Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mengalami was-was berkenaan najis mughallazah sejak remaja hinggalah sekarang yang mana saya akan sentiasa sertu anggota badan, pakaian, alatan atau kenderaan yang saya syaki terkena najis mughallazah bila didatangi rasa was-was tersebut. Keadaan ini menyebabkan saya seboleh-bolehnya tidak mahu berada di luar atau tempat awam kerana bimbang akan mengalami was-was dan akan sertu bila kembali ke rumah. Ianya sangat mengganggu fokus kerja dan ibadah serta aktiviti harian saya. Situasi di bawah adalah antara yang selalu mengganggu fikiran saya seperti bulu haiwan lekat pada pakaian atau kenderaan, tidak pasti asal dari kucing atau anjing dan najis atau kencing pada tayar kenderaan, tidak pasti dari kucing atau anjing.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat yang mana tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40)

Hal ini adalah berdasarkan kepada daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

 Riwayat Muslim (279)

Begitu juga dalam riwayat daripada Abu Hurairah R.A yang lain, bahawa Baginda SAW bersabda:

إذا شَرِبَ الكَلْبُ في إناءِ أحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: “Apabila anjing minum di dalam bekas salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia membasuh bekas tersebut sebanyak tujuh kali.

 Riwayat al-Bukhari (172)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#820: Cara Membersihkan Jilatan Anjing — Najis Mughallazah[1]

#2976: Bulu Anjing yang Masih Didapati dalam Rumah Selepas Menyertu[2]

#2276: Terkena Bulu Anjing yang Melekat pada Kereta dalam Keadaan Kering[3]

#1377: Penyakit Was-Was Yang Melampau[4]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini kami melihat ia lebih kepada penyakit was-was. Maka, tidak perlulah untuk menyertu selagimana tidak melihatnya dengan jelas bahawa ia najis mughallazah. Begitu juga, sekiranya jelas misalnya bulu tersebut bulu anjing, maka tangan yang tersentuh bulu anjing yang melekat pada kereta dalam keadaan kering, sama ada banyak ataupun sedikit, tidak perlu disertu atau dibasuh sebagaimana dibasuh najis mughallazah kerana tidak berlaku perpindahan najis tersebut kepada tangan disebabkan kedua-duanya dalam keadaan kering (iaitu tangan yang menyentuh dan juga bulu yang disentuh).

Oleh itu, kami nasihatkan sebaiknya saudara merawat masalah was-was ini, agar kehidupan saudara lebih tenang dan yakin. Ingatlah bahawa was-was ini merupakan tipu daya syaitan yang ingin mengelirukan kita. Di sini juga, kami sarankan beberapa cara dalam mengatasi was-was ini:

Pertama: Berusaha Mempelajari Ilmu Agama dan Mendalaminya

Penekanan kepada ilmu syari’at adalah penting kerana ianya adalah tunjang dan merupakan satu ilmu teras yang wajib dikuasai oleh setiap orang islam. Justeru, ilmu-ilmu yang lain yang dianggap sebagai fardu kifayah perlu dituntut namun penekanan yang lebih harus diberikan kepada ilmu syari’at.

Kedua: Sentiasa Berdamping dengan Ulama’ dan Orang-Orang Soleh

Teman yang baik dan soleh akan sentiasa mendorong seseorang itu untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Sebaliknya teman yang buruk akhlaknya akan membawa kepada melakukan kemaksiatan dan prasangka yang buruk kepada Allah SWT.

Ketiga: Bersabar dan Terus Mencuba

Gangguan was-was merupakan satu ujian menentang syaitan kerana was-was itu sendiri adalah daripada syaitan. Dalam diuji, seseorang itu perlulah sentiasa bersabar dan terus berlatih untuk menghindari penyakit was-was.

Keempat: Berdoa, Bermunajat dan Berzikir kepada Allah SWT dalam Memohon Pertolongan Dari-Nya.

Antara doanya:

يَا مُقَلِّبَ القُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِي عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Dzat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku agar ia berada di atas agamamu.”

Kelima: Mengambil Sikap Tidak Peduli Terhadap Was-was

Justeru, saya katakan kepada saudara ambillah prihatin atas 5 nasihat yang kami kemukakan ini. Ini sejajar dengan kehendak syariat agar kita menyahkan sifat was-was yang merupakan mainan syaitan. Sesungguhnya, meninggalkannya dengan berdoa dan munajat serta tidak melayan gangguan was-was akan menatijahkan kebaikan dalam hidup anda.

Wallahu a‘lam.

 Kami akhiri dengan:

قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‎﴿١﴾‏ مَلِكِ النَّاسِ ‎﴿٢﴾‏ إِلَٰهِ النَّاسِ ‎﴿٣﴾‏ مِن شَرِّ الْوَسْوَاسِ الْخَنَّاسِ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِي يُوَسْوِسُ فِي صُدُورِ النَّاسِ ‎﴿٥﴾‏ مِنَ الْجِنَّةِ وَالنَّاسِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia. “Yang Menguasai sekalian manusia, “Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, “Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, – “Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, – “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.

Surah al-Nas (1-6)

[1] https://maktabahalbakri.com/820-cara-membersihkan-jilatan-anjing-najis-mughallazah/

[2] https://maktabahalbakri.com/2976-bulu-anjing-yang-masih-didapati-dalam-rumah-selepas-menyertu/

[3] https://maktabahalbakri.com/2276-terkena-bulu-anjing-yang-melekat-pada-kereta-dalam-keadaan-kering/

[4] https://maktabahalbakri.com/1381-penyakit-was-was-yang-melampau/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply