Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah kejadian al-khusuf sepertimana yang disebut dalam hadith tanda-tanda akhir zaman telah berlaku?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, ketiga-tiga al-Khusuf (terbenamnya bumi) adalah termasuk tanda besar Kiamat, dan disebut dalam hadis-hadis yang membicarakan tentang tanda-tanda besar Kiamat.

Antara hadis yang membicarakan perkara ini adalah seperti riwayat Huzaifah bin Usaid R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ السَّاعَةَ لَنْ تَقُومَ حَتَّـى تَرَوْا عَشْرَ آيَاتٍ… (فَذَكَرَ مِنْهَا:) وَثَلاَثَةُ خُسُوفٍ: خَسْفٌ بِالْـمَشْرِقِ، وَخَسْفٌ بِالْمَغْرِبِ، وَخَسْفٌ بِجَزِيرَةِ الْعَرَبِ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah kamu melihat sepuluh tanda besar.. (lalu Baginda menyebut, antaranya:) Dan tiga kejadian terbenamnya bumi, iaitu: Terbenam bumi di sebelah timur, di sebelah barat dan di Semenanjung Arab.”

Riwayat Muslim (2901), al-Tirmizi (2183) dan Ibn Majah (4041)

Al-Munawi berkata: Tiga khusuf tersebut adalah dengan maksud terhapusnya tempat tersebut daripada muka bumi dan menghilang (tenggelam ke dalam perut bumi). Satu, berlaku di timur, satu lagi di barat dan satu lagi di semenanjung Tanah Arab, iaitu Mekah, Madinah, Yamamah, dan Yaman berdasarkan apa yang dihikayatkan daripada Malik R.A. Dinamakan khusuf itu kerana ia meliputi lautan Hindi, lautan Qulzum, Sungai Dijlah dan Furat. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/344)

Syeikh al-‘Abbad berkata: Al-Khasfu bermaksud runtuhan di bumi, lalu masuklah setiap yang berada di atasnya ke dalam perut bumi, disebabkan runtuhan yang berlaku. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud, 1/2)

Dalam menjawab persoalan di atas, menurut Syeikh Yusuf al-Wabil, tiga kejadian al-Khusuf (terbenamnya bumi) ini belum terjadi sehingga sekarang, sepertimana tanda-tanda besar Kiamat yang lain yang belum berlaku, walaupun sebahagian ulama’ berpendapat bahawa hal tersebut telah berlaku, dan sebagaimana difahami oleh al-Syarif al-Barzanji. (Lihat al-Isya’ah, hlm. 49) Akan tetapi, yang benar adalah perkara tersebut belum berlaku sehingga sekarang. Apa yang berlaku hanyalah kejadian bumi terbenam atau tanah tenggelam di pelbagai tempat yang berbeza-beza, dan berlaku pada zaman yang berjauhan. Hal tersebut termasuk daripada tanda-tanda kecil Kiamat.

Sementara tiga kejadian terbenamnya bumi ini akan terjadi dengan sangat besar dan menyeluruh di banyak tempat, dan di merata di banyak tempat di muka bumi, sama ada di bahagian timur, barat dan di Jazirah Arab.

Ibn Hajar berkata: “Sesungguhnya telah ditemui pelbagai kejadian al-khusuf (tanah tenggelam atau bumi terbenam) di pelbagai tempat. Akan tetapi, mungkin sahaja yang dimaksudkan dengan tiga kejadian al-Khasf itu adalah sesuatu yang lebih dahsyat daripada apa yang telah berlaku, seperti ukurannya dan tempatnya yang lebih besar.” (Lihat Fath al-Bari, 13/84)

Pendapat ini diperkuat oleh hadis yang menyatakan bahawa ketiga-ketiga kejadian terbenamnya bumi itu berlaku apabila banyak kerosakan dan kemaksiatan telah bermaharajalela dalam kalangan manusia.

Berdasarkan riwayat yang telah dibentangkan di atas, kami cenderung dengan pendapat yang kejadian tiga khusuf atau bumi terbenam dan dilenyapkan sebagai tanda akhir zaman masih belum berlaku lagi. Ini kerana, berdasarkan pendapat al-Hafiz Ibn Hajar bahawa kejadian itu amat dahsyat dan besar dan disekalikan dengan tanda-tanda besar kiamat yang lain.

Penutup

Justeru, marilah sama-sama kita beriman dengan Hari Akhirat di mana antara tanda-tanda Kiamat wujudnya 3 khusuf atau bumi terbenam di akhir zaman. Begitu juga, hendakplah kita sentiasa berdoa agar kita tidak dibala dengan kehilangan nikmat secara mengejut.

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply