Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya, bolehkah kita mentahnikkan anak yang sudah berumur 5 tahun dan 3 tahun?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Tahnik bermaksud membelah mulut bayi yang baru dilahirkan, dengan menggunakan buah tamar (kurma) yang dikunyah dan kemudiannya, digosokkan ke mulut bayi di bahagian lelangit mulut, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perut bayi tersebut. Amalan mentahnikkan bayi merupakan suatu sunnah yang thabit menerusi beberapa nas syarak. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبَرِّكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah dibawa kepada baginda anak-anak kecil, kemudian baginda mendoakan keberkatan ke atas anak-anak tersebut dan mentahnik mereka.”

Riwayat Muslim (2147)

Hadith ini menunjukkan anjuran dalam mentahnik bayi yang baru dilahirkan dan membawanya kepada mereka yang soleh Demikian juga disunatkan untuk orang-orang soleh tersebut mendoakan keberkatan kepada bayi-bayi yang dibawa kepadanya.

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#1571: Tahnik Bayi Selepas Sebulan[1]

Berbalik kepada soalan di atas, pada asasnya perbuatan mentahnik bayi disunatkan pada hari yang sama bayi tersebut dilahirkan. Jika bayi dilahirkan pada waktu pagi, maka seeloknya pada petang tersebut ditahnikkan dan diberikan nama tanpa perlu menunggu hari ketujuh. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Nawawi:

أنَّ تَحْنِيكَ المَوْلُودِ يَوْمَ وِلَادَتِهِ سُنَّةٌ بِالإِجْمَاعِ، وَيُحَنِّكُهُ صَالِحٌ مِنْ رَجُلٍ أَوِ امْرَأَةٍ، وَيُسْتَحَبُّ التَّحْنِيْكُ بِالتَّمْرِ

Maksudnya: Bahawasanya amalan tahnik bayi pada hari kelahirannya hukumnya adalah sunat secara ijma’ dan hendaklah ditahnikkan bayi tersebut dengan seorang lelaki soleh atau perempuan yang solehah. Disunatkan digunakan tamar untuk bertahnik. (Lihat Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim, 14/123)

Namun, dalam isu ini anak saudari telah berumur 3 dan 5 tahun, maka tidak disunatkan lagi kerana waktunya sudah berlalu dan mereka juga sudah pandai untuk makan dan minum. Oleh itu, secara urufnya ia sedikit diluar kebiasaan, walau bagaimanapun, tidak mengapa jika dilakukan juga.

Walaupun begitu, mungkin para ibu bapa boleh membawa anak-anak kepada orang-orang soleh dan ulama untuk mendoakan anak-anak mereka menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Hal ini dilakukan oleh para salafussoleh sejak zaman dahulu sehingga kini.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

[1] https://maktabahalbakri.com/1571-tahnik-bayi-selepas-sebulan/

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply