Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum persembahan Mak Yong? Adakah ia dibolehkan sebagai satu seni persembahan budaya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan ringkas berkenaan Mak Yong ini. Makyong, mak yong atau makyung merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang berasal dari Patani dan Kelantan. Drama tari ini menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja; nama “mak yong” ini dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun. Ia menjadi persembahan harian, drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Patani selatan Thailand; Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang, Johor di Malaysia serta sejauh Kepulauan Riau di Indonesia.

Ia dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai istiadat raja memerintah dan sebagai cara perubatan merawat orang sakit. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Unsur-unsur seni persembahan ini yang penuh mistis menarik rasa tidak senang dalam sesetengah pihak; ia pernah diharamkan di negeri Kelantan dengan alasan “seni ini mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah, seperti pemujaan.”

Para sejarawan tidak pasti sama ada Mak Yong mempunyai suatu punca yang khusus. Oleh kerana ia diwarisi secara lisan dalam kalangan penduduk kampung, usia sebenar Mak Yong tidak dapat dipastikan. Bagaimanapun, pemerhatian sifat seni ini yang didapati bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi.

Ada sumber yang menyatakan seni ini dipercayai berkembang hasil gabungan beberapa unsur utama iaitu tarian nora, tarian yang dipersembahkan para dayang istana serta sawai. Legenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang tetapi yang lain mempercayai ia dicipta oleh makhluk digelar Semar.

Ada juga penceritaan lisan yang mendasarkan seni ini kepada kegiatan harimau jadian, sepertimana yang didokumentasikan Hasan Junus dalam isu 23 Julai 1972 akhbar Suara Karya Minggu di Riau dari suatu cerita turunan oleh Abdul Rahman, salah satu pemeran utama dan terkenal seni ini serata Kepulauan Riau bergelaran “Pak Man” berasal dari Mantang Arang, Kabupaten Bintan:

Suatu hari ada seorang lelaki yang pergi masuk ke hutan dan tersesat. Untunglah dia berjumpa sebuah kampung dan orang yang tinggal di ujung kampung itu baik hati mengajaknya bermalam di pondoknya. Setelah selesai makan, tuan rumah berpesan, “Jangan ke mana-mana, jangan pergi keluar rumah. Tutup pintu tingkap dan tidurlah, saya ada kerja sedikit.” Hari pun malamlah.

Begitu malam hari, orang sekampung itu berubah menjadi (ha)rimau semuanya. Lalu, terdengar bunyi gong dan tambur, amatlah bagus bunyinya. Orang yang sesat tadi mengintip dari celah-celah dinding. Rupanya (ha)rimau jadi-jadian itu sedang bersenang-senang dengan suatu permainan penghibur hati, pengobat penat di siang hari. Begitu permainan selesai, mereka pun letih dan terkapar tidur sampai tak sempat mencium bau manusia.

Besoknya orang yang sesat tadi pun balik ke kampungnya. Permainan (ha)rimau jadi-jadian itu ditirunya dan dimainkannya di kampungnya. Itulah asal mula Makyong. Entah ya entah tidak, begitulah yang diceritakan orang tua-tua dulu kepada saya.

Menurut Hikayat Patani, seni Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu di mana ia pertama kali disebut sebagai pertunjukan di istana Yala, Kerajaan Pattani. Dari situ ia berkembang ke Kedah dan negeri-negeri lain melalui Tanjung Kurau (kini Singapura) ke kepulauan Riau yang ketika itu merupakan sebahagian daripada Kesultanan Johor-Riau-Lingga. Mak Yong biasanya dipersembahkan di istana sehingga 1920 yang mana ia sering dipertontonkan dalam kalangan orang biasa.

Butiran mengenai persembahan ini turut digambarkan teliti dalam Syair Perkawinan Anak Kapitan Cina dikarang Encik Abdullah bertarikh 1277 Hijriyah atau 1860 Masihi yang menceritakan suasana perkahwinan seorang pembesar Melayu bernama Engku Puteri Raja Hamidah dengan anak seorang Kapitan Cina.[1]

Persembahan tradisi Mak Yong tidak banyak menggunakan prop, set, dan latar bagi menggambarkan sesuatu adegan. Struktur persembahannya adalah tetap dan sama sahaja walaupun cerita dan watak yang dibawa berbeza. Persembahan tradisi di kampung dilakukan di panggung terbuka. Penonton duduk di tiga sisi panggung manakala sisi yang keempat untuk pemuzik. Kebanyakan peranan dilakonkan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita-cerita tradisi rakyat.

Ada pelbagai pendapat tentang jumlah cerita Mak Yong, ada yang menyatakan hanya berjumlah 12 cerita utama dan ada pula yang berpendapat lebih daripada itu. Cerita Dewa Muda adalah cerita pokok yang paling utama. Kisahnya menggambarkan pengembaraan watak utama yang menemui pelbagai halangan dalam pengembaraannya sebelum akhirnya mereka hidup bahagia sebagai suami isteri atau raja dan permaisuri.

Upacara Buka Panggung memulakan persembahan diikuti perjalanan cerita dan akhirnya upacara Tutup Panggung. Dalam upacara Buka Panggung persembahan bermula dengan segmen Mengadap Rebab, yakni memberi penghormatan kepada alat muzik utama iaitu rebab yang dianggap sebagai unsur suci dalam persembahan.

Pelakon watak Peran Tua memberi penghormatan kepada rebab dengan menempatkannya di tengah-tengah panggung sambil Jong Dongdang menyanyikan lagu “San Gendang”. Pak Yong, Mak Yong dan Jong Dongdang berdiri dalam lingkaran sementera inang dan dayang menyanyikan lagu “Sedayung Mak Yong” atau lagu “Sedara” yang diketuai oleh permaisuri. Pada akhir lagu Pak Yong memerintahkan inang dan dayang untuk kembali ke istana dan ini menandakan berakhirnya segmen ini.

Watak-watak utama terdiri daripada Pak Yong, Mak Yong, Raja, Permaisuri, Peran Tua dan Peran Muda. Terdapat juga watak-watak lain seperti Wak Nujum Diraja, Wak Nakhoda, Betara Guru, hulubalang, jin, bota dan raksasa, bergantung kepada cerita.

Alat muzik utama adalah rebab tiga tali, sepasang gendang dan sepasang tetawak. Terdapat juga alat tambahan untuk menambahkan kegemeresikan alunan melodinya seperti canang, kesi dan serunai.

Pada tahun 2005, Mak Yong diiktiraf dan diangkat sebagai Karya Agung Warisan Lisan dan Tidak Ketara Kemanusiaan (A Masterpiece of the Oral and Intangible Heritage of Humanity) oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Pada tahun 2008, Mak Yong diangkat sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan (Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity).[2]

Selain daripada itu, di sana juga terdapat fatwa berkenaan Mak Yong ini. Di antaranya fatwa Negeri Terengganu yang menyatakan bahawa permainan Mak Yong mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan tuntutan agama Islam dengan adanya pergaulan lelaki dan perempuan, kata-kata tidak sopan dan bertentangan dengan nilai kesopanan. Maka jawatankuasa ini berpendapat permainan Mak Yong tidak boleh diberi kebenaran. Soal membayar niat dengan permainan Mak Yong tidak diharuskan oleh syara‘ kerana berniat/bernazar hanya diharuskan kepada perkara-perkara kebajikan.[3]

Seterusnya dalam menjawab soalan di atas, secara umumnya, Islam tidak menghalang umatnya daripada berhibur. Akan tetapi hiburan di sisi Islam perlu disuluh dan dipandu mengikut nilai-nilai murni yang dibawa oleh Islam, serta tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang ataupun bertentangan dengan agama. Selain itu, pada dasarnya, Islam mengharuskan hiburan kerana ia menjadi sebahagian daripada fitrah kehidupan manusia.

Ini berdasarkan kepada hadith daripada riwayat Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ تُغَنِّيَانِ بِمَا تَعَازَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثٍ، فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ: مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ؟ مَرَّتَيْنِ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا اليَوْمُ

Maksudnya: “Abu Bakar masuk menemuinya dan Nabi SAW berada di sisinya (Aisyah) pada Hari Raya Aidilfitri atau (Aidil) Adha. Di sisinya (Aisyah) ada dua orang penyanyi sedang menyanyikan lagu yang dinyanyikan kaum Ansar pada hari (perang) Bu‘ath. Maka Abu Bakar berkata: ‘Seruling syaitan? Beliau mengucapkannya sebanyak dua kali. Lalu Nabi SAW bersabda: ‘Biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum itu ada hari raya, dan hari raya kita adalah hari ini.’

Riwayat al-Bukhari (3931) dan Muslim (892)

Berdasarkan hadith di atas, jelaslah bahawa hiburan yang dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati dibolehkan dalam Islam. Ini adalah seperti mana dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi bahawa antara hiburan yang dapat menghiburkan jiwa, menenangkan hati serta menyedapkan telinga adalah nyanyian. Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam dengan syarat ia tidak dicampuri kata-kata kotor, keji atau yang boleh memberangsangkan kepada perbuatan dosa. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 273)

Tambahan lagi, ia juga bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Selain itu, berkenaan hiburan ini juga, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia dalam Muzakarah kali ke-2 pada 12-13 Mei 1981 telah membuat beberapa ketetapan sebagai panduan kepada semua pihak sama ada penganjur atau penonton berkaitan hiburan iaitu:

  • Nyanyian yang seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus.
  • Jika nyanyian seni katanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka hukumnya adalah haram.
  • Pancaragam atau alat muzik yang melalaikan seperti lalai menunaikan solat dan sebagainya hukumnya haram.
  • Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat seni katanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dengan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah.
  • Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.[4]

Tambahan lagi, berhubung dengan hiburan ini juga, di sana terdapat garis panduan telah dikeluarkan bagi memastikan hiburan tersebut mencapai maksud dan selari dengan prinsip Islam. Antara garis panduan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Program Hiburan
  • Bermatlamatkan kebaikan dan kesejahteraan.
  • Diadakan di tempat yang bersesuaian supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan ramai orang.
  • Mengambil kira masa yang bersesuaian dengan sensitiviti masyarakat dan ajaran Islam
  • Tidak disertai oleh perbuatan haram atau maksiat.
  • Tidak mengandungi acara yang bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan atau penyembahan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
  1. Persembahan Muzik
  • Tidak menimbulkan gerak geri liar.
  • Tidak mendorong kepada perbuatan maksiat.
  • Tidak melalaikan.
  1. Lirik
  • Kalimah syahadah dalam Bahasa Arab hendaklah disempurnakan.
  • Tidak mengandungi sebutan yang boleh membangkitkan nafsu syahwat, perkataan lucah, menggambarkan arak dan memberi perangsang melakukan dosa.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur pemujaan kepada makhluk dan peribadi.
  • Tidak mengandungi ungkapan-ungkapan yang melanggar adab kesopanan dalam Islam.
  • Tidak mengandungi ungkapan yang melanggar akidah dan syariat Islam.
  • Tidak mengandungi unsur-unsur mengutuk nasib dan lucah .
  • Tidak mengandungi unsur menghina, mengaib, mencaci, memfitnah dan seumpamanya.
  • Tidak boleh menjadikan teks al-Quran sebagai lirik.
  1. Persembahan Artis
  • Berinteraksi dengan penonton secara sopan dan disertai kata-kata yang boleh membina nilai-nilai kemanusiaan.
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Tidak melakukan gerak-geri dan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan yang mendorong kepada maksiat dan menghina Islam.
  • Tidak mengucapkan kata-kata yang menggalakkan perbuatan maksiat atau menghina agama Islam.
  1. Persembahan Tarian
  • Berpakaian kemas, sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam.
  • Gerak tari yang dipersembahkan tidak menimbulkan fitnah.
  • Tidak berlaku percampuran antara lelaki dengan perempuan yang boleh menimbulkan fitnah.
  • Tidak bertujuan pemujaan atau penyembahan.
  • Tidak dipersembahkan dengan gaya yang memberahikan.
  1. Tanggungjawab Penganjur

Penganjur hendaklah memastikan acara hiburan yang dianjurkan menepati garis panduan yang telah disediakan.[5]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan dan kenyataan di atas, kami berpendapat bahawa Mak Yong atau mana-mana hiburan yang tidak mengandungi perkara-perkara atau elemen-elemen yang bercanggah dengan akidah Islam seperti pemujaan, unsur mensyirikan Allah dan seumpamanya, dan ia hanya sebagai satu seni persembahan budaya, di samping ia juga memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan sebagaimana yang kami sebutkan di atas, maka hukumnya adalah diharuskan.

Ini adalah sebagaimana dilaporkan bahawa seni persembahan Mak Yong buat julung kali dipersembahkan kembali kepada umum selepas hampir 30 tahun Mak Yong diharamkan untuk dipentaskan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana ia didakwa mempunyai unsur khurafat dan pemujaan. Namun, selepas melalui proses pengubahsuaian kandungan dialog dan mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri dan Jabatan Mufti Kelantan, akhirnya Mak Yong membuat kemunculan semula. Teater Mak Yong ini dipentaskan secara rasmi setelah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri dengan surat bertarikh 24 Mei 2019 oleh Mufti Kelantan yang membenarkan Mak Yong patuh syariah dimainkan.[6]

Adapun persembahan Mak Yong, tarian, atau apa-apa hiburan yang mengandungi unsur-unsur yang bertentangan dengan tuntutan agama Islam seperti adanya pergaulan lelaki dan perempuan secara tidak terkawal, kata-kata tidak sopan dan bertentangan dengan nilai kesopanan, unsur-unsur pemujaan dan bercanggah dengan akidah Islam dan seumpamanya, maka tidak syak lagi ia adalah haram dan dilarang dalam agama.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Mak_Yong. Diakses pada 22 September 2023.

[2] Lihat https://pemetaanbudaya.jkkn.gov.my/culture/dis/279. Diakses pada 22 September 2023.

[3] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/11533. Diakses pada 19 September 2023.

[4] Lihat https://www.facebook.com/DakwahJakim/photos/a.10150091927227398/10152346436742398/?type=3. Diakses pada 19 September 2023.

[5] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/assets/files/old-site/garis_panduan_hiburan_dalam_islam.pdf. Diakses pada 19 September 2023.

[6] Lihat https://www.astroawani.com/berita-malaysia/mak-yong-muncul-semula-di-kelantan-selepas-28-tahun-218147. Diakses pada 22 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply