#3236: Rahsia Atau Hikmah Penyembelihan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami apakah rahsia dan hikmah di sebalik penyembelihan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Satu kaedah menyebut:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ.

Maksudnya: “Hukum-hukum syarak itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.” (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 624)

Rahsia dalam penyembelihan ini sebagaimana yang dapat kami fahami iaitu mencabut nyawa binatang dengan seringkas cara yang dapat merehatkannya tanpa penyeksaan. Oleh kerana itu, disyaratkan penyembelihan itu dengan alat yang tajam agar segera berkesan dan penyembelihan itu pula mestilah pada kerongkong, kerana tempat itu lebih menyegerakan terpisahnya kehidupan dari badan dengan mudah.

Dilarang juga menyembelih dengan gigi dan kuku kerana penyembelihan sedemikian akan menyeksa binatang dan tidak akan tercapainya penyembelihan keduanya itu pada kebiasaannya kecuali dengan mencekik sahaja,”

Nabi SAW menyuruh agar mengasah pisau untuk penyembelihan dan merehatkan sembelihanmu itu.

Mengikut Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-70 yang bersidang pada 29 September 2005 memutuskan:

  1. Telah berlaku sembelihan yang sempurna (iaitu telah putus keempat-empat urat mari”, halkum dan wadajain).
  2. Kaedah tersebut dijalankan selepas berlaku pendarahan sempurna (complete bleeding) atau selepas 30 saat penyembelihan berlaku.

iii. Binatang tersebut disahkan mati akibat sembelihan dan kaedah Thoracic Sticking hanya sekadar membantu mempercepatkan kematian.

  1. Kaedah ini perlu dikawal selia oleh petugas Muslim yang bertauliah. Muzakarah juga memutuskan supaya keputusan ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang berurusan dengan pengimportan daging dari luar negara. Hanya daging sembelihan yang memenuhi syarat-syarat tersebut sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia.

Rasulullah SAW bersabda

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ فَإِذَا قَتَلْتُمْ فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ وَإِذَا ذَبَحْتُمْ فَأَحْسِنُوا الذِّبْحَةَ وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh berbuat baik terhadap segala sesuatu. Maka jika kamu membunuh, pereloklah cara pembunuhanmu dan jika kamu penyembelih, pereloklah cara penyembelihanmu. Hendaklah seseorang kamu menajamkan pisaunya dan mempercepatkan sembelihannya.”

Riwayat Muslim daripada Syaddad bin Aus

Antara cara kebaikan itu, iaitu apa yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Nabi SAW memerintahkan supaya menajamkan pisau dan menyenangkan binatang, sabdanya:

إِذَا ذَبَحَ أَحَدُكُمْ فَلَيُجْهِمْ

Maksudnya: “Apabila seseorang kamu menyembelih, maka hendaklah dia menyempurnakan (penyembelihannya).”

Riwayat Ibn Majah

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa ada seorang lelaki yang membaringkan seekor kambing. Lalu sebelah tangannya mengasah pisau yang hendak menyembelih binatang itu, maka Rasulullah SAW bersabda:

أَتُرِيْدُ أَنْ تُمِيْتَهَا مَوْتَاتٍ ؟ هَلَا أَحْدَدْتَ شَفْرَتَكَ قَبْلَ أَنْ تَضْجَعَهَا

Maksudnya: “Adakah engkau hendak merasakannya beberapa kali mati? Mengapa tidak engkau menajamkan pisaumu sebelum engkau membaringkannya?”

Riwayat al-Hakim dan dikatakan hadis ini sahih mengikut syarat al-Bukhari

Pernah Saidina Umar RA melihat seorang menyeret seekor kambing setelah diikat kaki-kakinya untuk disembelih, lalu dia berkata kepada orang itu: “Celaka engkau! Mengapa engkau tidak membawanya ke tempat sembelihan dengan cara yang baik.”

Riwayat Abd al-Razzaq

Begitulah kita dapati pemikiran umum dalam bab ini ialah bertindak belas kasihan ke atas binatang yang hendak disembelih serta meringankannya dari menanggung seksa mati dengan apa cara sekalipun yang dapat dilakukan oleh manusia.

Golongan jahiliyah pula gemar memotong bonggol unta semasa masih hidup dan suka memotong buah zakar kambing. Semua itu adalah suatu penyeksaan kepada binatang yang dilarang oleh agama. Justeru, Nabi SAW menegah perbuatan itu serta mengharamkan ke atas mereka untuk mengambil manfaat bahagian-bahagian ini sewaktu binatang itu masih hidup.

Rasulullah SAW bersabda

مَا قُطِعَ مِنَ البَهِيمَةِ وَهِيَ حَيَّةٌ فَهُوَ مَيْتَةٌ

Maksudnya: “Apa yang dipotong dari binatang ketika ianya masih hidup, maka daging itu adalah bangkai.”

Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmzi dan al-Hakim

(Lihat Halal dan Haram dalam Islam hlm. 97-99)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *