Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan perempuan “bayangan syaitan”? Dan bolehkah memberi gelaran tersebut secara umum kepada semua perempuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Apa yang dimaksudkan itu, saya tidaklah mengetahui kecuali saya katakan perempuan itu adalah saudara-saudara kepada lelaki. Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

النِّسَاءُ شَقَائِقُ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Perempuan adalah pasangan kepada lelaki.’

Riwayat Abu Daud (236)

Maksud pasangan kepada lelaki ialah kejadian dan tabiat perempuan adalah setara dengan lelaki. Ini seolah-olah mereka sebahagian daripada lelaki. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/74)

Boleh jadi maksud yang dinyatakan kerana fitnah yang dibawa oleh wanita dan maksud kami tentang fitnah di sini adalah godaan dan ujian bagi lelaki.

Daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.”

Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2740)

Seterusnya, nas yang lain menyebut bahawa syaitan menghiasi wanita di hadapan atau dibelakangnya. Daripada Ibn Mas’ud R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْمَرْأَةَ عَوْرَةٌ، فَإِذَا خَرَجَتِ اسْتَشْرَفَهَا الشَّيْطَانُ، وَأَقْرَبُ مَا تَكُونُ مِنْ وَجْهِ رَبِّهَا وَهِيَ فِي قَعْرِ بَيْتِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat. Dan keadaan dia paling dekat dengan Rabbnya adalah jika dia ada di dalam rumahnya. Maka jika dia keluar, syaitan akan menghiasinya.”

Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (1685), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (7616), al-Bazzar dalam al-Musnad (2061), Ibn Hibban dalam Sahihnya (5599) dan al-Tabarani dalam al-Kabir (10115). Isnad hadith ini dinilai sahih dalam Sahih Ibn Khuzaimah.

Begitu juga, dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abu Musa al-Asy`ari R.A bahawa Nabi SAW telah bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ اسْتَعْطَرَتْ فَمَرَّتْ عَلَى قَوْمٍ لِيَجِدُوا مِنْ رِيحِهَا فَهِيَ زَانِيَةٌ

Maksudnya: Mana-mana perempuan yang mengenakan wangian dan berjalan melewati satu kaum dan didapati bau darinya maka perempuan itu adalah penzina.

Riwayat Abu Dawud (4173) dan al-Nasa’i (5126). Hadith ini dinilai sebagai hasan.

Al-Munawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadith ini adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melalui satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajanib dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/147)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelaslah kepada kita bahawa godaan kepada wanita adalah amat kuat berbanding dengan godaan yang lain. Justeru, amat penting kita saling ingat-mengingati dan berpesan-pesan kepada perkara kebaikan.

Perkara yang semestinya ditekankan ialah ketaqwaan kerana ia adalah hal yang dinilai di hadapan Allah SWT dari sudut kemuliaan.

Allah SWT berfirman:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).”

(Surah al-Hujurat: 13)

Diriwayatkan juga daripada Jabir bin Abdullah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَا أيُّها النَّاسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ، ألَا لَا فَضْل لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ، وَلاَ لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ، وَلاَ لأَِحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ، وَلاَ أَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ إِلاَّ بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu semua adalah yang esa, tidak ada kelebihan bagi orang arab ke atas yang bukan arab, dan bukan juga bagi bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan bukan juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan (kelebihan) taqwa.”

Riwayat al-Baihaqi (5137) di dalam Syu‘ab al-Iman. Hadith ini dinilai sahih oleh Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij beliau. (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/144)

Marilah sama-sama kita mengikut syariat dengan cara berkahwin dan bukan dengan cara selain dari itu jika merasakan kesesuaian dan kerasian dengan seseorang wanita berdasarkan kepada perintah Allah SWT dan rasul-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply