Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah seorang anak perempuan yang sudah berkahwin berjalan dalam rumah dan mendedahkan buah dadanya kepada bapa tirinya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Pada asasnya, bapa tiri adalah mahram mu‘abbad (selamanya) kepada anak tiri, apabila sudah berlaku persetubuhan antara bapa tiri itu dan ibu mereka selepas mereka sah berkahwin. Ini berdalilkan firman Allah SWT:
وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُمْ مِنْ نِسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُمْ بِهِنَّ
Maksudnya: “Dan (juga perempuan-perempuan yang diharamkan kamu berkahwin dengan mereka ialah) anak-anak perempuan tiri kamu yang telah kami setubuhi ibu-ibu mereka.”
Surah Al-Nisa’ (23)
Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:
#424 Mahram Perempuan Dengan Bapa Tiri[1]
Secara asasnya, ulama mazhab Syafi’ie menyatakan bahawa aurat wanita di hadapan mahramnya ialah antara pusat dan lutut sama ada mahramnya yang lelaki atau perempuan dan begitu juga antara wanita dan wanita. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 6/188-189)
Meskipun dinyatakan bahawa aurat wanita di hadapan lelaki mahram antara pusat dan lutut, namun seseorang wanita tidak boleh mendedahkan bahagian tubuhnya yang boleh menaikkan syahwat di hadapan mahramnya. Ini kerana setiap muslim wajib meninggalkan segala perkara yang boleh menimbulkan fitnah.
Hal ini sebagaimana yang disebut oleh al-Khatib al-Syirbini: “(Dan janganlah mahramnya melihat bahagian tubuh antara pusat hingga lutut).” Iaitu: Pandangan terhadap itu adalah haram menurut kesepakatan. “Dan dihalalkan untuk melihat tanpa syahwat untuk bahagian tubuh selain daripada yang disebutkan itu, iaitu selain daripada antara pusar hingga lutut, kerana haramnya melihat pada hal yang berkaitan dengan makna yang mengakibatkan haramnya hubungan perkahwinan. Dan dikatakan: Yang dihalalkan adalah dengan melihat (apa yang terlihat) daripadanya pada hal kebiasaannya.” Hal ini kerana dalam hal lain, tiada keperluan untuk memandangnya. Yang dimaksudkan dengan yang terlihat pada hal kebiasaannya adalah wajah, kepala, leher, tangan hingga siku, dan kaki hingga lutut. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/210)
Ibnu ‘Asyur berkata: “Kerana kesukaran dalam menyembunyikan perhiasan yang bukanlah yang nyata pada kebanyakan waktu, maka berpakaianlah bagi wanita ketika di hadapan sanak saudara lelaki dan mertua yang terkecuali (suami). Pakaian ini merupakan suatu perkara berulang. Jika dia wajib menutup perhiasannya pada waktu-waktu tersebut, maka itu menjadi sesuatu yang membebankan baginya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 18/208)
Perkara ini dinyatakan di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji: “Manakala (aurat wanita) di hadapan lelaki-lelaki mahramnya adalah antara pusat dan lutut, iaitu dia harus mendedahkan seluruh penjuru badannya di hadapan mereka dengan syarat aman daripada fitnah, jika sebaliknya (wujud fitnah) maka itu tidak boleh (haram) juga.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/125)
Ibnu Qudamah berkata: “Bagi lelaki, adalah dibenarkan untuk melihat sebahagian daripada aurat mahramnya yang biasanya dia lihat, seperti leher, kepala, tangan hingga pergelangan, dan kaki hingga mata kaki dan seumpamanya. Namun, dia tidak dibenarkan melihat sebahagian daripada aurat mahramnya yang biasanya tertutup, seperti dada dan belakang dan seumpamanya. Al-Athram (الْأَثْرَمُ) berkata: “Aku bertanya kepada Abu Abdullah tentang seorang lelaki yang melihat rambut isteri bapanya atau isteri anak lelakinya? Dia menjawab: “Ini telah ada dalam Al-Quran: ‘Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya…’ kecuali ini dan itu.” Aku bertanya lagi: “Adakah dibenarkan untuk melihat betis isteri bapanya dan dadanya?” Dia menjawab: “Tidak, aku tidak sukai hal ini.” Kemudian dia berkata: “Aku tidak menyukai seseorang lelaki melihat ibu atau saudara perempuannya dalam keadaan seperti ini, atau melihat segala perkara dengan nafsu syahwat.” (Lihat al-Mughni, 7/98)
Terdapat pengecualian yang telah ditetapkan oleh para ulama yang seseorang itu boleh mendedahkan auratnya di hadapan kanak-kanak yang belum mumayyiz, sepertimana yang dinyatakan oleh syeikh al-Islam Zakaria al-Ansori: “Adapun bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz keberadaan mereka seumpama tiada, maka diharuskan mendedahkan aurat dihadapannya.” (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh Raudhu al-Tolib, 3/111)
Al-Lajnah al-Daimah dalam menjawab persoalan ini menjawab: “Apa yang dibenarkan untuk diperlihatkan kepada anak-anak lelaki (bagi ibu) adalah yang telah menjadi kebiasaan untuk diperlihatkan, seperti wajah, tangan, lengan, dan kaki, dan sebagainya.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah, 17/297)
Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak boleh berpakaian sebegitu di hadapan bapa tiri kerana ia boleh mendatangkan syubhat dan syahwat. Maka sebaiknya berpakaianlah dengan sopan di hadapan kaum keluarga terutamanya aurat-aurat yang berat seperti buah dada, peha dan seumpamanya.
Akhir sekali, semoga Allah mempermudahkan segala urusan seharian kita dalam memahami dan mempelajari ajaran agama Islam ini. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
Wallahua‘lam
[1] https://maktabahalbakri.com/424-mahram-perempuan-dengan-bapa-tiri/#_ftn3
Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445