Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah orang kafir atau bukan Islam memegang/menyentuh mashaf al-Quran? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan takrifan al-Quran terlebih dahulu. Secara ringkasnya, al-Quran ialah kalam Tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I‘jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2).

Syeikh Muhammad Ali al-Sabuni pula mendefinisikan, al-Quran ialah kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. ( Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8).

Membaca al-Quran merupakan amalan yang sangat dituntut di dalam Islam. Begitu juga, akan diberi pelbagai ganjaran dan kelebihan bagi sesiapa yang membaca al-Quran seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Muhammad bin Ka‘ab al-Qurazi bahawa dia menyebut: Aku mendengar daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ

Maksudnya:Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Kitabullah (al-Quran) maka baginya satu kebaikan.

Riwayat al-Tirmizi (2910)

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, berkenaan perihal menyentuh al-Quran tanpa bersuci, sebahagian para ulama bersepakat bahawa menyentuh al-Quran atau mashaf adalah haram melainkan dalam keadaan seseorang itu suci daripada hadas kecil atau besar. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 37/276).

Ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Hazm bahawa Nabi SAW mengutus surat kepada penduduk Yaman dan antara isi di dalamnya adalah:

أَلَّا يَمَسَّ الْقُرْآنُ إِلَّا طَاهِرٌ

Maksudnya: “Jangan seseorang menyentuh al-Quran melainkan dia dalam keadaan suci — daripada hadas.

Riwayat Malik (468); Ibn Hibban (793) dan al-Baihaqi (1/87)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, hadith ini telah dinilai sebagai sahih oleh sekelompok para imam, bukan dari segi sanad, tetapi dari segi kemasyhurannya. Imam al-Syafi‘i dalam kitab al-Risalah menyebutkan, mereka tidak menerima hadith ini hingga mereka yakin bahawa ia adalah surat (atau perutusan) Rasulullah SAW. Begitu juga Ibn ‘Abd al-Barr turut menyebutkan, surat (atau perutusan) ini adalah masyhur di sisi ahli sirah, dan apa yang terdapat di dalamnya diketahui oleh ulama dengan baik sehingga tidak perlu lagi untuk dilihat sanadnya disebabkan oleh kemasyhurannya itu kerana ia menyerupai hadith mutawatir dari sudut penerimaan dan kemasyhurannya. (Lihat al-Talkhis al-Habir, 4/17).

Selain itu, hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi‘ah: 79)

Al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas menyatakan, para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mashaf dalam keadaan tidak berwuduk — tidak suci daripada hadas. Jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Hazm R.A. Ini juga merupakan pandangan Ali, Ibn Mas‘ud, Sa‘ad bin Abu Waqqas, Sa‘id bin Zaid, ‘Ata’, dan al-Nakha‘i serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan al-Syafi‘i. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226).

Larangan untuk menyentuh atau memegangnya itu meliputi orang yang berhadas sama ada hadas kecil atau hadas besar. Bahkan orang kafir terhimpun padanya kedua-dua jenis hadas. Hal ini kerana jika mereka berada dalam keadaan janabah, mereka tidak mandi wajib daripadanya dan sekalipun mereka melakukan mandi wajib, ia adalah tidak sah.

Atas dasar itu, jumhur fuqaha’ melarang orang kafir atau orang bukan Islam daripada memegang mashaf al-Quran dan ini adalah lebih utama berbanding melarang orang Islam yang sedang berhadas kerana dikhuatiri mashaf al-Quran akan dihina atau direndah-rendahkan. Oleh sebab itu jugalah Nabi SAW melarang seseorang bermusafir dengan membawa al-Quran bersamanya ke negeri atau negara musuh Islam. Ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى أَنْ يُسَافَرَ بِالقُرْآنِ إِلَى أَرْضِ العَدُوِّ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melarang daripada bermusafir dengan al-Quran ke negeri musuh.”

Riwayat al-Bukhari (2990) dan Muslim (1869)

Imam al-Nawawi menyebutkan, para ashab kami (ulama al-Syafi‘iyyah) berpendapat, orang kafir tidak dilarang daripada mendengar bacaan al-Quran, sebaliknya hanya dilarang daripada memegang mashaf al-Quran. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/85).

Begitu juga al-Ramli turut menyatakan, orang kafir dilarang daripada meletakkan tangannya di atas mashaf al-Quran bagi menjilidkannya seperti yang disebutkan oleh Ibn ‘Abd al-Salam, meskipun diharapkan bahawa dia akan memeluk agama Islam. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/389).

Selain itu, al-Baji dalam al-Muntaqa (3/165) ada menyebutkan, sekiranya seseorang dalam kalangan orang kafir atau bukan Islam berkeinginan untuk dihantar kepadanya mashaf al-Quran supaya dia dapat bertadabbur (dengan ayat-ayatnya), maka tetap tidak boleh dihantar kepadanya mashaf kerana dia dikira bernajis dan berjunub, serta tidak boleh baginya untuk memegang/menyentuh mashaf. Begitu juga tidak boleh bagi seorangpun (dalam kalangan orang Islam) untuk menghantar mashaf kepadanya, sebagaimana disebutkan oleh Ibn al-Majisyun.

Di samping itu, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa orang kafir atau bukan Islam dilarang daripada menyentuh atau memegang mashaf sebagaimana dilarang orang Muslim yang berjunub untuk menyentuhnya. Bahkan larangan ke atas orang kafir adalah lebih utama, dan larangan tersebut adalah mutlak tidak kira dia mandi wajib daripada hadas ataupun tidak. Disebutkan di dalam al-Fatawa al-Hindiyyah bahawa Abu Hanifah berpendapat, jika orang kafir mandi wajib, maka dibolehkan baginya untuk menyentuh mashaf. Akan tetapi dinukilkan di dalam al-Bahr daripada Abu Hanifah dan Abu Yusuf bahawa larangan menyentuh mashaf ke atas mereka adalah bersifat mutlak.

Begitu juga orang kafir dilarang daripada terlibat dalam pencetakan mashaf al-Quran. Di antaranya apa yang disebutkan oleh al-Qalyubi bahawa orang kafir dilarang daripada menjilidkan/membukukan mashaf al-Quran dan menyepuhnya dengan emas. Akan tetapi al-Buhuti berpendapat, orang kafir dibolehkan untuk menyalin mashaf tanpa menyentuh mahupun membawanya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/19-20).

Tambahan lagi, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah turut dinyatakan, ulama al-Malikiyyah, al-Syafi‘iyyah, al-Hanabilah dan Abu Yusuf daripada kalangan al-hanafiyyah berpendapat tidak boleh bagi orang kafir untuk memegang mashaf kerana perkara itu adalah satu penghinaan kepada mashaf al-Quran.

Namun, Muhammad bin al-Hasan berpendapat, tidak mengapa bagi orang kafir untuk memegang mashaf jika dia mandi — daripada hadas. Hal ini kerana halangan ke atasnya daripada menyentuh mashaf adalah disebabkan oleh hadas, dan ia telah dihilangkan dengan mandi. Seterusnya, apa yang tinggal atau berbaki hanyalah kenajisan pada iktikadnya dan perkara tersebut berada di dalam hatinya dan bukan pada tangannya. Manakala ulama al-Malikiyyah pula berpendapat, orang kafir dilarang membawa sebahagian daripada al-Quran sekalipun dengan alas (berlapik) kerana ia akan membawa kepada penghinaan atau merendah-rendah terhadap mashaf al-Quran. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 35/23).

Selain daripada itu, Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Baz pernah ditanya mengenai hukum seorang Nasrani menyentuh mashaf al-Quran dan begitu juga hukumnya menyentuh terjemahan makna al-Quran? Beliau menjawab, perkara ini termasuk dalam perkara yang diperselisihi oleh ulama. Sebagaimana diketahui, para ulama melarang Nasrani, Yahudi dan seluruh orang kafir daripada menyentuh mashaf kerana Rasulullah SAW melarang seseorang bermusafir dengan membawa al-Quran bersamanya ke negeri musuh Islam supaya mereka tidak boleh merampasnya. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak boleh memiliki mashaf al-Quran secara fizikalnya, sebaliknya mereka boleh mendengar bacaannya. Firman Allah SWT:

 وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ

Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga ia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu).

(Surah al-Taubah: 6)

Ertinya adalah bacakan kepada mereka ayat-ayat al-Quran sehingga mereka dapat mendengarnya. Akan tetapi tidak boleh diberikan kepada mereka mashaf al-Quran.

Namun, sebahagian ulama membolehkan perkara itu sekiranya diharapkan ke atas orang kafir itu memeluk agama Islam. Mereka berhujah berdasarkan kepada surat Nabi SAW yang dihantar kepada Hercules yang mengandungi firman Allah ‘Azza wa Jalla:

قُلْ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ تَعَالَوْا إِلَىٰ كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ أَلَّا نَعْبُدَ إِلَّا اللَّهَ وَلَا نُشْرِكَ بِهِ شَيْئًا وَلَا يَتَّخِذَ بَعْضُنَا بَعْضًا أَرْبَابًا مِّن دُونِ اللَّهِ ۚ فَإِن تَوَلَّوْا فَقُولُوا اشْهَدُوا بِأَنَّا مُسْلِمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil akan sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja dan didewa-dewakan selain dari Allah.’ Kemudian jika mereka (Ahli Kitab itu) barpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: ‘Saksikanlah kamu bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam.’

(Surah Ali ‘Imran: 64)[1]

Mereka menyebutkan, ini adalah ayat yang agung yang merupakan sebahagian daripada kitab Allah dan Baginda SAW telah menulisnya (dalam sepucuk surat) kepada Hercules. Sekalipun begitu, pendapat yang benar, ia bukanlah hujah (yang membolehkan orang kafir memegang mashaf), sebaliknya ia menunjukkan kepada keharusan untuk menulis satu ayat atau dua ayat daripada kitab Allah. Adapun mengirim mashaf, maka ia tidak sabit daripada Nabi SAW.

Adapun berkenaan kita terjemahan makna al-Quran, maka tidak ada masalah bagi orang kafir untuk menyentuhnya. Hal ini kerana terjemahan makna al-Quran adalah kitab tafsir dan bukannya al-Quran itu sendiri. Dalam erti kata lain, terjemahan tersebut adalah tafsir atau penjelasan daripada makna-makna al-Quran. Jadi, jika seorang kafir atau seseorang yang tidak dalam keadaan suci (yakni berhadas) menyentuhnya, tidak ada masalah, kerana ia tidak mengambil hukum al-Quran. Akan tetapi hukumnya adalah seperti mana hukum kitab tafsir dan kitab tafsir dibolehkan bagi orang yang sedang berhadas, Muslim dan orang kafir untuk membawanya kerana ia bukanlah kitab/mashaf al-Quran, sebaliknya dianggap sebagai kitab tafsir. (Lihat Majmu‘ Fatawa wa Maqalat Mutanawwi‘ah, 24/340-341).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa orang kafir atau orang bukan Islam dilarang daripada menyentuh atau memegang mashaf sebagaimana pendapat jumhur ulama. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati. Hal ini kerana dikhuatiri perbuatan membenarkan orang kafir menyentuh atau memegang mashaf termasuk dalam penghinaan atau merendah-rendahkan al-Quran. Sekiranya seorang Muslim yang sedang berhadas pun dilarang daripada menyentuh atau memegang mashaf al-Quran, maka larangan ke atas orang kafir atau orang bukan Islam daripada menyentuhnya adalah lebih-lebih lagi utama.

Sebaliknya jika seorang bukan Islam itu ingin membaca al-Quran bagi mentadabburinya atau mencari kebenaran dan bukannya untuk menghina al-Quran atau merendah-rendahkannya atau seumpamanya, maka mereka boleh membacanya melalui kita terjemahan makna al-Quran atau kitab tafsir.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

[1] Riwayat al-Bukhari (7)

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply