Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini telah tular satu video seorang bukan Islam yang membaca terjemahan ayat al-Quran lalu mensyarahkannya sebagai jawapan balas atau kritikan kepada seseorang. Soalan saya, apakah hukum orang bukan Islam membaca al-Quran dan pendapat ustaz mengenai hal itu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, membaca al-Quran termasuk dalam ibadah dan merupakan sebaik-baik zikir. Bahkan Allah SWT mengangkat kedudukan suatu kaum dengan al-Quran. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Umar bin al-Khattab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْقُرْآنَ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah mengangkat suatu kaum dengan al-Quran ini dan merendahkan kaum yang lain dengannya.

Riwayat Muslim (817); Ibn Majah (218); Ibn Hibban (772)

Maknanya, sesiapa yang beriman dengan al-Quran, memuliakan kedudukannya dan beramal dengannya, maka Allah SWT akan mengangkat kedudukannya di dunia dan akhirat serta mengurniakannya ke‘izzahan dan kemuliaan, manakala sesiapa yang tidak beriman dengan al-Quran atau tidak memuliakan kedudukannya, maka Allah SWT akan merendahkan dan menghinakannya di dunia dan akhirat, sekalipun dia ada kedudukan atau kemuliaan pada kaca mata manusia. (Lihat al-Mafatih fi Syarh al-Masabih, 3/67-68; Tatriz Riyadh al-Salihin oleh Faisal bin ‘Abd al-‘Aziz al-Mubarak, hlm. 581).

Begitu juga al-Quran merupakan sebuah kitab hidayah yang membawa manusia kepada jalan yang benar, yang membezakan di antara perkara yang benar dan perkara yang batil. Ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

 شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

(Surah al-Baqarah: 185)

Dalam menjawab soalan di atas, kami bahagikan ia kepada dua situasi:

Situasi Pertama: Orang kafir membaca al-Quran dengan niat menghina (istihza’), merendah-rendahkannya atau bermain-main dengan ayat al-Quran. Isu ini disepakati oleh para ulama sebagai haram, dan wajib dihalang.

Bahkan sebahagian ulama meletakkan hukuman yang keras terhadap mereka dalam kalangan Muslim yang mempermainkan dan menghina al-Quran. Al-Khatib al-Syirbini menyebutkan, di antara perbuatan yang boleh menyebabkan seseorang itu jatuh kufur ialah dia dengan sengaja menghina agama secara terang-terangan atau mengingkarinya seperti mencampakkan kotoran kepada mashaf (al-Quran) kerana perbuatan itu jelas menghina kalamullah, dan menghina atau merendah-rendahkan suatu ucapan (kalam) bermaksud dia telah menghina atau merendah-rendahkan Pengucapnya — yakni Allah SWT. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 5/431).

Jika dalam kalangan Muslim pun dilarang keras bagi  mempermainkan dan menghina al-Quran, di mana mereka yang melakukannya boleh dianggap jatuh kufur. Jadi, apatah lagi jika pelakunya dalam kalangan orang bukan Islam, maka adalah lebih-lebih lagi dilarang.

Situasi Kedua: Orang kafir yang membaca al-Quran bukan dengan tujuan/niat untuk menghina atau merendah-rendahkannya, sebaliknya bertujuan mencari kebenaran dan petunjuk atau seumpamanya.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berpendapat, orang kafir tidak dilarang daripada mendengar bacaan al-Quran, sebaliknya hanya dilarang daripada memegang mashaf al-Quran. Timbul persoalan, adakah dibolehkan mengajar kepada mereka al-Quran? Jawapannya, ia hendaklah dlihat. Jika tidak diharapkan melalui pengajaran al-Quran tersebut terbuka hatinya untuk memeluk agama Islam, maka ia tidak dibolehkan. Akan tetapi jika diharapkan melalui pengajaran al-Quran tersebut dapat membawanya memeluk agama Islam, maka ia dibolehkan mengikut pendapat yang paling sahih (asah) dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i. Pendapat ini juga diputuskan oleh al-Qadhi Husain dan dirajihkan (dipilih) oleh al-Baghawi dan ulama selainnya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85).

Begitu juga Ibn Hajar al-‘Asqalani juga ada menyatakan, permasalahan ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi dalam kalangan salaf. Imam Malik melarang daripada mengajar al-Quran kepada orang kafir, sedangkan Imam Abu Hanifah pula memberi kelonggaran (dibolehkan) untuk mengajar mereka al-Quran. Manakala pendapat Imam al-Syafi‘i pula diperselisihi,  namun pendapat yang sahih ia diperincikan, di antara orang yang diharapkan daripadanya untuk memeluk agama Islam dan aman daripadanya dengan sebab masuknya itu menjadi ancaman terhadap agama (maka ia dibolehkan), dan di antara orang yang diyakini bahawa mengajar al-Quran itu tidak akan dapat menarik mereka kepada agama Islam atau adanya sangkaan yang kuat dengan mengajarkan al-Quran itu membawa kepada ancaman terhadap agama (maka ia tidak dibolehkan). Selain itu, dibezakan atau diperincikan juga antara jumlah yang sedikit dan yang banyak dalam hal ini. (Lihat Fath al-Bari, 6/107).

Tambahan lagi, terdapat riwayat menceritakan bahawa Nabi SAW telah mengutuskan sepucuk surat kepada Hercules yang mengandungi ayat-ayat al-Quran. Hal ini dilihat melalui hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.Anhuma:

‏بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، مِنْ مُحَمَّدٍ عَبْدِ اللهِ وَرَسُولِهِ إِلَى هِرَقْلَ عَظِيمِ الرُّومِ: سَلاَمٌ عَلَى مَنِ اتَّـبَعَ الهُدَى، أَمَّا بَعْدُ، فَإِنِّي أَدْعُوكَ بِدِعَايَةِ الإِسْلاَمِ، أَسْلِمْ تَسْلَمْ، يُـؤْتِكَ اللهُ أَجْرَكَ مَرَّتَيْنِ، فَإِنْ تَـوَلَّيْتَ فَإِنَّ عَلَيْكَ إِثْمَ الأَرِيسِيِّينَ وَ{يَا أَهْلَ الكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَنْ لاَ نَعْبُدَ إِلَّا اللهَ وَلاَ نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلاَ يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِنْ دُونِ اللهِ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ}

Maksudnya: “Bismillahirrahmanirrahim (Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani). Dari Muhammad, hamba Allah dan Rasul-Nya kepada Hercules. Penguasa Romawi, selamat sejahtera buat mereka yang mengikuti petunjuk. Seterusnya, aku menyerumu kepada seruan Islam, masuklah Islam maka kamu akan selamat, pasti Allah akan memberikan pahala kepadamu dua kali ganda. Namun jika kamu berpaling, maka kamu menanggung dosa rakyat kamu, dan (firman Allah SWT): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah (ajaran) yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengan-Nya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.’ Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.’

Riwayat al-Bukhari (7)

Kesimpulannya

Oleh itu, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak mengapa dan diharuskan bagi orang kafir mendengar, membaca dan mempelajari ayat-ayat al-Quran dalam mencari kebenaran. Maka, membaca terjemahan ayat al-Quran adalah lebih-lebih lagi dibolehkan. Sekalipun begitu tetap disyaratkan niat/tujuan perkara tersebut bukan untuk menghina atau merendah-rendahkannya. Pada masa yang sama, dia hendaklah meraikan adab dan memeliharanya.  Namun, orang kafir tidak dibenarkan untuk memegang mashaf al-Quran, sebaliknya mereka hanya dibenarkan untuk memegang terjemahan al-Quran kerana ia tidak dianggap sebagai al-Quran.

Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, khususnya kepada orang bukan Islam, jika tujuan pembacaan atau mempelajari al-Quran bukan bertujuan mencari kebenaran atau seumpamanya, sebaik-baiknya elakkanlah daripada menggunakan atau memetik ayat-ayat al-Quran secara selektif mahupun terjemahannya bagi menyokong hujah-hujah tertentu, dikhuatiri ia berada di luar konteks daripada maksud sebenar yang dikehendaki oleh ayat tersebut, seterusnya menimbulkan lagi salah faham dan kesilapan dalam memahami ayat tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply