Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang pembelian waranti kereta, ia dibuat selepas 7 tahun membeli kereta. Apakah hukumnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Waranti menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat didefinisikan sebagai jaminan secara bertulis yang diberikan oleh syarikat kepada pembeli untuk membaiki atau menukarkan sesuatu barang yang dibeli jika barang itu rosak atau tidak berfungsi dalam tempoh masa tertentu.

Hukum asal membeli waranti sahaja secara berasingan selepas pembelian barang, seperti seseorang membeli barang tanpa waranti lalu membeli waranti, atau membeli satu barang yang sudah tamat warantinya kemudian membeli waranti baru, maka ini urusan jual beli ini tidak dibenarkan.

Hal ini kerana  terdapat padanya unsur gharar (ketidakpastian) dan perjudian nasib yang jelas diharamkan oleh syara‘. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

نَهَى رَسُولُ اللهِ ﷺ عَنْ بَيْعِ الحَصَاةَ، وَعَنْ بَيْعِ الغَرَرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang daripada jual beli dengan cara melempar kerikil, dan daripada jual mempunyai unsur gharar.”

Riwayat Muslim (1513)

Berbalik kepada situasi yang disebutkan oleh saudara yang  bertanya, waranti yang dibeli bukanlah ketika membeli kereta tersebut, bahkan waranti itu dibeli setelah 7 tahun membeli kereta tersebut. Maka hukum membeli waranti untuk kereta tersebut secara berasingan adalah tidak dibolehkan kerana terdapat unsur gharar seperti yang disebutkan.

Bagaimana Unsur Gharar Itu Terdapat dalam Waranti Ini?

Melihat kepada takrif atau definisi Waranti yang telah kami bawakan di atas, seseorang pembeli waranti itu perlu membayar sejumlah wang kepada penjual, dengan imbal balas bahawa penjual akan menjamin kerosakan yang berlaku pada sesuatu barang dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Di sini, terdapatnya kebarangkalian barang tersebut akan rosak dalam tempoh tersebut, dan juga kebarangkalian barang tersebut tidak rosak dalam tempoh tersebut. Kebarangkalian inilah yang unsur gharar yang disebutkan tersebut, kerana tidak adanya kepastian bilakah barang tersebut akan rosak, dan bilakah pembeli dapat menggunakan khidmat jaminan tersebut.

Ini juga boleh mengakibatkan kerugian kepada sebelah pihak sahaja, iaitu pembeli, sekiranya jaminan tersebut tidak dapat digunakan dalam tempoh yang telah ditetapkan. Dan ia akan memberikan keuntungan kepada sebelah pihak sahaja, iaitu penjual, kerana dia tidak perlu mengeluarkan apa-apa modal untuk menjamin barang pembeli tersebut.

Ini bertepatan dengan mafhum ilmuan Islam terhadap gharar. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, gharar itu adalah apa yang tidak diketahui akibatnya, maka jual beli gharar itu termasuklah dalam perjudian. (Lihat al-Qawa‘id al-Nuraniyyah, hlm. 169)

Imam Abu Ishaq al-Syirazi menyebutkan, gharar adalah apa yang terlibat dalam perkaranya dan akibatnya tersembunyi daripadanya. (Lihat al-Muhazzab, 2/12)

Pengecualian Waranti Bersama Barang yang Dibeli

Adapun, hukum waranti yang disertakan dengan barang yang dibeli adalah diharuskan, berbeza dengan hukum waranti yang dibeli secara berasingan.

Syeikh Dr. Sa‘d al-Khathlan ketika ditanya tentang masalah ini, beliau menajawab bahawa hukumnya sama dengan hukum membeli buah yang belum masak. Hukum asal membeli buah yang belum masak itu sahaja adalah tidak dibolehkan, akan tetapi sekiranya seseorang membeli sebuah pokok atau kebun yang padanya terdapat buah yang belum masak, maka hukum jual beli itu adalah sah.

Ini berdasarkan sebuah kaedah yang menyebutkan:

يُغْتَفَرُ فِي التَّوَابِعِ مَا لَا يُغْتَفَرُ فِي غَيْرِهَا

Maksudnya: “Dimaafkan pada perkara-perkara ikutan sampingan apa yang tidak maafkan pada selainnya.”[1]

Seperti yang disebutkan Dr. Khalid al-Muslih, waranti ketika membeli sesuatu barangan itu termasuk dalam bab al-Wa‘d (الوَعْدُ) atau bab mensyaratkan manfaat bagi pembeli, dan kedua-duanya adalah harus.  (Lihat al-Hawafiz al-Tijariyyah, hlm. 246)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan ringkas di atas, kami katakan bahawa hukum membeli waranti kereta secara berasingan adalah tidak dibolehkan kerana terdapat unsur gharar yang ditegah oleh syara‘, sama seperti hukum membeli buah yang belum masak daripada pokok.

Sebarang urusan jual beli yang tidak memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara’ adalah tidak sah. Apa jual beli yang mempunyai unsur riba’, gharar, atau perjudian seharusnya dijauhi. Semoga pencerahan ini menjadikan kita memahami perkara yang terkait dengan isu tambahan nilai kepada waranti dengan tambahan masa.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya.”

Wallahu a‘lam

[1] Lihat https://www.google.com/search?q=%D9%85%D8%A7+%D8%AD%D9%83%D9%85+%D8%B1%D9%81%D8%B9+%D8%B3%D8%B9%D8%B1+%D8%A7%D9%84%D8%B3%D9%84%D8%B9%D8%A9+%D9%84%D8%B2%D9%8A%D8%A7%D8%AF%D8%A9+%D9%85%D8%AF%D8%A9+%D8%A7%D9%84%D8%B6%D9%85%D8%A7%D9%86%D8%9F+%D9%81%D8%A3%D8%AC%D8%A7%D8%A8%3A+%22%D9%84%D8%A7+%D8%A8%D8%A3%D8%B3+%D8%A8%D9%87+%D8%A5%D8%B0%D8%A7+%D9%83%D8%A7%D9%86+%D8%B9%D9%86+%D8%AA%D8%B1%D8%A7%D8%B6+%E2%80%A6.+%D8%A3%D9%85%D8%A7+%D8%A8%D9%8A%D8%B9+%D9%83%D8%B1%D9%88%D8%AA+%D8%A7%D9%84%D8%B6%D9%85%D8%A7%D9%86+%D9%85%D8%B3%D8%AA%D9%82%D9%84%D8%A9+%D9%81%D9%84%D8%A7+%D9%8A%D8%AC%D9%88%D8%B2&rlz=1C1KNTJ_enMY1067MY1068&oq=%D9%85%D8%A7+%D8%AD%D9%83%D9%85+%D8%B1%D9%81%D8%B9+%D8%B3%D8%B9%D8%B1+%D8%A7%D9%84%D8%B3%D9%84%D8%B9%D8%A9+%D9%84%D8%B2%D9%8A%D8%A7%D8%AF%D8%A9+%D9%85%D8%AF%D8%A9+%D8%A7%D9%84%D8%B6%D9%85%D8%A7%D9%86%D8%9F+%D9%81%D8%A3%D8%AC%D8%A7%D8%A8%3A+%22%D9%84%D8%A7+%D8%A8%D8%A3%D8%B3+%D8%A8%D9%87+%D8%A5%D8%B0%D8%A7+%D9%83%D8%A7%D9%86+%D8%B9%D9%86+%D8%AA%D8%B1%D8%A7%D8%B6+%E2%80%A6.+%D8%A3%D9%85%D8%A7+%D8%A8%D9%8A%D8%B9+%D9%83%D8%B1%D9%88%D8%AA+%D8%A7%D9%84%D8%B6%D9%85%D8%A7%D9%86+%D9%85%D8%B3%D8%AA%D9%82%D9%84%D8%A9+%D9%81%D9%84%D8%A7+%D9%8A%D8%AC%D9%88%D8%B2&aqs=chrome..69i57.357j0j7&sourceid=chrome&ie=UTF-8#fpstate=ive&vld=cid:6398c97e,vid:VTHdkJYCpzs,st:0. Diakses pada 18 September 2023.

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply