Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada bawa anak ke klinik dan dikenakan cas RM500. Saya sudah bawa ke hospital tetapi tidak sembuh. Jadi, saya ke klinik pakar penyakit kulit eczema dan kudis api. Boleh atau tidak saya guna wang simpanannya untuk membayar cas rawatan dia? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ketika seorang anak itu masih belum mencapai usia al-rusyd (kematangan dalam menguruskan harta), mereka dan harta mereka merupakan amanah dan tanggungjawab yang harus dititikberatkan oleh ibu bapa atau penjaganya. Firman Allah SWT:
وَابْتَلُوا الْيَتَامَىٰ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آنَسْتُم مِّنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ
Maksudnya: “Dan ujilah anak-anak yatim itu (sebelum baligh) sehingga mereka cukup umur (dewasa). Kemudian jika kamu nampak dari keadaan mereka (tanda-tanda yang menunjukkan bahawa mereka) telah cerdik dan berkebolehan menjaga hartanya, maka serahkanlah kepada mereka hartanya.”
(Surah al-Nisa’: 6)
Dalam pada itu, Allah SWT juga mengingatkan kita seperti dalam firman-Nya:
وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَهُمْ إِلَىٰ أَمْوَالِكُمْ ۚ إِنَّهُ كَانَ حُوبًا كَبِيرًا
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) dengan harta kamu; kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar.”
(Surah al-Nisa’: 2)
Imam Ibn Kathir menukilkan daripada Mujahid, Sa‘id bin Jabir, Muqatil bin Hayyan, al-Suddi, dan Sufyan bin Husain, bahawa Allah SWT melarang daripada mencampurkan antara harta anak yatim di bawah jagaan dengan harta peribadi, kemudian penjaga tersebut makan kesemua harta itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/182)
Menggunakan Harta Anak untuk Perubatannya
Dalam perbahasan ini, ia boleh dibahagikan kepada 2 keadaan:
- Ibu bapa atau penjaga tidak mempunyai keperluan mendesak untuk mengambil harta anak.
Melihat kepada hujjah di atas, maka hukum asas menggunakan duit anak tidak dibolehkan sekiranya tidak terdapat sebarang darurat. Fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i, al-Hanafi dan al-Maliki bersepakat bahawa ibu bapa atau penjaga tidak boleh mengambil harta anak jagaan mereka, kecuali ketika adanya keperluan mendesak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/446); Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 4/513; Hasyiyah ad-Dasuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/522)
Dalil yang melarang daripada mengambil harta anak telah jelas seperti yang kami bawakan di atas.
- Terdapatnya keperluan mendesak untuk ibu bapa atau penjaga mengambil harta anak.
Hujjah dan dalil yang digunakan oleh fuqaha’ Mazhab al-Syafi‘i, al-Hanafi dan al-Maliki sebagai keharusan mengambil harta anak jagaan ketika terdesak, sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.A, katanya bahawa seorang lelaki datang dan berkata kepada Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالاً وَوَلَدًا وَإِنَّ وَالِدِي يَجْتَاحُ مَالِي
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan seorang anak sedangkan bapaku memerlukan kepada hartaku.”
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
أَنْتَ وَمَالُكَ لِوَالِدِكَ، إِنَّ أَوْلاَدَكُمْ مِنْ أَطْيَبِ كَسْبِكُمْ فَكُلُوا مِنْ كَسْبِ أَوْلاَدِكُمْ
Maksudnya: “Kamu dan harta kamu adalah milik orang tua kamu. Sesungguhnya anak-anakmu termasuk hasil usahamu yang paling baik, maka makanlah (ambillah setakat apa yang perlu) dari hasil usaha anak-anakmu.”
Riwayat Abu Daud (3530)
Abu Sulaiman al-Khattabi mengatakan, apabila ayah memerlukan harta si anak, dia boleh mengambil harta sekadar keperluannya. Apabila si anak tidak memiliki harta tetapi masih memiliki pekerjaan, maka dia wajib memberi nafkah kepadanya. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 3/165)
Imam Ibn Battal pula menyebutkan, makna hadith tersebut adalah dalam hal berbuat baik dan sekadar anjuran, bukan suatu keharusan atau kemestian. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 3/544)
Diriwayat juga daripada Jabir bin ‘Abdillah R.A, katanya bahawa seorang lelaki datang dan berkata kepada Rasulullah SAW:
يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي مَالاً وَوَلَدًا وَإِنَّ وَالِدِي يَجْتَاحُ مَالِي
Maksudnya: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai harta dan seorang anak sedangkan bapaku memerlukan kepada hartaku.”
Kemudian Baginda SAW menjawab:
أَنْتَ وَمَالُكَ لِوَالِدِكَ
Maksudnya: “Kamu dan hartamu adalah untuk bapamu.”
Riwayat Ibn Majah (2291)
Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah menyebutkan, huruf lam pada hadith (لأَبِيكَ) bukan bermakna pemilikan mutlak. Sesiapa yang mengatakan bahawa ia membawa maksud keharusan menggunakannya, maka ia lebih menepati makna hadith. Jika tidak, maka hilanglah faedah dan makna hadith tersebut. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 1/116)
Dalam riwayat lain, daripada ‘Aisyah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَ الرَّجُلِ مِنْ كَسْبِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya makanan terbaik yang dimakan oleh seorang lelaki adalah hasil usahanya, dan anak seseorang itu adalah termasuk daripada hasil usahanya.”
Riwayat al-Nasa’ie (4449), Abu Dawud (3528) dan Ibn Majah (2137)
Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam memahami hujjah-hujjah di atas, beliau menukilkan pandangan Imam Syafi‘i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik bahawa bapa itu tidak boleh mengambil harta anaknya kecuali sekadar yang diperlukan sahaja. (Lihat al-Mughni, 5/395)
Ini juga sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi daripada Imam Syafi‘i, Imam Abu Hanifah dan Imam Malik, bahawa tidak harus menafsirkan hadith: (أَنْتَ وَمَالُكَ لِأَبِيكَ) bahawa bapanya memiliki harta anaknya secara hakikat, atau dia berhak menggunakannya secara bebas tanpa pengetahuan dan redha anaknya.
Apabila diteliti lafaz hadith dan syarah yang dibawakan oleh ulama’, kami dapati bahawa mereka mengikat keharusan menggunakan harta anak tersebut dengan beberapa perkara:
- Ketika memerlukan sahaja.
- Sekadar keperluan.
- Dengan pengetahuan dan redha si anak.
Dalam mendepani masalah ekonomi semasa yang kurang stabil ini, sering kali terjadi perbelanjaan keperluan harian melebihi daripada pendapatan isi rumah. Hal ini mendorong kepada kesempitan kewangan bagi sesetengah pihak dan akhirnya mendesak mereka untuk menggunakan apa sahaja cara yang mungkin untuk menjamin kehidupan orang di bawah tanggungannya.
Perubatan anak merupakan suatu keperluan utama bagi ibu bapa dan penjaga. Maka dalam hal ini, jika ibu bapa atau penjaga benar-benar terdesak untuk menggunakan wang si anak bagi mengubati penyakit yang dihidapi anak tersebut, maka hukumnya dibolehkan.
Akan tetapi, ia mesti diikat dengan 3 perkara yang disebutkan di atas:
- Diambil kerana terdesak untuk rawatan anak tersebut.
- Ambil sekadar mencukupi kos perubatan sahaja.
- Maklumkan terlebih dahulu pada si anak sekiranya anak itu pada umur yang mampu memahami dan berfikir.
Kami juga mengambil kesempatan ini untuk menasihatkan agar ibu bapa atau penjaga cuba berusaha mewujudkan simpanan kecemasan yang khusus untuk kepentingan anak, sama ada untuk pembelajarannya, kesihatannya, keperluan hariannya dan sebagainya. Ini hanyalah cadangan langkah yang mungkin boleh diambil bagi mengelakkan dari mengguna harta si anak dengan cara yang salah di sisi syara‘.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445