#3191: Menangis Dalam Solat

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah sah solat seseorang yang mendirikan solat  dalam keadaan menangis teresak-esak .Mohon pencerahan daripada Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman.”

(Surah al-Anfal: 2)

Ibn al-Qayyim menyebutkan bahawa, membaca satu ayat dengan renungan dan pemahaman adalah lebih baik daripada membaca satu al-Quran tanpa renungan dan pemahaman, dan ia lebih bermanfaat kepada jiwa dan lebih cenderung untuk mencapai keimanan dan merasai kemanisan al-Quran. (Lihat al-Dhau’ al-Munir, 2/158)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat ini menyebut, khusyuk merupakan perkara di dalam hati. Sekiranya seseorang itu khusyuk ketika solat maka anggota badan juga turut akan khusyuk disebabkan hatinya khusyuk melakukan solat. Imam al-Qurtubi menceritakan seorang ulama ketika melakukan solat, maka ia akan melakukan dengan mengagungkan Allah SWT dengan memalingkan pandangannya daripada sesuatu urusan keduniaan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 12/103)

Begitu juga Imam Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Khusyuk adalah: Sebahagian ulama memasukkannya sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri. (Lihat Fath al-Qadir, 1/977).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan khusyuk dalam solat merupakan salah satu tanda keimanan yang benar. Ini sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.

(Surah al-Mukminun:1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: ” خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110)

Dalam isu ini kami katakan solat yang dilakukan dalam keadaan menangis adalah sah selagi mana suara yang keluar daripada tangisan itu tidak disertai dengan bunyi  huruf. Hak ini sebagaimana pandangan ulama dalam mazhab al-Syafi’e.

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Khulasah al-Ahkam beliau telah menulis satu bab yang menyatakan tidak batal solat dengan menangis sekiranya ia terkeluar dari mulut dan tidak jelas bunyi dua huruf  yang terkeluar daripadnya. Begitu juga dengan batuk dan seumpamanya.

Beliau berhujjahkan dengan firman Allah SWT:

خَرُّوا سُجَّدًا وَبُكِيًّا

Maksudnya: mereka segera sujud serta menangis

(Surah Maryam:58)

Diriwayatkan daripada Aisyah R.A, beliau berkata :

أَن النَّبِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ قَالَ فِي مَرضه: ” مروا أَبَا بكر يُصَلِّي بِالنَّاسِ ” قلت: إِن أَبَا بكر إِذا قَامَ مقامك لم يسمع النَّاس من الْبكاء، فَمر عمر يُصَلِّي بِالنَّاسِ، فَقَالَ: ” مروا أَبَا بكر فَليصل بِالنَّاسِ

Maksudnya: Rasulullah SAW berkata saat sakit menjelang kewafatannya : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin  solat. Aisyah berkata: Jika Abu Bakar menggantimu, maka suaranya tidak didengari oleh orang ramai disebabkan oleh tangisannya. Sebaiknya suruhlah Umar untuk memimpin Solat. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi : Suruhlah Abu Bakar untuk memimpin solat.

Riwayat Bukhari(679)

Dar al-Ifta al-Urduniyyah dalam isu ini juga menyatakan : Kekhusyukan semasa solat boleh meningkat sehingga menyebabkan seseorang menangis, terutamanya apabila mendengar ayat-ayat yang menakutkan. Menangis ini tidak mengapa, tetapi tidak dibenarkan bagi orang yang sedang solat untuk terus-terusan menangis sehingga terkeluar bunyi  huruf-huruf yang  disertakan dengan tangisnya.

Para fuqaha’ (ahli fiqh) telah menetapkan bahawa jika ada dua huruf berturut-turut keluar semasa menangis semasa solat, solat itu menjadi batal. Namun, jika dia tidak dapat mengawal emosinya, itu tidak akan memudaratkannya selama ia tidak keluar dari solat. Contohnya, jika tangis itu disebabkan oleh musibah atau seumpamanya.[1]

Telah dinyatakan dalam al-Durar al-Thariyyah Min Fatawa al-Baziah bahawa:  Berdehem, menghembus, dan menangis, semuanya tidak membatalkan solat dan tidak ada keperluan untuk menghindarinya jika ada keperluan. Namun,  hukumnya makruh sekira dilakukan tanpa ada keperluan. Hal demikian kerana Nabi Muhammad SAW pernah berdehem kepada Ali R.A ketika Ali meminta izin untuk masuk semasa beliau sedang solat. Mengenai menangis, ia  boleh dilakukan dalam solat dan di luar solat jika itu timbul dari khushu’ (khusyuk) dan  bagi mendapat perhatian Allah SWT  tanpa berlebih lebihan. Telah sahih bahawa Nabi Muhammad SAW pernah menangis semasa solat, dan begitu juga daripada Abu Bakar As-Siddiq, Umar al-Faruq, serta beberapa sahabat dan tabi’in yang lain.(Lihat al-Durar al-Thariyyah Min Fatawa al-Baziah,hlm.103)

Sebagai kesimpulannya kami katakan menangis dalam solat ketika membaca ayat-ayat al-quran terutama ketika membaca ayat-ayat yang menakutkan adalah sah solat tersebut selagimana tidak terkeluar daripada tangisan tersebut  bunyi dua huruf secara jelas. Hal demikian bagi mengelakkan daripada terbatalnya solat yang didirikan itu.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim:40)

Wallahua’lam

[1] Liha https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2163

Diakses pada 19 September 2023

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *