Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW mengarahkan sahabatnya membunuh beberapa orang pemuka Quraisy yang dikatakan melampau dan zalim selepas pembukaan kota Makkah? Boleh ceritakan kepada kami?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ اللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maksudnya: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

(Surah Ali Imran: 159)

Syeikh Mustafa al-Maraghi berkata: “Sekiranya kamu hai Muhammad bersikap kasar lagi jumud dalam menjalani perhubungan dengan mereka nescaya mereka akan lari darimu dan mereka tidak selesa lagi tinggal bersamamu.”  (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/988)

Pada hari pembukaan kota Makkah, Rasulullah SAW menghalalkan darah sembilan orang penjenayah besar, Rasulullah SAW mengarahkan mereka dibunuh sekalip mereka ditemui di bawah kelambu Kaabah. Mereka ialah Abdul Uzza bin Khatal, Abdullah bin Abi Sarh, Ikrimah bin Abu Jahal, al-Harith bin Nawfal bin Wahab, Muqays bin Sabbabah, Hubar bin al-Aswad dan dua orang penyanyi milik Ibnu Khatal yang sering menyanyikan lagu-lagu yang mengejek Rasulullah SAW, serta Sarah, seorang wanita pelayan kepada Bani Abd al-Muttalib. Dialah orangnya ditemui padanya surat Hatib.

Sementara itu, Abdullah bin Abi Sarh dibawa oleh Uthman ra untuk berjumpa Rasulullah SAW. Uthman ra meminta kepada Rasulullah SAW supaya Abdullah bin Abi Sarh dimaafkan lalu, Rasulullah SAW menyelamatkan darah Abdullah dan menerima keislamannya. Sebelum itu Rasulullah SAW tidak melayani permintaan Abdullah dengan harapan ada sesetengah sahabat akan bangun membunuhnya. Ini kerana dahulunya, Abdullah bin Abi Sarh pernah memeluk Islam dan berhijrah tetapi kemudiannya dia murtad dan kembali ke Makkah.

Ikrimah bin Abu Jahal pula melarikan diri ke Yaman; isterinya meminta keamanan bagi pihaknya lalu Rasulullah SAW menjamin keselamatannya. Setelah itu, isteri Ikrimah pun keluar mengikutnya dan membawanya pulang semula ke Makkah. Akhirnya, dia memeluk Islam dan menjadi seorang muslim yang baik.

Ibnu Khalt bergayut pada kelambu Kaabah; seorang lelaki datang mengadu mengenainya kepada Rasulullah SAW lalu Rasulullah SAW mengarahkan agar Ibnu Khalt dibunuh. Muqais bin Sobbabah pula dibunuh oleh Numaylah bin Abdullah. Muqays pernah masuk Islam; dia bergaduh dengan seorang lelaki Ansar lalu membunuhnya. Setelah itu, dia murtad dan balik ke pangkuan orang musyrikin. Al-Harith pula ialah seorang yang kuat menyakiti Rasulullah SAW semasa di Makkah; dia telah dibunuh oleh Ali ra.

Hubar bin al-Aswad ialah orang yang menghalang Zainab, puteri Rasulullah SAW semasa beliau mahu berhijrah. Dia telah melakukan satu tindakan yang memeranjatkan Zainab sehingga Zainab terjatuh di atas seketul batu yang besar lalu gugur kandungannya. Pada hari pembukaan Makkah, Hubar telah melarikan diri. Namun, kemudian dia telah memeluk Islam dan menjadi seorang muslim yang baik.

Adapun dua orang penyanyi wanita tersebut salah seorangnya dibunuh dan seorang lagi dimohon perlindungan serta memeluk Islam. Sarah juga dipohonkan perlindungan dan akhimya memeluk Islam.

Ibnu Hajar berkata, Abu Misyar menyebutkan bahawa antara mereka dihalalkan darahnya ialah al-Harith bin Talatil dan al-Khuzai yang telah dibunuh oleh Ali r.a. Al-Hakim juga menyebutkan antara yang dihalalkan darahnya ialah Kaab bin Zuhayr yang kisah mengenainya adalah masyhur Selepas pembukaan Makkah, dia datang dan memeluk Islam serta menjadi orang yang terpuji. Antara mereka lagi ialah Wahshi bin Harb, Hindun binti Utbah (isteri Abu Sufiyan yang kemudiannya memeluk Islam). Seperti yang disebutkan oleh Ibnu Ishaq, Arnab, hamba perempuan Ummu Saad juga turut dibunuh. Maka, bilangan mereka yang dihalalkan darahnya adalah seramai lapan orang lelaki dan enam orang perempuan. Ada kemungkinan bahawa Arnab dan Ummu Saad itu adalah dua orang penyanyi wanita yang disebutkan di mana nama mereka berdua diperselisihkan, atau kedua-dua nama itu adalah gelaran-gelaran mereka. (Lihat Sirah Nabawiyyah al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 702-704)

Kami akhiri dengan doa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply