#3165: Kekeliruan dalam Membayar Zakat Pendapatan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya menerima gaji bulanan yang besar dari majikan dan saya rasakan ia tidak setimpal dengan kerja yang telah saya lakukan. Apakah status gaji saya itu dari aspek hukum? Saya khuatir lalu saya mengambil jalan keluar dengan melebihkan bayaran zakat saya. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Zakat pendapatan bermaksud zakat yang dikenakan ke atas perolehan melalui gaji dan pendapatan bebas. Menurut Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitab Fiqh al-Zakah, pekerjaan manusia adakalanya bebas tanpa terikat dengan kerajaan. Di kalangan mereka ada yang jadi doktor, jurutera, peguam, tukang jahit, tukang kayu dan sebagainya. Adakalanya ia terikat dengan jabatan kerajaan, swasta dan sebagainya di mana mereka bekerja dan diberi gaji bulanan secara tetap. Pendapatan yang diperolehi itu dipanggil al-mal al-mustafad. Ia wajib dizakatkan. (Lihat Fiqh al-Zakah: Dirasah Muqaranah li Ahkamiha wa Falsafatiha fi Dhau’i al-Quran wa al-Sunnah, 1/519)

Kewajipan zakat ke atas pendapatan yang diperoleh dapat dilihat dan difahami melalui maksud daripada  firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian daripada apa yang kami keluarkan dari bumi untuk kamu, dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat).”

(Surah al-Baqarah: 267)

Berkenaan isu zakat pendapatan, kami juga ada sebut di dalam artikel sebelum ini:

#1603: Tidak Membayar Zakat Pendapatan[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah sekiranya saudara mendapat gaji tambahan dari majikan saudara. Hal ini kerana boleh jadi syarikat atau perniagaan pada bulan tersebut mendapat keuntungan yang lebih, maka ia kembali kepada hukum harus. Adapun, dalam isu membayar zakat pendapatan, saudara perlu melihat dari sudut syarat nisab zakat. Sekiranya ia cukup nisab, maka ketika itu wajib membayar zakat pendapatan, begitu juga sebaliknya. Maka, untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kiraan zakat pendapatan mengikut hasil pendapatan saudara, saudara boleh rujuk ke laman web zakat mengikut negeri saudara. Sebagai contohnya di Selangor: https://zakatmalaysia.com/zakat-pendapatan/

Akhirnya, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT mudah-mudahan Allah SWT bahagiakan hidup kita dan meluaskan hidup kita termasuk melunaskan pinjaman atau hutang.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Riwayat al-Bukhari (6369), Abu Dawud (1555), al-Tirmizi (3484), al-Nasa’ie (5449) dan al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (305)

[1] https://maktabahalbakri.com/1603-tidak-membayar-zakat-pendapatan/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *