Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan kebaikan membawa saudara baru masuk Islam dan apa pula kesannya jika saudara baru itu kembali kepada agama asalnya? Terima kasih Tuan guru.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertamanya, kami ingin menegaskan bahawa tiada paksaan dalam memeluk agama Islam. Sejak awal Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam. Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikit pun paksaan. Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dengan jelas dalam firman Allah SWT:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

(Surah al-Baqarah: 256)

Al-Tabari dalam tafsir ayat ini menyebut: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsiran yang benar. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/414).

Ibn Kathir memperincikan ayat di atas di dalam tafsirnya, yakni Allah SWT berfirman janganlah kamu memaksa seorang pun untuk memeluk agama Islam, kerana ia adalah agama yang jelas dan nyata, dengan bukti-bukti dan dalil-dalil yang terang benderang.  Tidak perlu dipaksa seseorang untuk memeluknya. Sebaliknya, sesiapa yang Allah telah berikan petunjuk ke jalan Islam, telah dilapangkan dadanya, diberi cahaya penglihatannya, maka dia akan masuk dalam agama itu dengan pengetahuan yang jelas. Dan sesiapa yang Allah telah menggelapkan hatinya dan mengunci pendengarannya serta penglihatannya, maka tidak ada manfaat untuk memaksa orang tersebut memeluk agama ini dalam keadaan dipaksa dan ditekan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/521)

Ibn Kathir juga menghuraikan dengan jelas kaitan pecahan ayat “Tiada paksaan dalam agama” dengan bahagian ayat seterusnya iaitu (قَدْ تَبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ) “Jalan yang benar telah nyata dari jalan yang sesat”, iaitu apabila telah dijelaskan dan dibuktikan kebenaran Islam itu kepada manusia, maka ia tidak perlu kepada paksaan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/682)

Ibn ‘Asyur berkata: “Setelah disebutkan ayat kursi, disebutkan pula ayat ini kerana kesesuaian kandungannya dengan pengisian ayat-ayat yang lepas berkaitan bukti-bukti keesaan dan kebesaran Allah, serta penyucian-Nya dari segala kesyirikan yang dilakukan berbagai umat. sehingga selayaknya ayat ini membimbing orang-orang berakal ke arah penerimaan agama ini yang jelas aqidahnya dan lurus syariatnya, tanpa ada paksaan.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 2/499)

Kemudian Allah SWT menguatkan lagi ayat di atas, disamping menghiburkan Rasulullah SAW yang bersedih kerana tidak diterima dakwahnya. Ini sepertimana dalam firman-Nya:

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ ‎

Maksudnya: (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”

(Surah Yunus: 99)

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Wahai Rasul, jikalau Tuhanmu menghendaki untuk menetapkan keimanan manusia semua terhadap risalahmu dalam satu waktu, tentulah semua orang di muka bumi akan beriman seluruhnya. Namun Allah SWT tidak melakukannya supaya mereka memilih. Keimanan dan perbuatan itu sesuai dengan kehendak Allah SWT, maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia  supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman kepada risalahmu yang mana Allah tidak menghendakinya? Itu bukanlah dalam ruang lingkup kekuasaanmu  dan kamu tidak lain hanya menyampaikan (Lihat al-Wajiz, hlm. 221)

Begitu juga Fakhr al-Din al-Razi menyatakan: “Tidak ada keupayaan bagimu untuk mengendalikan sesiapa pun, yang dimaksudkan  olehnya adalah untuk menyatakan bahawa kuasa yang mutlak dan kehendak yang menentukan hanya milik Allah SWT.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 17/305)

Kedua-dua ayat di atas disokong dengan beberapa nas yang lain. Antaranya adalah firman Allah SWT:

لَّيْسَ عَلَيْكَ هُدَىٰهُمْ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّـهَ يَهْدِى مَن يَشَآءُ

Maksudnya: “Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturan-Nya).”

(Surah al-Baqarah: 272)

Ini memberi makna hidayah dan petunjuk adalah milik Allah semata-mata. Para rasul, ulama dan pendakwah hanyalah sebagai penyampai, penasihat dan pemberi peringatan. Ini adalah satu manifestasi daripada firman Allah SWT:

فَذَكِّرْ إِنَّمَآ أَنتَ مُذَكِّرٌ ﴿٢١﴾ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِر

Maksudnya: “Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).”

(Surah al-Ghashiyah: 21-22)

Oleh itu, Islam memberi kebebasan kepada individu bukan Muslim untuk memilih anutan dan pegangannya. Ini kerana asas bagi iman adalah mengakuinya di dalam hati. Tidak cukup hanya sekadar melafazkannya atau hanya menjalankan ibadah-ibadah khusus. Walaupun begitu, al-Quran mengajak untuk menggunakan akal  dan memerah pemikiran untuk mencari kebenaran sehinggalah ia mampu untuk mengenal Penciptanya yang sebenar.

Walaupun Islam hanya mengiktiraf dirinya sebagai agama yang diredhai Allah, namun dalam masa yang sama Islam menghormati hak dan nilai beragama oleh masyarakat bukan Muslim.

Di sini kami sertakan definisi atau maksud mengislamkan seseorang. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, mengislamkan bermaksud memasukkan seseorang ke dalam agama Islam atau menjadikan seseorang beragama Islam. Ia juga diertikan sebagai menjadikan patuh kepada atau menyesuaikan dengan ajaran (ciri-ciri dan sebagainya) kepada agama Islam. Pengislaman pula bermaksud perbuatan mengislamkan seseorang.[1]

Prosedur Pengislaman

Berkenaan tatacara pengislaman seseorang, ini telah diajarkan sendiri oleh Rasulullah SAW menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A yang menceritakan tentang Rasulullah SAW ketika mengutuskan Mu‘az bin Jabal ke Yaman. Baginda SAW bersabda:

إنَّكَ سَتَأْتي قَوْمًا أهْلَ كِتَابٍ، فَإِذَا جِئْتَهُمْ، فَادْعُهُمْ إلى أنْ يَشْهَدُوا أنْ لا إلَهَ إلَّا اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّدًا رَسولُ اللَّهِ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم خَمْسَ صَلَوَاتٍ في كُلِّ يَومٍ ولَيْلَةٍ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيَائِهِمْ فَتُرَدُّ علَى فُقَرَائِهِمْ، فإنْ هُمْ أطَاعُوا لكَ بذلكَ، فَإِيَّاكَ وكَرَائِمَ أمْوَالِهِمْ، واتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ؛ فإنَّه ليسَ بيْنَهُ وبيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ

Maksudnya: “Engkau akan mendatangi kaum ahli kitab, apabila kamu sampai kepada mereka maka serulah mereka untuk bersaksi bahwa tidak Tuhan yang berhak untuk disembah selain Allah dan Muhammad adalah utusan-Nya. Jika mereka taat untuk itu, maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka solat 5 waktu sehari semalam. Jika mereka taat untuk itu, maka beritahulah bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka untuk mengeluarkan zakat harta mereka, di ambil dari orang-orang kaya mereka dan diberikan kepada orang-orang yang miskin dari mereka. Jika mereka taat untuk itu, maka hati-hatilah engkau dari mengambil harta milik mereka yang baik, takutlah engkau dengan doa orang yang dizalimi, sebab tidak ada penghalang antara doa tersebut dengan Allah.”

Riwayat al-Bukhari (1496) dan Muslim (19)

Mengislamkan seorang merupakan satu pekerjaan yang mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah. Antaranya firman Allah SWT yang menceritakan sebab diutuskan Nabi Musa AS kepada kaumnya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَىٰ بِآيَاتِنَا أَنْ أَخْرِجْ قَوْمَكَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ وَذَكِّرْهُم بِأَيَّامِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan Nabi Musa (pada masa yang lalu) dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami sambil Kami berfirman: “Hendaklah engkau mengeluarkan kaummu daripada gelap-gelita kufur kepada cahaya iman; dan ingatkanlah mereka dengan hari-hari Allah.”

(Surah Ibrahim: 5)

Ayat di atas menunjukkan bahawa tujuan nabi atau rasul diutuskan adalah untuk membawa manusia daripada jalan kesesatan kepada jalan hidayah atau petunjuk. Maka, sesiapa yang telah mengislamkan seseorang, maka dia telah mengeluarkan seseorang itu daripada kegelapan kepada nur atau cahaya hidayah. Ini pendirian yang jelas dalam Islam.

Adapun mengenai prosedur khusus pengislaman yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri di Malaysia, terdapat beberapa langkah dan dokumen yang perlu disediakan bagi memastikan maklumat keislaman saudara baru tersebut dapat direkodkan, seterusnya memudahkan proses bimbingan dan pengajian tentang asas-asas Islam.

Menurut Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf) yang dikeluarkan oleh Bahagian Penyelidikan – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 20 Februari 2009, seseorang yang ingin memeluk agama Islam perlu melalui prosedur pendaftaran seperti yang berikut:

  • Pendaftar yang menguruskan pengislaman seseorang saudara baru perlulah berpuas hati dengan proses seperti di bawah sebelum pendaftaran saudara baru dilakukan:
    1. Mengucap dua Kalimah Syahadah di dalam Bahasa Arab.
    2. Memahami maksud daripada kedua-dua Kalimah Syahadah yang dilafazkan.
    3. Pengucapan dua Kalimah Syahadah dibuat dengan kerelaan hati.
    4. Menyatakan maksud Kalimah Syahadahnya dengan menggunakan bahasa isyarat yang boleh difahami tentang pengislamannya jika tidak dapat melafazkan.
  • Saudara Baru yang telah disahkan pengislamannya melalui perkara-perkara di atas boleh didaftarkan sebagai Saudara Baru di mana-mana Pejabat Agama Islam.
  • Seorang Pendaftar Muallaf hendaklah dilantik oleh pihak Majlis / Jabatan Agama Islam yang bertanggungjawab menyelenggarakan suatu daftar Saudara Baru bagi tujuan pendaftaran.
  • Daftar sementara boleh diwujudkan dengan mengambil maklumat-maklumat peribadi dan maklumat berkaitan proses pengislaman seseorang saudara sekiranya saudara baru belum bersedia untuk mendaftarkan pengislamannya. (Lihat Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf), hlm. 6-7)

Hal ini mungkin sama atau sedikit berbeza di peringkat negeri kerana urusan agama berada di bawah kuasa Pihak Berkuasa Agama Negeri. Pun begitu, secara asasnya ia adalah sama seperti yang telah dibentangkan oleh JAKIM.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak dinafikan bahawa menyeru manusia ke jalan hidayah merupakan satu perbuatan yang mulia kerana dia telah melaksanakan salah satu daripada sifat wajib bagi nabi atau rasul iaitu menyampaikan.

Tambahan pula, terdapat hadith-hadith yang menceritakan galakan menyeru kepada kebaikan dan ganjaran yang akan diperolehi apabila seseorang itu melakukan kebaikan yang diseru itu. Antaranya adalah:

  • Daripada Sahl bin Sa’ad, beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

 فَوَاللَّهِ لَأَنْ يُهْدَى بِكَ رَجُلٌ وَاحِدٌ خَيْرٌ لَكَ مِنْ حُمْرِ النَّعَمِ

Maksudnya: “Demi Allah, apabila ada seorang sahaja yang mendapat petunjuk melalui dirimu, maka itu adalah lebih baik bagimu daripada unta merah (jenis unta yang paling baik).”

Riwayat al-Bukhari (2942)

  • Daripada Abi Mas’ud al-Ansari RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan maka dia mendapat pahala sama seperti yang melakukannya.”

Riwayat Muslim (1893)

  • Daripada Abi Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ دَعَا إِلَى هُدًى، كَانَ لَهُ مِنَ الْأَجْرِ مِثْلُ أُجُورِ مَنْ تَبِعَهُ، لَا يَنْقُصُ ذَلِكَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْئًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyeru (seseorang) kepada hidayah, baginya ganjaran sepertimana ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi sedikitpun daripada ganjaran mereka (yang melakukan).”

Riwayat Muslim (2674)

Hadith-hadith di atas jelas menunjukkan kepada kita akan ganjaran yang hebat akan diterima oleh seseorang yang telah menyeru manusia ke jalan hidayah dan pahala tersebut akan diperolehi selagimana orang yang diseru itu melakukan serta mengamalkannya.

Justeru, kerja dakwah dan menyampaikannya dengan penuh hikmah merupakan perintah Nabi SAW agar kita semua diberi keberkatan dalam kehidupan dan kebahagiaan bukan sekadar di dunia tetapi di akhirat. Kita akan diganjari pahala dan masyarakat menerima kebaikan dan Islam sudah pasti akan sejahtera dan baik.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita sentiasa berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

[1] https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=pengislaman 

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply