Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa maksud khusuf dalam hadis-hadis yang menceritakan tentang tanda-tanda akhir zaman atau Kiamat? Sebab, yang saya biasa tahu dan dengar, khusuf ni dikaitkan dengan gerhana bulan. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Dikatakan ‘خَسْفُ الْمَكَانِ، يَخْسِفُ خُسُوْفًا’ maksudnya adalah ditenggelamkan ke dalam bumi dan hilang di dalamnya. (Lihat Lisan al-‘Arab, 9/67 dan Tartib al-Qamus al-Muhit, 2/55)

Antara makna perkataan ini adalah seperti firman Allah SWT:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ

Maksudnya: “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah.”

(Surah al-Qasas: 81)

Al-Syaukani berkata: Dikatakan ‘خَسَفَ المَكَانُ – يَخْسِفُ – خُسُوفًا’, ertinya tempat itu terbenam ke dalam bumi. Maknanya di sini, Allah SWT melenyapkannya berserta rumahnya ke dalam bumi. (Lihat Fath al-Qadir, 8/522)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Tafsir al-Munir (10/423) , setelah Qarun bersikap angkuh dalam perhiasan dan kebanggaannya terhadap kaumnya, serta kezalimannya terhadap mereka, maka Allah goncangkan bumi untuk dirinya dan rumahnya. Lalu bumi menelannya dan hilanglah dia di dalamnya sebagai balasan terhadap kesombongan dan keangkuhannya. Hal ini sepertimana disebut dalam Sahih al-Bukhari, daripada Salim (bin Abdullah), bahawa bapanya menceritakan kepadanya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا رَجُلٌ يَجُرُّ إِزَارَهُ، إِذْ خُسِفَ بِهِ، فَهُوَ يَتَجَلَّلُ فِي الأَرْضِ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Ketika seorang lelaki menyeret kainnya (dalam keadaan sombong), tiba-tiba dia dibenamkan (ke dalam bumi), maka dia berterusan meronta-ronta sambil dibenam di dalam tanah sehinggalah Hari Kiamat.”[1]

Riwayat al-Bukhari (5790)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dengan ungkapan yang pendek dan dalam sekelip mata sahaja “Kami benamkannya (Qarun) serta rumahnya ke dalam bumi,” dia dan rumahnya habis ditelan bumi. Dan kini terbenamlah Qarun di dalam bumi, di mana selama ini dia berlagak angkuh dan melakukan kezaliman di atas permukaannya sebagai satu balasan yang setimpal. Dia hilang ditelan bumi dalam keadaan yang amat lemah, tanpa ditolong sesiapa pun dan tanpa diselamatkan oleh darjat kebesaran dan harta kekayaannya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 9/47)

Selain itu, peristiwa yang berlaku pada umat-umat terdahulu telah dirakamkan di beberapa tempat dalam al-Quran. Terdapat beberapa istilah yang digunakan bagi menggambarkan peristiwa sepertimana gempa yang berlaku, iaitu zilzal (زلزال), rajfah (رجفة), khasaf (خسف) dan Sayhah (صيحة).

Pengertian istilah-istilah ini boleh diringkaskan seperti berikut:

  • Istilah zalzalah (زلزلة) adalah tanah yang bergegar dan berlakunya gempa bumi sepertimana dijelaskan dalam kamus Lisan al-‘Arab.
  • Kalimah rajfah (رجفة) pula ditakrifkan sebagai goncangan sepertimana dalam al-Mu’jam al-Wasit.
  • Istilah khasaf (خسف) didefinisikan sebagai membenamkan ke dalam tanah apa yang ada di atasnya. Ini seperti disebut dalam Lisan al-‘Arab.
  • Lafaz sayhah (صيحة) pula dijelaskan dengan maksud azab penderitaan. Ia juga boleh diertikan dengan maksud lain seperti tempikan, tiupan sangkakala dan serangan mengejut.

Meskipun begitu, Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa istilah rajfah (رجفة) adalah sama maknanya dengan sayhah (صيحة). Selain itu, tidak semua istilah yang dinyatakan di atas merujuk kepada gempa bumi.

Selain itu, khusuf juga dengan makna gerhana matahari atau bulan. Sebahagian ulama’ memisahkan lafaz untuk dua gerhana ini. Jika gerhana matahari, dinamakan kusuf dan jika gerhana bulan dinamakan khusuf. Namun, dalam perbincangan tentang tanda-tanda besar Kiamat, khusuf adalah dengan erti terbenamnya bumi atau gempa bumi yang dahsyat.

Ketiga-tiga al-Khusuf (terbenamnya bumi) adalah termasuk tanda besar Kiamat, dan disebut dalam hadis-hadis yang membicarakan tentang tanda-tanda besar Kiamat.

Antara hadis yang membicarakan perkara ini adalah seperti riwayat Huzaifah bin Usaid R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّـى تَرَوْا عَشْرَ آيَاتٍ… (فَذَكَرَ مِنْهَا:) وَثَلاَثَةُ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْـمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah kamu melihat sepuluh tanda besar.. (lalu Baginda menyebut, antaranya:) Dan tiga kejadian terbenamnya bumi, iaitu: Terbenam bumi di sebelah timur, di sebelah barat dan di Semenanjung Arab.

Riwayat Muslim (2901), al-Tirmizi (2183) dan Ibn Majah (4041)

Al-Munawi berkata: Tiga khusuf tersebut adalah dengan maksud terhapusnya tempat tersebut daripada muka bumi dan menghilang (tenggelam ke dalam perut bumi). Satu, berlaku di timur, satu lagi di barat dan satu lagi di semenanjung Tanah Arab, iaitu Mekah, Madinah, Yamamah, dan Yaman berdasarkan apa yang dihikayatkan daripada Malik R.A. Dinamakan khusuf itu kerana ia meliputi lautan Hindi, lautan Qulzum, Sungai Dijlah dan Furat. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/344)

Syeikh al-‘Abbad berkata: Al-Khasfu bermaksud runtuhan di bumi, lalu masuklah setiap yang berada di atasnya ke dalam perut bumi, disebabkan runtuhan yang berlaku. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 1/2)

Syeikh Maher Ahmad al-Sufi berkata: Berdasarkan hadith di atas, dapat kita ketahui bahawa tidak ada peristiwa lagi setelah kejadian terbenamnya bumi kecuali api yang menggiring manusia ke bumi Mahsyar di Syria. Hal ini menunjukkan bahawa peristiwa ini akan terjadi setelah Islam tidak diamalkan lagi, Ka’bah dihancurkan dan manusia kembali menyembah berhala-berhala.  Terjadinya kejadian bumi terbenam yang dahsyat tersebut – wallahu a’lam – diiringi dengan kerosakan manusia pada masa itu; Apa-apa yang diharamkan oleh Allah dihalalkan dan tidak ada lagi ketaatan dan ibadah. Pada saat itu, keimanan dan ketaatan disia-siakan dan permainkan. (Lihat Mausu’ah al-Akhirah – Asyrat al-Sa’ah, hlm. 387)

Penutup

Sesungguhnya, tanda dan alamat akhir zaman ada yang disebut dalam nas-nas hadith dan kami telah bahaskan dengan panjang lebar dalam Kajian Ilmiah kami. Justeru, yang paling penting, biarlah ada asas dan rujukan yang benar apabila kita membuat sebarang dakwaan.

Sesungguhnya, tanda-tanda akhir zaman akan berakhir dengan tanda-tanda besar, seperti keluarnya Dajjal, turunnya Nabi Allah Isa dan lain-lain. Marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada-Nya:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

[1] Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Lafaz tajaljul maksudnya adalah bergerak-gerak. Dikatakan, jaljalah ertinya gerakan disertai suara. Ibn Duraid berkata: “Segala sesuatu yang bercampur antara satu sama lain, disebut jaljalah.” Manakala Ibn Faris menyebut: “Tajaljul adalah masuk ke dalam tanah disertai goncangan yang amat kuat dan terhumban dari satu sisi ke sisi lain. Maka maksud ‘tajaljal fi al-ardh’ adalah masuk ke dalam tanah dengan meronta-ronta.” (Lihat Fath al-Bari, 28/495)

 

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply