Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah haram menggunakan produk kosmetik yang mengandungi galactomyces yang dikatakan ia adalah sake? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan sedikit pengenalan mengenai sake dan galactomyces. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sake ialah sejenis arak yang diperbuat daripada beras.[1] Ringkasnya, sake ialah sejenis minuman arak yang lazim dalam kalangan Jepun dibuat hasil penapaian kanji beras yang telah digilap untuk mengeluarkan dedak beras. Sake dihasilkan melalui proses pembiran seakan bir di mana kanji ditukarkan kepada gula sebelum ia ditukarkan kepada alkohol, tidak seperti arak jenis lain di mana alkohol (etanol) terhasil selepas penjalanan penapaian yang hadir secara semula jadi dalam buah, biasanya buah anggur.
Proses penghasilan sake berbeza daripada proses penghasilan bir. Untuk bir, penukaran daripada kanji ke gula dan daripada gula ke alkohol berlaku dalam dua langkah yang berbeza. Seperti wain beras lain, apabila sake dihasilkan, penukaran ini berlaku serentak.
Dalam bahasa Jepun, perkataan “sake” (“arak”, juga disebut shu) boleh merujuk kepada apa-apa jenis minuman beralkohol, manakala minuman yang dipanggil “sake” dalam bahasa Inggeris dan Melayu biasanya dipanggil nihonshu (“arak Jepun”). Di bawah undang-undang minuman keras Jepun, sake dilabelkan dengan perkataan seishu (“arak jernih”), namun perkataan ini yang tidak biasa digunakan dalam perbualan harian.
Di Jepun, ia merupakan minuman kebangsaan, dan sake sering dihidangkan pada upacara istimewa — dihangatsuamkan di dalam sebuah bekas tembikar kecil atau botol porselin, dan lalu dihirup dari dalam cawan porselin kecil yang dipanggil sakazuki. Seperti wain, suhu penyediaan yang digunakan berbeza mengikut jenis arak atas tahap kandungan alkoholnya.[2]
Justeru, jelaslah bahawa dalam bahasa mudahnya, sake adalah salah satu jenis arak. Dari segi hukumnya pula, arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah al-Ma’idah: 90)
Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).
Selain itu mengikut mazhab Imam al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas pada perkataan Rijzun (رِجْسٌ), di mana dari segi bahasa ia bermaksud kotor atau najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/78).
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, hukum bagi arak adalah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana arak itu adalah haram secara zatnya. Begitu juga tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada bagi tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) buat kita daripada sesuatu perkara yang diharamkan ke atas kita. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5474).
Bahkan dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur fuqaha’ berpendapat, haram untuk mengambil manfaat daripada arak bagi tujuan perubatan, dan sebarang bentuk manfaat yang lain, seperti menggunakannya dalam minyak wangi atau makanan atau tanah liat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/25).
Manakala galactomyces pula adalah genus kulat dalam keluarga Dipodascaceae. Galactomyces ialah sejenis yis, yang dijumpai hasil sampingan daripada proses fermentasi sake. Menurut legenda, ia dikatakan kesan galactomyces pertama kali ditemui oleh pembuat sake, yang menyedari bahawa tangan mereka kekal muda walaupun seluruh badan mereka sudah tua. Galactomyces kononnya adalah ramuan rahsia di sebalik tangan mereka yang lebih muda, licin dan cerah. Kini, kajian saintifik telah membuktikan kesan positif galactomyces dalam membantu meningkatkan kelembapan kulit, mengawal penghasilan sebum dan meningkatkan ketahanan kulit.
Galactomyces biasanya digunakan semasa proses fermentasi sake, beras atau wain. Ketika proses fermentasi, galactomyces diletakkan di dalam unit penapaian (fermentasi) yang disediakan dengan persekitaran yang ideal untuk mereka berkembang dan membiak. Apabila ia membiak, ia membebaskan turasan (filtrat), cecair padat nutrien yang padat dengan vitamin, asid amino dan mineral untuk kulit. Produk sampingan ini adalah apa yang dipanggil Galactomyces Ferment Filtrate (GFF).
Galactomyces Ferment Filtrate ialah yis padat nutrien, dan hasil sampingan daripada sake yang difermentasi. Dalam industri kosmetik ia digunakan sebagai agen pelembap dan mempunyai kesan antioksidan. Ia meningkatkan kelembapan kulit dan membantu melindungi kulit daripada tekanan persekitaran.[3]
Secara ringkasnya, dari sudut hubungan/perkaitan galactomyces dan sake pula, sebagaimana diketahui sake ialah minuman beralkohol Jepun yang diperbuat daripada beras yang ditapai. Galactomyces ialah sejenis yis yang kadangkala digunakan dalam proses penapaian sake. Walaupun sake tidak secara semula jadi mengandungi galactomyces, sesetengah pembuat bir mungkin menambahkannya pada beras semasa proses penapaian. Ini boleh memberikan rasa dan aroma yang lebih kompleks.
Glucomyces adalah kulat dalam keluarga Dipodascaceae dapat ditemui sebagai produk sampingan penapaian. Proses penapisan memastikan bahan tersebut bebas daripada bakteria berbahaya dan bahan lain. Penggunaan pendedahan yang berterusan kepada matahari boleh membantu mengurangkan kedutan, garis-garis halus, dan tanda-tanda penuaan yang lain. Hasilnya, kulit anda akan kelihatan lebih muda.
Dalam produk penjagaan kulit, galactomyces boleh digunakan untuk meningkatkan penyerapan produk dan merangsang antioksidan. Produk ini telah terbukti meningkatkan keupayaan kulit berminyak untuk menyerap sebum, mencerahkan dan mengurangkan jerawat, dan meningkatkan keserian wajah. Dengan tambahan galactomyces, ia telah ditemui bahawa asid hyaluronik boleh dihasilkan oleh sel epidermis.
Sapukan serum pada kulit dan sapukan dengan hujung jari anda di sepanjang garis tekstur. Jika anda ingin menggunakan serum vitamin pada kulit anda sebanyak tiga kali, anda perlu menggunakan tiga lapisan kelembapan dan kecergasan. Glow Serum padat dengan sifat anti-radang.[4]
Dalam menjawab soalan di atas, kita hendaklah membezakan di antara galactomyces dan Galactomyces Ferment Filtrate (GFF). Berkenaan hukum galactomyces, jelaslah bahawa ia adalah salah satu genus kulat[5] dan sejenis yis.[6] Pada asasnya, hukum asal bagi sesuatu dan makhluk adalah suci bersih serta tidak dihukumkan sebagai najis kecuali adanya dalil syar‘i yang menunjukkan kepada kenajisannya. Hal ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini dalam kitabnya:
الْحَيَوَانُ كُلُّهُ طَاهِرٌ لِمَا مَرَّ إلَّا مَا اسْتَثْنَاهُ الشَّارِعُ
Maksudnya: “Haiwan kesemuanya adalah suci melainkan apa yang didatangkan syarak akan kenajisannya.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/226).
Justeru, galactomyces itu dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis.
Manakala Galactomyces Ferment Filtrate ini pula merupakan kesan sampingan daripada penapaian sake. Jika ia terhasil melalui proses pembuatan arak seperti penapaian sake, maka ia adalah haram dan dihukumkan sebagai najis sebagaimana hukum arak itu sendiri. Hal ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
أَنَّ الْأَشْيَاءَ الْمُحَرَّمَةَ إِذَا خَالَطَتْ الْحَلَالَ حَرُمَ الْحَلَالُ
Maksudnya: “Sesuatu yang diharamkan apabila bercampur dengan sesuatu yang halal, maka sesuatu yang halal itu menjadi haram.”
Namun, jika ia terhasil bukan melalui proses pembuatan arak sebaliknya melalui proses yang berbeza sama sekali dengan proses pembuatan arak maka hukumnya kekal sebagai suci sebagaimana hukum asalnya selagi mana ia tidak bercampur dengan bahan-bahan bernajis. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ
Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).
Tambahan lagi, kami melihat ia adalah seperti mana alkohol. Berkenaan alkohol, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah memutuskan bahawa:
- Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
- Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
- Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
- Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
- Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
- Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.
Hal yang sama juga turut dinyatakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74) bahawa: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami menyimpulkan jawapan kami sebagaimana berikut:
- Kami berpendapat bahawa produk kosmetik yang mengandungi galactomyces adalah suci dengan syarat ia tidak mengandungi bahan-bahan lain yang bernajis. Ini kerana galactomyces itu sendiri dihukumkan sebagai suci.
- Adapun produk kosmetik yang mengandungi Galactomyces Ferment Filtrate hendaklah dilihat. Jika ia terhasil melalui proses pembuatan arak seperti penapaian sake, maka ia adalah haram dan dihukumkan sebagai najis. Manakala jika ia bukan melalui proses pembuatan arak sebaliknya melalui proses yang berbeza sama sekali dengan proses pembuatan arak maka hukumnya kekal sebagai suci sebagaimana hukum asalnya selagi mana ia tidak bercampur dengan bahan-bahan bernajis.
- Begitu juga jika suatu produk kosmetik itu mengandungi bahan-bahan bernajis tetapi tidak memudaratkan penggunanya, maka ia haram untuk digunakan sebagai kegunaan dalaman — untuk makan dan minum. Akan tetapi jika untuk kegunaan luaran — seperti krim untuk sapuan luaran — maka kami berpendapat bahawa tidak mengapa menggunakannya, dengan syarat selepas itu ia dibasuh dengan air bersih. Penjelasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #1722: Penggunaan Darah dalam Produk Krim Kosmetik.[7]
Kami juga mengambil kesempatan di sini, menasihatkan jika timbul keraguan terhadap suatu produk yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal atau suci, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih selamat serta lebih menenangkan jiwa. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ
Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”
Riwayat al-Tirmizi (2518)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.
[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=sake. Diakses pada 13 September 2023.
[2] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Sake. Diakses pada 13 September 2023.
[3] Lihat Hattori, Kenji & Nakajima, Akiko & Date, Akira & Tamura, Hiroomi & Ishida, Kyoko. (2010). Effects of galactomyces ferment filtrate on epidermal barrier marker caspase-14 in human skin cells. AB54-AB54. Lihat juga K. Takei, C. Mitoma, A. Hashimoto‐Hachiya, M. Takahara, G. Tsuji, T. Nakahara, M. Furue, Galactomyces fermentation filtrate prevents T helper 2‐mediated reduction of filaggrin in an aryl hydrocarbon receptor‐dependent manner, Clinical and Experimental Dermatology, Volume 40, Issue 7, 1 October 2015, Pages 786–793, https://doi.org/10.1111/ced.12635.
[4] Lihat https://lipolounge.com/galactomyces-and-sake-a-complex-relationship/. Diakses pada 14 September 2023.
[5] Kulat ialah sebarang kumpulan organisma parasit yang tidak mempunyai klorofil, termasuk kulapuk, cendawan, yis, dan lain-lain. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kulat&d=243192&. Diakses pada 14 September 2023).
[6] Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, yis ialah sejenis kulat satu sel dalam kelas Ascomycetes yang dapat menapaikan gula dan kaya dengan vitamin B kompleks; atau sejenis bahan yang digunakan untuk menaikkan adunan roti dan sebagainya, dan untuk menapaikan bir, wiski, dan sebagainya, ragi. (Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=yis. Diakses pada 14 September 2023a)
[7] Lihat https://maktabahalbakri.com/1722-penggunaan-darah-dalam-produk-krim-kosmetik/. Diakses pada 7 September 2023.
Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445