَى فِى الْعَلَمِينَ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ. سَلَامٌ عَلَى عِيسَى فِي الْعَالَمِينَ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ. سَلَامٌ عَلَى مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ طِبْتُمْ فَادْخُلُوهَا خَالِدِينَ. سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ. السَّلَامُ عَلَيْكُمْ يَا عِبَادَ اللَّهِ. لا إله إلا الله. الله أكبر

Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhan kami, selawat dan salam ke atas Muhammad dan kepada keluarganya, keberkatan dan kesejahteraan. Ucapan dan salam sejahtera daripada Tuhan mereka yang Maha Mengasihani. Keselamatan ke atas Nabi Nuh di alam ini (semesta), sesungguhnya Kami kemudian itu memberi ganjaran kepada orang-orang yang berbuat baik (muhsin). Keselamatan ke atas Nabi Ibrahim di alam ini (semesta), sesungguhnya Kami kemudian itu memberi ganjaran kepada orang-orang yang berbuat baik (muhsin). Keselamatan ke atas Nabi Musa di alam ini (semesta), sesungguhnya Kami kemudian itu memberi ganjaran kepada orang-orang yang berbuat baik (muhsin). Keselamatan ke atas Nabi Isa di alam ini (semesta), sesungguhnya Kami kemudian itu memberi ganjaran kepada orang2 yang berbuat baik (muhsin). Keselamatan ke atas Nabi Muhammad di alam ini (semesta), sesungguhnya Kami kemudian itu memberi ganjaran kepada orang-orang yang berbuat baik (muhsin). Keselamatan ke atas kami, sejahtera dan bahagialah kamu (berkekalan), masuklah ke dalamnya (syurga) kekal abadi. Sejahtera malam yang (berkat) itu hingga terbit fajar. Salam sejahtera wahai hamba Allah. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar.” Mohon pencerahan ustaz mengenai amalan doa ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, kami ingin tegaskan terlebih dahulu bahawa sebaik-baik amalan sifatnya adalah tawaqquf, yakni yang bersumberkan daripada nas al-Quran dan hadith. Berkenaan ini juga, terdapat hadith daripada Ummul Mukminin Ummu ‘Abdillah, Aisyah R.Anha, beliau  berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدٌّ، وَفِيْ رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْسَ عَلَيْهِ أمْرُناَ؛ فَهُوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ia tertolak.” Manakala dalam riwayat Muslim: “Sesiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal daripada agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari menyebutkan, maksud perkara baharu yang diadakan ada dua jenis:

  • Yang bukan daripada agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bidaah yang sesat.
  • Yang termasuk dalam agama ini dan disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik. (Lihat al-Kafi dan Tatmim al-Kafi Syarah Hadis 40 oleh Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 66).

Begitu juga tidak dapat dinafikan bahawa kita dituntut agar selalu atau berterusan berdoa kepada Allah SWT di samping mengamalkan zikir-zikir yang warid. Hal ini kerana di dalam agama Islam, doa bukanlah sesuatu perkara yang remeh tetapi mempunyai peranannya yang besar. Oleh sebab itu, ia sendiri dianggap sebagai ibadah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Nu‘man bin Basyir bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

الدُّعَاءُ هُوَ العِبَادَةُ

Maksudnya:Doa itu merupakan ibadah.”

Riwayat al-Tirmizi (3247); beliau menyatakan bahawa hadith ini hasan sahih.

Bahkan doa itu sendiri dianggap sebagai senjata orang beriman. Selain itu, kita sebagai seorang yang beriman perlulah sentiasa berdoa kepada Allah SWT kerana insan ini sifatnya lemah dan sentiasa mengharapkan bimbingan sang Penciptanya dalam setiap keadaan. Tambahan lagi, banyak doa-doa/zikir-zikir yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada kita untuk digunakan dalam kehidupan seharian, di samping fadhilatnya yang besar.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, amalan mandi menggunakan kain putih selama 40 hari sambil membaca doa tawasul (sebagaimana di atas), maka dari sudut syarak ia tidak mempunyai sandaran sama sekali. Bahkan kami mendapati doa yang dinyatakan di atas bercampur aduk, ada yang nasnya terdapat dalam al-Quran dan ada juga yang bersifat gubahan/penambahan daripada ayat al-Quran tersebut.

Kami menasihatkan, sebaik-baiknya jauhilah atau tinggalkanlah amalan-amalan sebegini yang diragukan yang langsung tidak ada sandarannya dalam agama. Inilah yang lebih selamat dan jauh daripada terjerumus ke dalam sesuatu yang dilarang. Bahkan meninggalkan perkara yang meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengesyorkan agar seseorang itu berusaha untuk mencari, menghafal dan mengamalkan doa-doa, zikir-zikir dan amalan-amalan yang mathur daripada Nabi SAW, yang lebih diyakini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا ، وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Perelokkanlah kesudahan segala urusan kami, serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan seksaan hidup di akhirat.”

Riwayat Ahmad (17628), al-Tabarani dalam al-Du’a (1436), al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (269) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (6508)

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply