#3189: Nasihat Kepada Pemuda dan Pemudi Dalam Menghadapi Zaman Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Salam Datuk, saya ke sini hanya untuk meluah dan mengharapkan mutiara nasihat Datuk. Saya cuma ingin zahirkan peritnya pemuda pemudi zaman kini menghadapi ujian akhir zaman ini. Melihat sahabat yang lain mempunyai pasangan. Melihat mereka yang bersuka ria menikmati ‘jiwa’ muda. Berpenat lelah melalui alam mendewasa seorang diri. Sukarnya diri untuk menjaga pandangan ini. Peritnya diri untuk mengawal hawa nafsu syahwat ini. Dikelilingi ujian yang menguji nafsu sendiri. Jujurnya, diri ini tidak mampu Datuk. Berulang jatuh ke dalam ‘lubang’ yang sama. Cuba untuk bangkit walau berkali-kali jatuh. Beratnya rasa diri ini berjuang dengan diri sendiri hanya Allah saja yang ketahui. Oleh itu, sudilah kiranya Datuk sampaikan nasihat kepada kami. Terima kasih Datuk.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Tamim al-Dari R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Tentang siapa? Sabda Baginda: Tentang Allah, tentang Kitab-Nya, tentang Rasul-Nya, tentang pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Dawud (4944) dan al-Nasaie (7/156)

Sesungguhnya manusia diciptakan oleh Allah SWT sebagai khalifah di muka bumi ini, firman-Nya:

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَة

Maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi’.”

(Surah al-Baqarah: 30)

Ketika mana Allah SWT berfirman kepada malaikat, Allah berfirman bahawa Dia ingin menjadikan di bumi ini kaum yang sentiasa menggantikan antara satu sama lain untuk mengimarahkannya. (Lihat Tafsir al-Muyassar, 1/6)

Justeru, khalifah yang dimaksudkan di sini, ialah kaum yang sentiasa berganti antara satu sama lain dalam mendirikan agama dan menguruskan dunia dengan pendirian agama. Khalifah mesti menjadi wakil dan penerus-Nya, yang dalam hal ini adalah Allah Yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Pemerintahan ini bukanlah hanya terbatas kepada Nabi Adam semata-mata, tetapi ia meluas kepada keturunannya. Allah berfirman:

وَهُوَ الَّذِي جَعَلَكُم خَلَائِفَ الْأَرْضِ

Maksudnya: “Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di bumi.”

(Surah al-An‘am: 165)

Untuk menjelaskan sifat khalifah yang diamanahkan kepada Nabi Adam dan keturunannya, ia bermaksud bertanggungjawab terhadap yang lain, sama ada manusia, masyarakat, bumi dan seumpamanya. Manusia bertanggungjawab terhadap semua yang mereka lakukan dalam peranannya yang diberikan oleh Allah.

Selain itu, manusia juga diciptakan untuk beribadah kepada Allah SWT sebagaimana firman-Nya:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan tidaklah aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk mereka beribadah kepada-Ku.

(Surah al-Zariyat: 56)

Imam al-Qurtubi menyatakan di dalam tafsirnya bahawa ayat di atas ini jelas menunjukkan bahawa golongan jin dan manusia adalah termasuk dalam arahan untuk beribadah kepada Allah S.W.T. Ini seperti yang disebutkan oleh Saidina Ali bin Abi Talib R.A dalam menghuraikan maksud ayat di atas dengan katanya: Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan juga manusia melainkan untuk Aku perintahkan kepada mereka agar beribadah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam Al-Quran, 17/52)

Allah SWT juga menjadikan manusia ini dengan adanya mati dan hidup ini untuk menguji manusia dengan siapa yang palik terbaik amalannya. Firman Allah SWT:

ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَوٰةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ

Maksudnya: “Dia lah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan untuk menguji siapakah di antara kamu yang paling baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa dan Maha Pengampun.”

(Surah al-Mulk: 2)

Allah SWT membina kehidupan ini untuk kemaslahatan manusia, dengan matlamat dan tujuan yang sangat murni. Sesungguhnya matlamat manusia dicipta dan dihidupkan atas dunia ini ialah untuk menguji dan menzahirkan keadaan manusia, siapakah yang di antara mereka yang lebih baik amalannya. Bentuk ujiannya samada dalam mentaati arahan-Nya, dalam meninggalkan larangan-Nya, atau diuji dengan ujian nafsu, maka diikuti nafsu ataupun akal, ataupun apabila ditimpa musibah, dia bersabar atau tidak dan seumpamanya.

Selain itu, kami menasihati masyarakat supaya mempermudahkan urusan perkahwinan anak-anak muda. Bahkan anak-anak muda ini sekiranya mereka mampu berkahwin, maka galakkanlah supaya mereka berkahwin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنِ اسْتَطَاعَ مِنْكُمُ الْبَاءَةَ فَلْيَتَزَوَّجْ فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ

Maksudnya: “Wahai para pemuda! Sesiapa di antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat)

Riwayat al-Bukhari (5065) dan Muslim (3466)

Imam al-Nawawi menjelaskan, adapun pengertian al-ba’ah (الْبَاءَةَ) sendiri adalah jima’ (hubungan intim), inilah makna al-ba’ah (الْبَاءَةَ) pada bahasa. Namun yang dimaksudkan adalah mampu untuk berjima’ disertai dengan kemampuan memberi nafkah terlebih dahulu. Sesiapa yang tidak mampu berjima’ lantaran belum mampu dari segi nafkah, maka hendaklah dia rajin berpuasa untuk mengekang syahwatnya yang menggelora. Gejolak maninya dapat ditahan dengan rajin berpuasa sunat seperti itu. Itulah maksud hadis yang dikemukakan di atas. Hadis tersebut ditujukan kepada para pemuda yang syahwatnya sudah menggelora namun belum mampu untuk memberi nafkah. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/154)

Imam al-San’ani pula menyebut: Para ulama’ berselisih pendapat pada maksud al-Ba’ah (الباءة). Pendapat yang paling sahih (qaul al-asah), maksud al-Ba’ah ialah jima’ atau mampu bersetubuh. Maka hadis tersebut dibaca dengan: Barangsiapa yang mampu daripada kalangan kamu bersetubuh kerana kemampuannya untuk menanggung perkahwinan, maka berkahwinlah. Sesiapa yang tidak mampu bersetubuh kerana lemah untuk menanggung perkahwinan, maka dia hendaklah berpuasa untuk mengekang syahwatnya. (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram oleh al-San’ani, 2/159)

Dalam kitab Taudhih al-Ahkam menyebut: Al-Ba’ah (الْبَاءَة) pada bahasa bermaksud jima’ (bersetubuh). Akan tetapi maksud di sini ialah kemampuan untuk menanggung segala keperluan perkahwinan merangkumi mahar dan nafkah. Dan maksudnya, “sesiapa yang telah mampu dari kalangan kamu dengan memiliki kesemuanya itu, maka berkahwinlah.” (Lihat Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, hlm. 214)

Hadis di atas juga menunjukkan bahawa yang belum mampu menikah dianjurkan menyibukkan diri dengan berpuasa. Ini kerana ia dapat melemahkan syahwat dan mempersempit jalan masuk syaitan dan perkara tersebut merupakan di antara sebab iffah (menjaga diri) dan menundukkan pandangan. (Lihat Majmu’ Fatawa, 3/329)

Walaubagaimanapun, bagi mereka yang sudah mempunyai kemampuan sama ada secara fizikal atau ekonomi, maka hendaklah segera bernikah. Ini kerana terdapat padanya banyak faedah dan kebaikan. Disebut dalam kitab Syarh Bulugh al-Maram: Ramai dari kalangan ulama’ yang menyebut bahawa seseorang yang sudah mampu (secara fizikal dan ekonomi) untuk berkahwin, maka wajib baginya untuk berkahwin. Ini kerana pada dasarnya, perintah tersebut (فَلْيَتَزَوَّجْ) menunjukkan kewajiban, dan di dalam pernikahan itu terdapat maslahat yang agung. (Lihat Syarh Bulugh al-Maram, 3/179)

Selain itu, hendaklah matlamat perkahwinan ini untuk menjaga pandangan, menjaga kehormatan diri, dan supaya menjadi lebih bertakwa kepada Allah SWT sebagai tuhan yang disembah. Dalam permasalahan ini, Rasulullah SAW pernah bersabda:

ثَلاَثَةٌ حَقٌّ عَلَى اللَّهِ عَوْنُهُمُ الْمُجَاهِدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالْمُكَاتَبُ الَّذِي يُرِيدُ الأَدَاءَ وَالنَّاكِحُ الَّذِي يُرِيدُ الْعَفَافَ

Maksudnya: Tiga golongan yang Allah SWT menetapkan atas diri-Nya untuk membantu mereka: orang yang berjihad pada jalan Allah, hamba yang mukatab yang ingin membayar harga tebusannya dan orang yang berkahwin dengan sebab mahu menjaga kehormatan dirinya”

Riwayat al-Tirmizi (1655), al-Nasa’i (3218)

Baginda bersabda lagi:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدِ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ دِينِهِ؛ فَلْيَتَّقِ اللهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksudnya: Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah berusaha menyempurnakan sebahagian agamanya, oleh itu hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada sebahagian lagi yang berbaki.

Riwayat al-Baihaqi (5486), al-Tabarani dalam Mu’jam al-Awsat (7647)

Selain itu, kami katakan bahawa hidup di akhir zaman ini menuntut setiap orang untuk bermujahadah dalam menegakkan Islam dan sunnah Nabi SAW. Hal ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada  Anas bin Malik R.A, bahawa Nabi SAW:

يَأْتِيْ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيْهِم عَلَى دِيْنِهِ كَالقَابِضِ عَلَى الجَمْرِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar daripada kalangan manusia yang berpegang dengan agamanya seperti seorang yang menggenggam bara api”.

Riwayat al-Tirmizi (2186). Beliau menilainya sebagai hadith yang gharib daripada jalur ini (sanad ini) tetapi hadith ini sahih dengan banyaknya syawahid padanya.

Hadith ini menggambarkan akan perihal dan keadaan manusia di akhir zaman yang penuh dengan cabaran dan ujian bagi orang-orang yang ingin berpegang dengan agama. Pada waktu itu, umat Islam perlulah menjaga agama mereka dan dalam masa yang sama perlu meninggalkan nikmat dunia yang sementara ini. Tambahan pula, persekitaran dan suasana pada waktu itu tidak membantu seseorang itu untuk menunaikan segala kewajipan dan tuntutan agama, bahkan apa yang ada disekelilingnya lebih mendorong untuk melakukan maksiat dan perkara-perkara yang boleh meruntuhkan keimanan seseorang itu. Disebabkan itu, Nabi SAW mengumpamakan orang yang hidup di zaman itu seperti seorang yang memegang bara api dalam melaksanakan tuntutan agama.

Al-Qari’ berkata: “Tidak mungkin seseorang itu boleh memegang atau menggenggam bara api melainkan ia memerlukan kesabaran yang tinggi dan perlu menanggung kesusahannya. Untuk itu, tidak dapat digambarkan pada waktu itu apabila seseorang itu ingin menjaga agamanya dan juga cahaya keimanannya kecuali dengan kesabaran yang tinggi”. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 6/444]

Justeru, antara cara untuk berdepan dengan fitnah akhir zaman adalah:

  • Berpegang dengan petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Hadith.
  • Memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT agar diselamatkan daripada segala fitnah dan memperbanyakkan amalan soleh.
  • Beruzlah (menjauhkan diri) daripada fitnah yang berlaku.
  • Menyertai dan sentiasa bersama dengan Jemaah Islam yang ada pada waktu itu.
  • Memperbanyakkan istighfar dan memohon ampun kepada Allah SWT.
  • Meningkatkan tahap kesabaran sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith di atas.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, zaman yang sedang kita lalui saat ini adalah zaman fitnah. Untuk itu, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa mempersiapkan diri kita agar kita tidak terjerumus ke dalam fitnah yang boleh meruntuhkan tahap keimanan kita. Akhirnya, Allah SWT telah menjanjikan ganjaran yang istimewa kepada orang-orang yang sabar. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala untuk mereka dengan tidak terkira”.

(Surah al-Zumar: 10)

Semoga Allah SWT memelihara iman kita dan menyelamatkan diri kita daripada segala fitnah serta mengurniakan kita kesabaran yang tinggi untuk menghadapi zaman ini. Marilah kita ganti kehidupan kita yang terleka dengan beriltizam solat berjemaah di masjid atau surau, menghadiri majlis ilmu agama, banyakkan membaca al-Quran, zikrullah, qiyamullail dan juga pilihlah sahabat-sahabat yang baik yang dapat membantu kita ke arah kebaikan.

Sentiasalah bertaqwa kepada Allah, menginsafi diri sendiri atas keterlanjuran, dan wajib mentaati-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *