Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah alkohol sintetik yang dihasilkan melakukan campuran kimia turut dianggap sebagai najis sebagaimana alkohol yang terhasil melalui penghasilan arak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi alkohol. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, alkohol ialah cecair yang mudah terbakar dan juga memabukkan (terdapat dalam minuman keras dan lain-lain).[1] Ringkasnya, alkohol, mana-mana kelas sebatian organik yang mengandungi satu atau lebih kumpulan hidroksil (―OH) yang terikat pada atom karbon kumpulan alkil (rantai hidrokarbon). Alkohol boleh dianggap sebagai derivatif organik air (H2O) di mana salah satu atom hidrogen telah digantikan oleh kumpulan alkil, biasanya diwakili oleh R dalam struktur organik. Contohnya, dalam etanol (atau etil alkohol) kumpulan alkil ialah kumpulan etil, ―CH2CH3.

Alkohol adalah antara sebatian organik yang paling biasa. Ia digunakan sebagai pemanis dan dalam penghasilan minyak wangi, merupakan perantaraan berharga dalam sintesis sebatian lain, dan merupakan antara bahan kimia organik yang paling banyak dihasilkan dalam industri. Mungkin dua alkohol yang paling terkenal ialah etanol dan metanol (atau metil alkohol). Etanol digunakan dalam produk mandian, farmaseutikal dan bahan api, dan ia digunakan untuk mensterilkan instrumen hospital. Ia adalah alkohol dalam minuman beralkohol. Eter anestetik juga diperbuat daripada etanol. Metanol digunakan sebagai pelarut, sebagai bahan mentah untuk pembuatan formaldehid dan resin khas, dalam bahan api khas, dalam antibeku, dan untuk membersihkan logam.

Alkohol boleh dikelaskan sebagai primer, sekunder, atau tertier, mengikut karbon yang mana kumpulan alkil terikat kepada kumpulan hidroksil. Kebanyakan alkohol adalah cecair atau pepejal tidak berwarna pada suhu bilik. Alkohol dengan berat molekul rendah sangat larut dalam air; dengan peningkatan berat molekul, mereka menjadi kurang larut dalam air, dan takat didih, tekanan wap, ketumpatan, dan kelikatannya meningkat.[2]

Dalam menjawab soalan di atas, tidak dinafikan lagi bahawa alkohol yang terhasil melalui proses pembuatan arak hukumnya adalah haram. Ini kerana arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Selain itu mengikut mazhab Imam al-Syafi‘i, arak dan minuman yang memabukkan adalah najis. Ini jelas dalam ayat yang di atas pada perkataan Rijzun (رِجْسٌ), di mana dari segi bahasa ia bermaksud kotor atau najis. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/78).

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, hukum bagi arak adalah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana arak itu adalah haram secara zatnya. Begitu juga tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada bagi tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) buat kita daripada sesuatu perkara yang diharamkan ke atas kita. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5474).

Bahkan dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur fuqaha’ berpendapat, haram untuk mengambil manfaat daripada arak bagi tujuan perubatan, dan sebarang bentuk manfaat yang lain, seperti menggunakannya dalam minyak wangi atau makanan atau tanah liat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/25).

Akan tetapi alkohol yang terhasil bukan melalui proses pembuatan arak, tetapi melalui proses campuran bahan kimia dan sebagainya, maka para ulama berbeza pendapat mengenainya. Dinyatakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74) bahawa: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”

Tambahan lagi, berkenaan alkohol ini juga, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah memutuskan bahawa:

  • Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Selain itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, penggunaan alkohol untuk penyahkuman atau merawat luka adalah tidak mengapa jika ada keperluan bagi perkara tersebut. Sesungguhnya dikatakan bahawa alkohol menghilangkan akal tanpa memabukkan. Jika perkara itu adalah benar, maka ia bukanlah arak. Jika perkara itu tidak benar, maka ia adalah arak dan meminumnya adalah haram menurut nas dan ijma‘.

Adapun penggunaannya untuk tujuan selain minum, maka ia menjadi perkara yang memerlukan penelitian lebih lanjut. Jika kita melihat kepada firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Kita katakan bahawa penggunaannya untuk tujuan selain minum juga adalah diharamkan, berdasarkan pada larangan umum dalam ayat di atas: “فَاجْتَنِبُوهُ” (Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya).

Namun, jika kita melihat kepada firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

(Surah al-Ma’idah: 91)

Kita katakan bahawa penggunaannya untuk tujuan selain minum adalah diharuskan, kerana ‘illah (sebab) pengharamannya tidak terpakai atau tidak berlaku pada situasi tersebut. Berdasarkan hal itu, kami berpendapat bahawa sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, sebaiknya tidak menggunakannya dalam pembuatan wangi-wangian.

Adapun penggunaan alkohol untuk tujuan rawatan atau penyahkuman, ia adalah dibolehkan kerana keperluan kepada penggunaannya dan tidak ada dalil yang jelas yang melarangnya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dalam fatawanya dalam Majmu‘ al-Fatawa (24/270) menyebutkan, rawatan dengan cara memakan lemak babi adalah tidak dibenarkan. Akan tetapi jika rawatan dengan cara melumurkannya (lemak babi) pada kulit, kemudian dicuci selepas itu, maka ia dibolehkan berdasarkan kepada keharusan menyentuh najis di luar solat. Terdapat khilaf yang masyhur mengenainya, tetapi pendapat yang sahih adalah ia dibolehkan disebabkan oleh keperluan (hajat). Apa yang dibolehkan kerana suatu keperluan, maka turut dibolehkan berubat dengannya.

Maka, Syeikh al-Islam membezakan antara penggunaannya sebagai makanan dan penggunaannya untuk tujuan lain, dalam hal menyentuh benda najis. Justeru, bagaimana pula dengan alkohol yang sememangnya bukan najis? Hal ini kerana jika ia bukan arak maka kesuciannya adalah jelas. Begitu juga jika ia adalah arak, maka mengikut pendapat yang benar ia tidak dikira sebagai najis.

Kemudian, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menukilkan pula fatwa Syeikh Muhammad Rasyid Redha yang menyimpulkan bahawa alkohol adalah bahan suci yang membersihkan dan salah satu bahan asas dalam bidang farmasi, perubatan, dan pelbagai industri serta digunakan dalam beratus-ratus ubat. Jadi, melarang umat Islam daripada menggunakannya akan menyekat mereka daripada menguasai ilmu, seni, dan banyak bidang lain. Ini adalah salah satu sebab mengapa bangsa Eropah mendahului umat Islam dalam bidang seperti kimia, farmasi, perubatan, rawatan, dan perindustrian. Melarang penggunaan alkohol dalam konteks ini boleh menjadi punca kematian ramai pesakit atau orang cedera atau menyebabkan sakit mereka menjadi lebih lama dan semakin bertambah. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/256-259).

Tambahan lagi, menurut Dr. Basri bin Ibrahim ketika beliau membahaskan berkenaan penggunaan alkohol dalam pemprosesan membuat minyak wangi, beliau ada menyentuh berkenaan penggunaan alkohol Ethyl. Alkohol Ethyl adalah roh kepada arak. la merupakan bahan asasi yang memberi kesan di dalam menghilangkan akal, di samping berbagai-bagai lagi kandungan lain, yang terdapat di dalamnya. Bahan-bahan lain yang wujud di dalamnya, merupakan makanan, warna dan bau untuk membolehkannya mempunyai rasa dan perisa yang lazat dan digemari oleh peminat-peminatnya. Ia berbeza dan antara satu jenis dengan satu jenis yang lain, sebagaimana berbeza kandungan alkohol yang terkandung di dalamnya, mengikut nama dan ciri-ciri pengeluarannya.

Ulama sepakat mengharamkan minuman arak yang mengandungi kandungan tertentu alkohol yang memabukkan tanpa mengira samada meminumnya dalam kuantiti yang sedikit ataupun banyak. Minum sedikit akan mendorong seseorang untuk meminum banyak. Sesuatu yang diambil dengan banyak boleh memabukkan, bererti mengambil sedikit sahaja juga diharamkan. Alkohol Ethyl yang dijual di farmasi yang tidak lagi diproses daripada arak sekarang dan juga tidak diproses dari perahan buah-buahan yang memabukkan, bahkan kebiasaannya mengeluarkan gas tabii (Gas petrol) dan lain-lain bahan peringkat pertama yang memabukkan selepas dilakukan tindak balas kimia, berbeza dengan arak dari beberapa sudut. Antaranya pengeluaran, pemasaran dan penggunaan alkohol jenis ini, bukanlah sebagai bahan yang memabukkan.

Andaikata diambil sebagai bahan minuman yang memabukkan di dalam kuantiti yang besar, akan membawa keracunan kepada pihak yang mengambilnya. Oleh kerana itu ia lebih sesuai dikategorikan sebagai racun dan bukannya minuman yang memabukkan. Cuma tujuan asas pemprosesan, pengeluaran dan penggunaannya di farmasi-farmasi dan lain-lain, adalah untuk mencairkan sesetengah bahan yang diambil dari tumbuh-tumbuhan, minyak wangi, mematikan mikrob, kuman, mengkelaskan minyak wangi dan lain-lain tujuan yang bersih dari sebarang keburukan dan dosa.

Selain itu, alkohol juga antara bahan yang digunakan di dalam memproses kebanyakan makanan dan minuman halal. Cuma kandungannya sahaja yang kecil iaitu sekitar 5%. Kadang-kadang lebih dari kuantiti ini. Itupun berlaku secara semulajadi dan bukannya hasil tindak balas yang dilakukan oleh seseorang. Misalnya seluruh jenis perahan buah-buahan, susu pekat (Zabadi) dan bahan-bahan pengawet. Tidak ada satupun daripada makanan dan lain-lain yang kita sebutkan di sini dari segi saintifiknya boleh diletakkan dibawah kategori benda-benda yang memabukkan atau minuman beralkohol. Tidak ada seorangpun yang mengatakan, ia merupakan bahan-bahan yang mengandungi alkohol. Di kalangan para ulama pula, tidak ada perselisihan di kalangan mereka dari segi kebolehan menggunakan bahan-bahan ini.

Menurut Muhammad Ali al-Bar, pakar perubatan daripada Arab Saudi dan juga penasihat Bahagian Perubatan Islam Pusat Penyelidikan Perubatan al-Malik Fahd, Universiti al-Malik Abd al-Aziz, Jeddah, menggunakan alkohol jenis ini untuk mencairkan minuman Coca Cola, dimana kuantiti kecil ditaruh di dalam kuantiti air yang banyak, sehingga jika seseorang meminumnya, tidak akan mabuk, adalah harus, kerana alasan pengharamannya iaitu memabukkan, sudah tidak ada. Ulama menyamakan alkohol seumpama ini, dengan najis yang sedikit yang jatuh ke dalam air yang banyak, yang lebih daripada dua kolah, yang tidak menjejaskan kesucian air itu. Apatah lagi, bahan yang dikenali dengan nama alkohol Ethyl dikira sebagai bahan yang suci, sekiranya kita letakannya sebagai satu bahan yang baru, kerana memakai prinsip asal sesuatu benda itu adalah suci.

Tambahan lagi, arak terdiri dari lebih daripada empat puluh bahan selain daripada alkohol Ethyl. Bahan-bahan yang ditambahkan kepadanya seperti rasa, citasa rasa, bau dan warna, mempunyai peranan asas di dalam menjadikannya minuman yang memabukkan dan bukannya alkohol Ethyl sahaja. Ini dalam keadaan terdapat perbezaan yang ketara di antara alkohol dengan arak. Sehubungan dengan itu, tidak menjadi kesalahan menurut kacamata syariah, mengeluar dan menggunakan bau-bauan atau minyak wangi, yang menggunakan alkohol, sebagai bahan untuk mencairkan bahan- bahan minyak wangi yang ringan, kerana termasuk ke dalam perhiasan dan benda-benda yang baik yang terdapat di dalam kehidupan dunia ini. Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

(Surah al-A‘raf: 32)

Ini disokong dengan resolusi yang dikeluarkan oleh Nadwah Figh Perubatan kali Kelapan anjuran Pertubuhan Ilmu-Ilmu Perubatan Islam yang berlangsung di Kuwait (dari 22-24 Mei 1995). Resolusi tersebut antara lain menyebut:

“Bahan alkohol tidak najis dari segi syarak, berdasarkan kepada perakuan yang lalu, yang berasaskan kepada prinsip asal sesuatu itu adalah suci, sama ada alkohol itu sahaja atau telah dicampurkan dengan air, kerana menerima pakai pandangan ulama yang menghukumkan kenajisan arak dan lain-lain bahan yang memabukkan, hanyalah berbentuk maknawi dan bukannya hissi, kerana ia dianggap sebagai benda kotor yang menjadi kesukaan syaitan. Dari itu tidak menjadi kesalahan dari segi syarak, menggunakan alkohol dari sudut perubatan sebagai bahan pencuci kulit, kecederaan, ubat-ubatan dan pembunuh kuman. Begitu juga dengan penggunaan minyak wangi (Air Colonia) yang menggunakan alkohol, sebagai bahan pelarut kepada bahan-bahan minyak wangi yang ringan atau penggunaan krim yang mengandungi alkohol. Ia tidak ada kaitan dengan arak, kerana arak haram diambil manfaat daripadanya.” (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa oleh Dr. Basri bin Ibrahim, hlm. 598-605).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa alkohol sintetik yang dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak, sebaliknya ia dihasilkan melalui proses sebatian kimia dan seumpamanya adalah dihukumkan sebagai suci dan diharuskan penggunaannya. Maka dibolehkan penggunaannya dalam industri perubatan, farmasi, makanan dan lain-lain. Sekalipun begitu keharusan tersebut terikat selagi mana ia tidak mengandungi bahan-bahan lain bernajis dan tidak memudaratkan penggunanya. Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Bahkan pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=alkohol. Diakses pada 14 September 2023.

[2] Lihat https://www.britannica.com/science/alcohol. Diakses pada 15 September 2023.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply