Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana pendapat Ibn Qayyim berkenaan cinta kepada Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ‎

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah Ali Imran (31)

Ibn Kathir berkata: “Ayat pemutus bagi setiap orang yang mengaku mencintai Allah SWT tetapi tidak menempuhi jalan Muhammad SAW, bahawa dia ialah pembohong dalam pengakuan cintanya itu sehinggalah dia mengikuti syariat dan agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dalam semua ucapan dan perbuatannya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/231)

Cinta kepada Allah SWT adalah tanda terdapatnya perasaan manis keimanan atau halawatu al-iman. Daripada Anas bin Malik R.A, sabda Rasulullah SAW:

ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا، وَأَنْ يُحِبَّ المـَـرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّـهِ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُـقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: “Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, nescaya dia akan memperolehi kemanisan iman. (Pertama) Allah dan Rasul-Nya lebih disayanginya daripada sesuatu selain keduanya dan (Kedua) dia mengasihi seseorang, tidak dikasihinya orang itu melainkan kerana Allah, dan (Ketiga) dia tidak suka untuk kembali menjadi kafir (murtad) sepertimana dia tidak suka dirinya dicampakkan ke dalam api neraka.”

Riwayat al-Bukhari (16) dan Muslim (43)

Manjawab persoalan di atas, Ibn al-Qayyim menyebut dalam kitabnya Madarij al-Salikin:

Kecintaan kepada Allah adalah tanda atau sifat golongan ini, dan kecintaan itu membuktikan kebenaran seorang sufi dalam perjalanan menuju Allah.

Tidak ada antara Allah dengan hamba-Nya sebarang hubungan kecuali semata-mata sifat ubudiyyah (penghambaan), daripada hamba dan uluhiyyah (ketuhanan) daripada Allah, dan tidak ada pada hamba satu pun daripada sifat uluhiyyah dan tidak ada pada tuhan satu pun daripada sifat ubudiyyah, justeru paksi bagi ubudiyyah ialah kecintaan. Maka ubudiyyah terikat dengan kecintaan ini, jadi terlerailah ubudiyyah. (Lihat Soal Jawab A-Z Tasawwuf, hlm. 65)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply