Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada tertanya-tanya, mengapa sebahagian besar nabi diutuskan kepada bani Isra’il, dan bukan kepada selain mereka?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, Israil ialah nama lain bagi Nabi Ya‘qub A.S yang bermaksud hamba Allah SWT. Bani Israil ialah anak-anak Nabi Ya’qub A.S dan keturunan seterusnya yang lahir daripada mereka sehingga ke zaman Nabi Musa A.S dan para nabi seterusnya sehingga zaman Nabi Isa A.S dan zaman Nabi Muhammad SAW. Mereka telah dikenali sebagai orang Yahudi sejak dari zaman dahulu lagi. Mereka yang beriman kepada Nabi Isa A.S telah diberikan nama sebagai orang Nasrani. Manakala mereka yang beriman kepada penyudah segala nabi pula telah termasuk ke dalam lingkungan orang Islam dan dikenali sebagai ahli-ahli Kitab yang beriman.

Allah SWT banyak mengistilahkan mereka sebagai Bani Israil dalam al-Quran kerana hendak memperingatkan mereka kepada bapa mereka iaitu nabi yang soleh supaya mereka menjadikannya sebagai ikutan dan berakhlak dengan akhlaknya. Ia juga bertujuan supaya mereka meninggalkan keingkaran terhadap nikmat Allah SWT yang diberikan kepada mereka dan kepada bapa-bapa mereka serta menghindarkan diri daripada sifat kufur, keji dan khianat yang ada pada mereka. Begitu juga Allah SWT menyebutkan mereka sebagai orang Yahudi dalam lebih daripada satu ayat. Kitab orang Yahudi yang termasyhur ialah kitab Taurat. Selain itu, di antara kitab mereka juga ialah kitab Zabur iaitu kitab Nabi Daud A.S dan lembaran-lembaran para nabi yang datang selepas Nabi Musa A.S. Taurat dan seluruh lembaran serta lain-lainnya dinamakan sebagai Perjanjian Lama.  (Lihat Isra’iliyyat dan Hadith Palsu dalam Kitab-kitab Tafsir, hlm. 1-4)

Terdapat sebuah hadith daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 بَعَثَ اللَّهُ ثَمَانِيَةَ آلَافِ نَبِيٍّ: أَرْبَعَةَ آلَافٍ إِلَى بَنِي إِسْرَائِيلَ، وَأَرْبَعَةَ آلَافٍ إِلَى سَائِرِ النَّاسِ

Maksudnya: “Allah SWT telah mengutus 8 ribu Nabi, 4 ribu kepada Bani Isra’il dan 4 ribu lagi kepada seluruh manusia.”

Riwayat Abu Ya’la (7/160). Menurut Imam Ibn Hajar al-Haitsami, salah seorang perawinya iaitu ‘Ubaidah al-Rabzi, dan dia seorang yang sangat dhaif. (Lihat Majma’ al-Zawa’id 8/210)

Dalam menjawab persoalan di atas, disebut dalam al-Quran bahawa Bani Isra’il diutamakan (dilebihkan) daripada seluruh manusia pada zaman mereka, kerana pada zaman tersebut, para nabi berasal dari mereka.

Demikian juga para da’ie dan juga orang-orang soleh yang melakukan pengislahan dan perbaikan. Sedangkan tidak ditemui pada umat lain nabi-nabi sepertimana yang diutuskan kepada mereka pada zaman itu.

Allah SWT menyebut berkenaan mereka dalam al-Quran melalui lisan Rasul-Nya SAW:

 يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ اذْكُرُوا نِعْمَتِيَ الَّتِي أَنْعَمْتُ عَلَيْكُمْ وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah nikmat-nikmat-Ku yang Aku telah kurniakan kepada kamu, dan (ingatlah) bahawasanya Aku telah melebihkan (nenek-moyang) kamu (yang taat dahulu) atas orang-orang (yang ada pada zamannya).”

(Surah al-Baqarah: 47)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT menyebut kepada mereka tentang pemberian nikmat-Nya terhadap nenek moyang dan leluhur mereka, kelebihan mereka dengan mengutus para rasul dari kalangan mereka, menurunkan kitab-kitab kepada mereka, serta keistimewaan mereka mengatasi umat-umat lain pada zaman mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/232)

Al-Syaukani berkata: Berkenaan firman Allah, ‘وَأَنِّي فَضَّلْتُكُمْ عَلَى الْعَالَمِينَ’, terdapat pendapat menyatakan bahawa maksud dari segala umat adalah umat pada zaman mereka. Dan pendapat lain menyatakan bahawa maksudnya adalah umat secara keseluruhan kerana banyaknya nabi yang diutuskan dari kalangan mereka; dan ini berlaku ketika mereka masih beriman kepada rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah kepada mereka. Dan mereka tidak lebih mulia daripada umat Nabi Muhammad SAW berdasarkan dalil daripada firman Allah: ‘كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ’ (“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia.”) [Surah Ali Imran: 110] (Lihat Fath al-Qadir, 1/96)

Allah SWT telah mengambil janji mereka melalui para nabi mereka, bahawa apabila telah diutus Nabi Akhir Zaman, mereka akan beriman kepadanya dan mengikutinya.

Allah SWT berfirman:

‏ وَإِذْ أَخَذَ اللَّهُ مِيثَاقَ النَّبِيِّينَ لَمَا آتَيْتُكُم مِّن كِتَابٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِ وَلَتَنصُرُنَّهُ ۚ قَالَ أَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِي ۖ قَالُوا أَقْرَرْنَا ۚ قَالَ فَاشْهَدُوا وَأَنَا مَعَكُم مِّنَ الشَّاهِدِينَ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya.” Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya).” Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

(Surah Ali Imran: 81)

Syeikh Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Ini merupakan perintah yang bersifat umum antara para Nabi, bahawa jalan mereka adalah satu, dan bahawa dakwah daripada setiap Nabi di antara mereka telah mereka sepakati dan telah mereka setujui bersama. Keumuman itu adalah bahawa Allah mengambil janji dari mereka untuk beriman dan membela Nabi Muhammad SAW. Kerana itu, sesiapa yang mengaku bahawa dia adalah pengikut salah seorang daripada mereka, maka ini adalah agama mereka yang telah diambil oleh Allah perjanjian dari mereka, lalu mereka menyetujui dan mengakuinya.

Maka sesiapa yang berpaling dari mengikuti Nabi Muhammad daripada orang-orang yang menyangka bahawa mereka termasuk pengikut Nabi-Nabi tersebut, maka dia telah fasiq yang keluar dari ketaatan kepada Allah, dan mendustakan Rasul yang diakuinya bahawa dia termasuk pengikutnya, sedangkan dia menyimpang dari jalannya. Ini juga merupakan penegakan hujjah dan keterangan yang kuat atas setiap orang yang tidak beriman kepada Nabi Muhammad SAW  daripada ahli kitab dan agama-agama yang lain, dan tidaklah mungkin mereka beriman kepada Rasul-Rasul mereka di mana mereka mengakui sebagai pengikut-pengikut mereka hingga mereka beriman kepada pemimpin dan rasul-rasul tadi, dan penutup mereka. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 331)

Selain itu, hikmah pengutusan sebahagian besar nabi kepada Nabi Isra’il adalah kerana dahsyatnya kerosakan, kederhakaan dan penentangan mereka, sehingga mereka memerlukan pengislahan secara terus-menerus. Masyarakat yang rosak sentiasa memerlukan lebih banyak usaha dari para da‘ie dan orang-orang yang membawa misi pengislahan. Samalah halnya dengan penyakit fizikal atau penyakit kejiwaan yang apabila sudah tersebar luas dalam suatu masyarakat, maka ia sudah pasti memerlukan lebih banyak doktor dan orang-orang yang mengubatinya.[1]

Allah SWT memuliakan Bani Israel dengan pelbagai nikmat, antaranya diutuskan ramai Rasul sebagai peringatan. Keduanya, kami juga berpendapat, berkat doa Nabi Allah Ibrahim yang tidak putus mengharapkan Rahmat, barakah dan kurniaan daripada tuhan, terutamanya zuriat yang soleh. Makanya Nabi Ibrahim sebagai Khalilullah telah dikurniakan dua putranya yang soaleh. Seorang dikenali sebagai anak yang halim, berakhlak lagi mulia dan lemah lembut yang ditujukan kepada Nabi Allah Ismail A.S. dan seorang lagi dikenali sebagai anak yang alim, bijaksana lagi faham, yang ditujukan kepada Nabi Allah Ishaq A.S. Dari susur galur Nabi Allah Ishaq inilah lahirnya Bani Israel yang mula dinisbahkan kepada Nabi Allah Ya ‘qub A.S yang juga anak kepada Nabi Allah ishaq A.S.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a‘lam

[1] https://www.islamweb.net/ar/fatwa/73682

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply