Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya telah bercerai hidup dengan bekas isteri saya pada tahun lepas setelah kecurangannya saya ketahui. Hasil perkahwinan tersebut, kami telah dipinjamkan dengan seorang zuriat. Setelah sah perceraian di mahkamah, saya telah meminta bekas isteri untuk memfailkan tuntutan nafkah, supaya court order tersebut menjadi saksi bahawa saya tidak curang kepada tanggungjawab saya kepada anak tersebut.

Namun menjadi suatu isu berbangkit berkenaan waktu penjagaan anak. Bekas isteri mendakwa dia bekerja tertakluk kepada odd shift yang ditetapkan oleh majikannya, berdasarkan roster yang akan dikongsikan beberapa minggu sebelum shift bermula. Maka dia telah meminta saya supaya menjaga anak tersebut pada kebanyakan hujung minggu atas alasan dia terpaksa bekerja dan tidak ada pengasuh yang boleh diupah untuk menjaga anak tersebut.

Oleh kerana odd shift bekas isteri mungkin berubah-ubah menjadikan waktu hujung minggunya cuti dan dia boleh menggunakan masa tersebut untuk tujuan peribadi sedangkan saya menghabiskan waktu peribadi hujung minggu saya untuk menjaga anak. Soalan saya, bagaimanakah sikap Islam dalam perihal penjagaan anak dalam situasi ini? Setakat manakah hak dan hadnya dalam hal ini selepas berlakunya perceraian? Mohon Dato’ Seri Dr memberikan pandangan. Jutaan terima kasih saya dahulukan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Hadhanah

  • Menurut Syeikh Ali al-Jurjani, “hadhanah” ialah: “تربية الولد” (pengasuhan anak). (Lihat al-Ta`rifat, hlm. 88)
  • Dalam Raudhah al-Talibin oleh Imam al-Nawawi, “hadhanah” bererti:“Mendirikan (hak-hak) dengan menjaga orang yang tidak mumaiyiz dan tidak berdikari untuk dengan urusan diri sendiri, dan mengasuhnya dengan apa yang layak untuknya dan memeliharanya daripada apa yang menyakitinya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/98)

Islam telah menetapkan bahawa yang paling layak mendapat hak jagaan anak setelah terbubarnya sebuah perkahwinan adalah ibu kepada anak-anak tersebut selagi mana si ibu tersebut belum berkahwin dengan suaminya yang baru. Sabda Nabi SAW: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي  menunjukkan bahawa ibulah yang berhak mendapatkan jagaan bagi anak kecil tersebut. Keputusan hadhanah ini akan diputuskan oleh pihak Mahkamah Syariah dan sekiranya si ibu didapati oleh pihak mahkamah hilang kelayakan untuk menjaga anak tersebut,

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#343 Hak Penjagaan Anak-anak[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan pada asalnya hak menjaga anak adalah kepada ibu kandung. Namun, dari sudut tanggungjawab menjaga anak adalah tanggungjawab bersama iaitu si ibu dan ayah. Setelah si anak telah mumayyiz (setelah sampai umurnya 7/8 tahun mengikut keadaan kanak-kanak), si anak berhak untuk memilih untuk tinggal bersama si ibu atau ayah. Akan tetapi, tanggungjawab sebagai ibubapa tetap perlu dijalankan. Oleh itu, dalam isu ini kami nyatakan meskipun sudah bercerai tanggungjawab dalam menjaga anak adalah tanggungjawab bersama. Nasihat kami sebaiknya saudara berbincang bersama bekas isteri seperti mencari pembantu rumah untuk menguruskan anak dan seumpamanya. Namun, tegas kami di sini hak menjaga anak adalah tanggungjawab bersama dan tidak boleh dilepaskan begitu saja kerana ia amanah yang telah diberikan oleh Allah SWT. Anak-anak juga memerlukan kasih sayang dari ibubapanya dan inilah yang mencorak hidup si anak ketika meningkat dewasa kelak.

Kami nukilkan di sini kenyataan kami berkenaan memberi pendidikan dan pengajaran yang terbaik kepada anak-anak:

“Hal ini berdasarkan hadis, Rasulullah SAW bersabda:

أَدِّبُوا أَوْلَادَكُمْ عَلَى ثَلَاثِ خِصَالٍ: حُبُّ نَبِيِّكُمْ، وَحُبُّ أَهْلِ بَيْتِهِ، وَقِرَاءَةُ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Didiklah anak-anakmu tiga perkara: Cintakan Nabimu, cintakan keluarga Nabimu dan membaca al-Quran.”

Riwayat Abu Nasr Abd al-Karim al-Syirazi dalam Fawa’id-nya; al-Dailami dan Ibn al-Najjar sep- erti dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Suyuti (311). Dinilai sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (251)

Begitu juga hadis, Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، فَالْأَمِيرُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ عَلَيْهِمْ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالرَّجُلُ وَاعِ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ، وَالمَرْأَةَ رَاعِيَةٌ عَلَى بَيْتِ بَعْلِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ، وَالْعَبْدُ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ، أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَعَلَكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpinnya, pemerintah yang memegang urusan manusia adalah pemimpin keatas mereka dan bertanggungjawab keatas mereka, seorang lelaki adalah pemimpin keatas keluarganya dan dia bertanggungjawab keatas mereka, seorang wanita adalah pemimpin ke atas rumah suaminya serta anaknya dan dia bertanggungjawab keatas mereka, seorang hamba adalah pemimpin keatas harta majikannya dan dia bertanggung jawab ke atas harta itu. Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab keatas apa yang dipimpinnya.”

Riwayat al-Bukhari (2554) dan Muslim (1829)

Rasulullah SAW bersabda:

ما نحل والد ولده أفضل من أدب حسن

Maksudnya: “Tidaklah seorang bapa mendidik anaknya lebih baik daripada akhlak yang mulia.”

Riwayat al-Tirmizi (1952), Ahmad (15403) dan al-Baihaqi (2365).

Rasulullah SAW bersabda lagi:

أَكْرِمُوا أَوْلَادَكُمْ وَأَحْسَنُوا أَدَبَهُمْ

Maksudnya: “Hendaklah kamu muliakan anak-anak kamu, dan didiklah mereka dengan peradaban yang baik (terpuji).”

Riwayat Ibn Majah (3671), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (6/400) dan al-Qadha’i dalam Musnad al-Syihab (1/389)

Abdul Razak dan Said Ibn Mansur dan lain-lain telah mentakhrijkan hadith daripada Ali RA yang bermaksud: “Ajarlah anak-anakmu serta keluargamu segala kebaikan dan didiklah mereka.”

Sebenarnya, ibu memainkan peranan yang cukup besar dalam mendidik anak-anak dan mengatur urusan rumahtangga.

Penyair pernah bermadah:

الأُمُّ مَدْرَسَةٌ إِذَا أَعْدَدْتَهَا أَعْدَدْتَ شَعْبًا طَيِّبَ الْأَعْرَاقِ

Tou sebagai madrasah jika kamu sediakannya,

             Kamu sediakan umat yang menjadi generasi yang terbaik”

 

Untuk maklumat yang lebih terperinci, boleh lihat buku terbitan kami yang berjudul Baiti Jannati, halaman 41 hingga 44.

Semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan sedikit maklumat bagi mereka diluar sana dalam memahami isu hak jagaan anak yang masih kecil sekiranya berlaku perceraian. Hadhanah ini tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menguruskan tanggungjawab berkaitan kemaslahatan anak kecil tersebut sehingga tidak berlaku kezaliman ke atas mereka dan juga tidak terabai.

Wallahu a‘lam

[1] https://maktabahalbakri.com/343-hak-penjagaan-anak-anak/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply