Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan hukum melakukan tawaf sunat dalam keadaan berihram, dan melewatkan tawaf umrah (dan keseluruhan ibadah umrah) kerana melakukan tawaf sunat terlebih dahulu. Adakah ia dibolehkan? Contohnya saya masuk ke dalam Masjidil Haram sebelum waktu maghrib dalam keadaan berihram, menunaikan solat Maghrib, kemudian tawaf sunat, kemudian solat Isyak, dan hanya selepas itu barulah mula melakukan tawaf umrah? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan tawaf. Secara ringkasnya, tawaf dari segi bahasa bermaksud sesuatu yang berpusing-pusing mengelilingi sesuatu. Manakala dari segi istilah, ia bermaksud beribadah kepada Allah SWT dengan cara mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan berserta doa. (Lihat al-Ta‘rifat al-Fiqhiyyah, hlm. 138;  al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/120; Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami, 3/286).

Di antara dalil yang menunjukkan kepada pensyariatan tawaf ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَعَهِدْنَا إِلَىٰ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ أَن طَهِّرَا بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْعَاكِفِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya:Dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan berfirman): ‘Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjidil Haram daripada segala perkara yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan sujud.’

(Surah al-Baqarah: 125)

Ayat di atas menunjukkan kepada pensyariatan ibadah tawaf di Baitullah, dan ia termasuk dalam ibadah kepada Allah yang dikerjakan sejak dahulu lagi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, 2/172).

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا طَافَ فِي الحَجِّ أَوِ العُمْرَةِ، أَوَّلَ مَا يَقْدَمُ سَعَى ثَلاَثَةَ أَطْوَافٍ، وَمَشَى أَرْبَعَةً، ثُمَّ سَجَدَ سَجْدَتَيْنِ، ثُمَّ يَطُوفُ بَيْنَ الصَّفَا وَالمَرْوَةِ

Maksudnya:Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila tawaf ketika mengerjakan haji ataupun umrah, perkara pertama yang dilakukannya ketika tiba (di Baitullah) ialah berlari-lari anak tiga kali pusingan (tawaf), dan berjalan empat pusingan (tawaf yang selanjutnya). Kemudian Baginda solat dua rakaat lalu melaksanakan sa‘i antara Safa dan Marwah.

Riwayat al-Bukhari (1616)

Menurut Imam al-Nawawi, tawaf disunatkan bagi setiap orang yang masuk ke dalam Masjidil Haram sama ada dalam keadaan berihram ataupun tidak, melainkan apabila masuk dia bimbang terluput waktu solat fardhu atau solat witir, atau solat sunat fajar atau selainnya daripada sunat-sunat rawatib, atau terlepas solat fardhu secara berjemaah sekalipun waktunya masih panjang atau dia mempunyai solat fardhu yang perlu digantikan, maka ketika itu dia hendaklah mendahulukan semua perkara tersebut terlebih dahulu daripada tawaf. Kemudian barulah dia melakukan tawaf. Sekiranya dia masuk dan ketika itu orang ramai ditegah daripada melakukan tawaf, maka dia hendaklah mendirikan solat tahiyyatul masjid.

Tawaf disunatkan bagi setiap orang yang masuk ke dalam Masjidil Haram sama ada dalam keadaan berihram ataupun tidak, melainkan apabila masuk dia bimbang terluput waktu solat fardhu atau solat witir, atau solat sunat fajar atau selainnya daripada sunat-sunat rawatib, atau terlepas solat fardhu secara berjemaah sekalipun waktunya masih panjang atau dia mempunyai solat fardhu yang perlu digantikan, maka ketika itu dia hendaklah mendahulukan semua perkara tersebut terlebih dahulu daripada tawaf. Kemudian barulah dia melakukan tawaf. Sekiranya dia masuk dan ketika itu orang ramai ditegah daripada melakukan tawaf, maka dia hendaklah mendirikan solat tahiyyatul masjid.

Dalam ibadah haji terdapat tiga jenis tawaf iaitu tawaf qudum, tawaf ifadhah dan tawaf wada’. Dimasukkan tawaf yang keempat iaitu tawaf sunat yang tidak termasuk dalam tiga kategori  tawaf ini. Tawaf qudum hukumnya adalah sunat dan bukannya wajib. Jika ditinggalkan, dia tidak dikenakan apa-apa. Manakala tawaf ifadhah pula termasuk dalam rukun haji. Justeru tidak sah ibadah haji seseorang tanpanya. Tawaf wada’ pula hukumnya adalah wajib mengikut pendapat yang asah, dan ia tidak termasuk dalam rukun. Terdapat pendapat menyatakan hukumnya adalah sunat seperti tawaf qudum.

Selanjutnya, Imam al-Nawawi ketika membahaskan dengan lebih lanjut berkenaan tawaf qudum, beliau menyebutkan, adapun bagi penduduk Makkah, tidak dapat digambarkan pada hak mereka berlakunya tawaf qudum kerana tidak ada qudum (ketibaan) bagi mereka. Begitu juga bagi sesiapa yang berihram dengan umrah, tidak dapat digambarkan pada haknya berlaku tawaf qudum. Bahkan apabila dia melakukan tawaf bagi umrah, maka dikira sah baginya tawaf umrah dan tawaf qudum sebagaimana memadai (yakni diambil kira) solat fardhu bagi tahiyyatul masjid. Sehinggakan kalaulah orang yang mengerjakan umrah melakukan tawaf dengan niat tawaf qudum, nescaya tetap dikira sebagai tawaf umrah sama seperti seseorang yang masih lagi menanggung haji Islam, tetapi berniat ihram dengan haji sunat, maka tetap dikira sebagai haji Islam. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 150-152).

Kesimpulannya

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa perbuatan mendahulukan tawaf sunat berbanding tawaf umrah adalah khilaf aula — menyelisihi perkara yang lebih utama. Bahkan sebenarnya dengan melakukan tawaf sunat (sebelum melakukan tawaf umrah) itu dalam ihram umrah, sudah memadai baginya tawaf umrah. Dalam erti kata lain, ia tetap/sudah dikira sebagai melakukan tawaf umrah.

Dalam hal ini sepatutnya seseorang itu melakukan tawaf umrah terlebih dahulu, kemudian barulah melakukan tawaf sunat. Hal ini kerana selari dengan fiqh al-Aulawiyyat bahawa perkara yang besar mesti diutamakan berbanding perkara yang kecil, perkara yang usul mengatasi perkara yang cabang, perkara yang fardhu dan wajib lebih utama daripada perkara yang sunat, dan begitu juga perkara yang wajib segera lebih utama daripada perkara wajib boleh ditangguh. Oleh yang demikian, melakukan tawaf umrah terlebih dahulu berbanding tawaf sunat adalah lebih baik kerana dia telah menyelesaikan dan menyempurnakan yang wajib dahulu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply