Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum memakan sarang burung walit? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ ۚ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَٰنُ ۚ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Maksudnya: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Ia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Mulk: 19)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan bahawa ayat ini mengandungi teguran dan dorongan untuk memperhatikan keadaan burung yang ditundukkan Allah SWT serta Allah menundukkan udara dan angin untuknya. Burung mengepakkan sayapnya untuk terbang dan menjaganya agar tidak jatuh ke tanah. Burung tetap bertasbih ketika berada di udara dan mengulang-ulangnya sesuai dengan kehendak dan keperluannya. Tidak ada yang dapat menahannya di udara selain Allah SWT kerana Dia-lah yang menundukkan langit bagi burung dan menjadikan tubuh badannya dalam bentuk yang boleh membuatkannya terbang. Justeru, sesiapa pun yang memperhatikan dan merenung keadaan penciptaan burung, akan mengetahui bahawa burung itu menunjukkan kepada kekuasaan Allah Yang Maha Pencipta serta pengawasan-Nya. Hanya Dia semata-mata Tuhan yang berhak disembah. Dia-lah yang mengatur para hamba-Nya dengan segala sesuatu yang sesuai bagi mereka sebagaimana tuntutan hikmah-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/877)

Burung walit

Burung Walit adalah spesies burung yang berada dalam empat genera iaitu Aerodramus, Hydrochous, Schoutedenapus dan Collocalia. Ia membentuk puak Collocaliini dalam keluarga burung Layang-layang, Apodidae. Kumpulan ini mengandungi sekitar 30 spesies yang hidup di selatan Asia, selatan kepulauan Pasifik dan timur laut Australia, semuanya dalam kawasan tropika dan subtropika. Ia juga merupakan anggota tipikal dalam Apodidae, dengan ciri-ciri sayap kecil untuk terbang dengan laju, mulut yang luas dan paruh kecil bagi menangkap serangga semasa terbang. Apa yang membezakan ia dengan spesies burung layang-layang (tetapi bukan semua) dan kesemua burung lain adalah kebolehan mereka untuk menggunakan cara yang mudah tetapi berkesan ciri gema untuk navigasi dalam keadaan gelap terutamanya di dalam gua di mana ia akan bertenggek dan membiak. Sarang bagi beberapa spesies akan dibina dengan menggunakan air liurnya, dan dikutip bagi menghasilkan sup sarang burung dalam masakan Cina yang terkenal.[1]

Sarang burung walit[2]

Sarang burung walit adalah sejenis sarang burung yang boleh dimakan, atau dalam bahasa Inggeris lebih dikenali sebagai Edible bird’s nest (EBN). Ia merupakan makanan eksotik dan popular sejak dahulu lagi, khususnya dalam kalangan masyarakat cina kaum Tionghua di Malaysia. Di Malaysia, EBN daripada burung walit ini sudah mula dituai sejak tahun 1878 di Gua Niah, Sarawak. EBN diperolehi daripada pelbagai spesis burung walit dan dihasilkan melalui air liur burung-burung ini yang telah mengeras. Sarang burung yang telah mengeras ini kemudiannya dituai untuk kegunaan konsumer. Ia dianggap sebagai hidangan eksotik yang bernilai bagi masyarakat Cina disebabkan jarang ditemui dan nilai nutrisinya yang berkhasiat. Oleh yang demikian, ia telah digunakan oleh masyarakat Cina dalam masakan mereka sejak 400 tahun dahulu, lazimnya dalam bentuk sup sarang burung.

EBN ini merupakan antara hidangan produk binatang yang termahal di dunia, selain sup sirip ikan yu. Bergantung kepada gred sarang burung tersebut, harga untuk sarang burung timbang boleh mencecah sekitar RM3,500 hingga RM4,500 untuk setiap kilogram. Gred sarang burung walit ini bergantung kepada beberapa kriteria seperti bentuk dan warnanya iaitu putih dan merah. EBN daripada burung walit yang komersial ini diperolehi daripada spesies burung walit Aerodramus fuciphagus (turut dikenali sebagai burung walit sarang putih) dan juga spesies burung walit Aerodramus maximus (turut dikenali sebagai burung walit sarang hitam).

Selain itu juga, berdasarkan kajian terdapat beberapa khasiat dan manfaat kesihatan sarang burung ini, antaranya:

  1. Kaya dengan protein
  2. Rendah kandungan karbohidrat
  3. Kandungan lemak yang rendah
  4. Berupaya merangsang sistem imun badan

Hukum memakan sarang burung walit

Terlebih dahulu, kita hendaklah mengetahui bahawa hukum asal semua haiwan yang masih hidup adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis melainkan anjing, babi dan haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Manakala semua haiwan yang mati tanpa mengikut sembelihan syarak, kesemuanya adalah najis — kerana telah menjadi bangkai[3]— kecuali bangkai belalang, ikan dan manusia. Hal ini kerana ketiga-tiga bangkai ini adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Begitu juga, haiwan yang halal dimakan sekiranya disembelih mengikut syarak dan kemudiannya mati disebabkan oleh sembelihan itu, maka ia adalah suci dan tidak dianggap sebagai najis. Manakala haiwan yang tidak boleh dimakan pula, sekiranya ia mati, kesemuanya tetap menjadi najis sekalipun disembelih mengikut syarak. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 127)

Kemudian, kita juga sudah mengetahui bahawa sarang burung walit dihasilkan melalui air liur burung-burung ini yang telah mengeras. Maka, air liur burung adalah suci kerana burung walit dianggap termasuk dalam haiwan yang suci — yakni bukan najis. Hal ini kerana ulama mazhab Syafi‘i berpendapat bahawa semua cairan yang keluar dari bahagian dalam haiwan dan ia tidak berkumpul mahupun berubah dalam bahagian haiwan tersebut (yakni tidak bersekali dengannya), melainkan hanya meleleh atau merembes seperti air liur, air mata, peluh dan hingus, maka hukumnya adalah mengikut hukum haiwan itu. Sekiranya haiwan tersebut najis, maka ia juga akan dikira sebagai najis, dan sekiranya tidak, maka ia adalah suci. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 40/85)

Tambahan lagi, al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa tidak ada bezanya pada peluh, air liur, hingus dan air mata antara orang berjunub, perempuan haid, orang yang suci, Muslim, kafir, baghal, keldai, kuda, tikus dan seluruh haiwan buas serta haiwan yang melata. Bahkan semuanya adalah suci dan daripada setiap haiwan yang dihukum sebagai suci kecuali babi dan anjing serta yang lahir daripada keduanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/559)

Perkara ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada ‘Amr bin Kharijah bahawa Nabi SAW pernah memberikan khutbah kepada mereka di Mina sedangkan Baginda sedang berada di atas haiwan tunggangannya. Manakala beliau pula ketika itu sedang berada di bawah haiwan tunggangan tersebut dan air liur haiwan itu mengalir ke atas bahunya.[Riwayat al-Tirmizi (2121), Ibn Majah (2712); Ahmad (17664)] Hadith ini menunjukkan bahawa air liur haiwan yang suci, juga dianggap sebagai suci dan bukannya najis.

Tambahan pula Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) telah memutuskan bahawa hukum memakan sarang burung layang-layang adalah harus [4]. Justeru hukum yang sama juga terpakai ke atas sarang burung walit, lebih-lebih lagi ia sangat bermanfaat dan berkhasiat buat kesihatan manusia.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa hukum memakan sarang burung walit adalah diharuskan. Ia selari dengan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Lebih-lebih ia terbukti melalui kajian, sangat berkhasiat dan memberi manfaat buat kesihatan manusia.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 Januari 2022 bersamaan 17 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Burung_Walit. Diakses pada 19 Januari 2022.

[2] Merujuk kepada tulisan Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab (disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan). Lihat https://hellodoktor.com/pemakanan/fakta-nutrisi/sarang-burung-kesihatan-anda/. Diakses pada 19 Januari 2022.

[3]Bangkai ialah haiwan yang mati tanpa disembelih mengikut syarak atau dalam bahasa lainnya, ia disembelih tidak mengikut sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak yang mana perlu memenuhi syarat-syarat pada penyembelih, haiwan yang disembelih dan alat sembelihan. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 126)

[4] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15283.

Leave a Reply