#3182: Solat Jumaat: Kekeliruan Dalam Maksud 40 Orang Jemaah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya berkenaan solat jumaat. Saya belajar feqah berkenaan solat jumaat dengan beberapa ustaz. Dalam pembelajaran tersebut, dimaklumkan bahawa salah satu syarat sah solat jumaat adalah mesti ada sekurang-kurangnya 40 orang jemaah yang bermastautin di situ. Bermastautin di sini bermaksud yang tinggal tetap dan jika meninggal akan dikebumikan di situ (ahli qariah).

Pertanyaan saya adalah jika saya solat jumaat di kawasan pejabat di Kuala Lumpur (lebih tepat di Surau Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy, Menara Bank Islam). Di situ saya yakin semua jemaah adalah taraf bermukim kerana tidak menetap kekal di qariah tersebut dan dalam pembelajaran fiqah saya itu mengatakan selepas habis solat jumaat, saya perlu menambah dengan solat zuhur 4 rakaat lagi. Barulah solat jumaat saya sah. Apakah pandangan dan penerangan Dato dalam isu ini.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat Jumaat adalah suatu kewajipan atau wajib ain bagi kaum lelaki yang memenuhi syarat-syaratnya iaitu beragama Islam, baligh, berakal, merdeka sepenuhnya (yakni bukan hamba), sihat tubuh badan dan bermukim di tempat solat Jumaat didirikan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/200-201).

Terdapat riwayat daripada Tariq bin Syihab R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah hak yang wajib ke atas setiap lelaki Muslim.”

 Riwayat Abu Daud (1067)

 

Syarat sah solat Jumaat

Walau bagaimanapun, solat Jumaat tersebut tidak sah, melainkan setelah dia memenuhi empat syarat yang berikut:

  1. Solat Jumaat hendaklah didirikan di dalam kawasan binaan, sama ada di bandar atau di kariah yang mempunyai penduduk yang bermustautin tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang cukup syarat-syarat wajib mendirikan Jumaat.
  2. Bilangan Jemaah bagi solat Jumaat ialah tidak kurang daripada 40 orang lelaki yang memenuhi syarat wajib Jumaat (أهل الجمعة) iaitu lelaki, baligh dan bermastautin.
  3. Solat Jumaat hendaklah didirikan dalam waktu Zuhur.
  4. Jangan didirikan lebih daripada satu solat Jumaat pada satu tempat selagi ia boleh dilakukan demikian. Malahan mereka wajib berhimpun pada satu tempat. Namun harus berbuat lebih daripada satu tempat jika tempat tersebut tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/202-203).

Selain daripada itu, sebahagian ulama ada menyebutkan beberapa lagi syarat sah solat Jumaat selain daripada empat syarat di atas iaitu:

  • Tidak boleh mendahului atau serentak takbiratul ihram antara satu Jumaat dengan Jumaat yang lain dalam satu tempat kerana ditegah berbilang-bilang Jumaat pada satu tempat, kecuali ahli Jumaatnya ramai sukar untuk berhimpun di satu tempat.
  • Ditunaikan secara berjemaah hanya pada rakaat yang pertama dan berkekalan jemaahnya hingga selesai sujud kedua walaupun sekalian makmumnya mufaraqah daripada imamnya selepas sujud kedua pada rakaat pertama. Tetapi bilangan 40 orang adalah adalah disyaratkannya berkekalan dari awal hingga akhir Jumaat. Ahli jemaah yang mendapat satu rakaat bersama Imam dianggap sebagai mendapat Jumaat.
  • Hendaklah didahului dengan dua khutbah. (Lihat Matla‘ al-Badrain, disusun oleh PMWP, 1/160-163; al-Taqrirat al-Sadidah, 327-328; Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hlm. 156-158).

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1393: Solat Jumaat di Kariah Lain[1]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan salah satu syarat yang diambil kira sebagai jemaah Jumaat yang mencukupkan bilangan 40 orang di sesuatu tempat atau kariah ialah orang yang bermastautin di tempat tersebut. Maka, menjawab persoalan yang diajukan solat jumaat hanya mempunyai 2 rakaat, maka tidak perlu untuk menambah 4 rakaat disebabkan solat zuhur sudah digantikan dengan solat Jumaat. Manakala dari sudut mastautin, perlu difahami bahawa:

  • Seseorang yang bermastautin di dalam satu kariah dan dia sedang berada di dalam kariah tersebut terbahagi kepada dua keadaan:
  1. Sekiranya dia menjadi pelengkap kepada bilangan 40 orang di kariahnya, maka dia tidak boleh solat Jumaat di tempat lain melainkan ada keuzuran yang diizinkan syarak. Sekiranya dia sengaja tidak solat di kariahnya, dia berdosa tetapi solatnya adalah sah.
  2. Jemaah Jumaat di kariahnya ramai dan melebihi bilangan 40 orang. Dalam situasi ini, dia boleh memilih untuk solat di masjid kariahnya atau tempat lain.
  • Seseorang yang bermastautin tetapi sedang berada di luar kawasan kariahnya kerana ada keperluan seperti ziarah, bekerja atau lain-lain. Bagi situasi ini, kami berpendapat bahawa mereka boleh solat Jumaat di mana-mana tempat selain kariah mereka. Hal ini kerana mengambil kira kesukaran dan kesulitan yang dialami oleh mereka sekiranya hendak pulang segera ke kariah masing-masing bagi menunaikan solat Jumaat. Ini selari dengan syariat Islam itu yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan.

Justeru kami katakan, dalam isu surau jumaat Wakaf Ahmad Dawjee Dadabhoy, Menara Bank Islam yang dilakukan solat Jumaat, maka hukumnya adalah sah dan tidak perlu diqadha’ Zohor. Ini kerana mengambil hukum kemaslahatan para pekerja Bank Islam dan pejabat di sekitarnya dalam menunaikan waktu solat Jumaat itu. Para pemerintah melihat akan kemaslahatan itu demi menegakkan syi‘ar Islam dengan solat Jumaat. Sementelahan lagi, pada hari tersebut, Kuala Lumpur atau Wilayah Persekutuan biasanya adalah hari bekerja. Kaedah seperti (تصرف الإمام على رعيته منوط بالمصلحة) Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah. Kaedah sepeti ini perlulah diambil kira kerana kepentingan umat Islam dalam melaksanakan solat Jumaat, lebih-lebih lagi jumlah mereka yang amat banyak melebihi sebahagian qariah di kampung-kampung.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Wallahu a‘lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1393-solat-jumaat-di-kariah-lain/

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *