Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah ustaz jelaskan serba sedikit dalil mengenai keharusan memakan angsa? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan definisi dan sedikit pengenalan mengenai angsa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, angsa ialah sejenis itik besar. Manakala Kamus Pelajar Edisi Kedua pula mendefinisikannya sebagai binatang ternakan yang seakan-akan itik tetapi lebih besar dan lehernya panjang.[1]

Ringkasnya, angsa ialah sejenis burung air yang berkait rapat dengan itik dan swan. Seperti itik dan swan, angsa mempunyai paruh yang pipih; leher yang panjang: bulu tak telap air; sayap yang panjang, runcing; ekor yang pendek; kaki yang pendek dan merupakan kaki renang. Tetapi angsa lebih besar daripada itik dan lebih kecil daripada swan, dan angsa mengeluarkan bunyi ang bukannya menguek atau bersiul. Angsa jantan dikenali sebagai ganders dalam bahasa Inggeris.

Kaki renangnya membolehkan angsa menjadi haiwan perenang yang baik, namun begitu angsa amat selesa berada di darat juga. Semua angsa adalah burung jenis berhijrah yang terbang ke utara pada musim bunga dan ke selatan pada musim luruh. Angsa terbang dengan lemah gemalai dan amat cekal. Sesetengah jenis angsa boleh terbang lebih daripada 1600 kilometer tanpa henti untuk berehat.

Terdapat lebih daripada 40 spesies angsa liar, terutamanya di Asia, Eropah dan Amerika Utara. Angsa bela jinak barangkali berasal daripada dua jenis spesies liar — angsa greylag dan angsa swan. Angsa dibela jinak pada mulanya di Asia beribu-ribu tahun dahulu. Manusia menternak angsa untuk dagingnya yang kaya dengan zat dan lazat serta untuk bulunya yang lembut. Bulu angsa digunakan dengan meluas sebagai kain bulu dalam bantal, tilam dan sebagai bahan penebat yang ringan dalam beg tidur dan pakaian luar rumah.

Badan angsa. Berat angsa dewasa antara 1.5 kilogram hingga 4.0 kilogram. Bulu meliputi sebahagian besar tubuh angsa, kecuali kakinya. Bulu yang terbesar ialah bulu panjang yang keras pada sayap dan ekornya. Angsa mempunyai lapisan bulu lembut yang tebal di bawah bulu luarnya. Kaki angsa diliputi sisik. Empat jari kaki cakar pada setiap kaki dicantumkan dengan kulit yang kendur. Mata angsa terletak pada kedua-dua sisi kepala dan untuk melihat objek di hadapannya dengan jelas, angsa perlu memalingkan kepalanya. Permukaan dalam paruh angsa amat peka, membolehkan angsa mencari makanannya dengan sentuhan dan juga penglihatan. Angsa mempunyai kerongkong (tiub yang menyambung ke perut) yang panjang, tetapi organ dalamannya yang lain adalah serupa dengan burung lain. Kelenjar uropigial, di pangkal ekor, mengeluarkan bahan berminyak yang digunakan oleh angsa untuk menyelisik (melicin) dan mengkalis air bulunya.

Jenis-jenis angsa. Angsa greylag mempunyai bulu kelabu perang, paruh berwarna jingga, dan kaki berwarna merah jambu. Ia bersarang di Iceland dan di seluruh Eropah Utara dan Asia Utara. Kawasan musim sejuknya adalah sekitar Eropah Selatan dan Asia Selatan. Angsa Kanada ialah salah satu angsa liar yang paling lazim di Amerika Utara. Angsa ini kemudiannya dibawa masuk dan membiak di Eropah dan New Zealand. Badannya berwarna keperangan dengan bahagian bawah berwarna kelabu dan kepala, paruh serta leher berwarna hitam. Angsa brent ialah angsa yang kecil dan berwarna gelap. Pada musim sejuk ia berhijrah ke muara-muara di kawasan beriklim sederhana dan memakan rumput belut (eel grass). Angsa salji ialah burung yang putih keseluruhannya dan membiak di kawasan Artik. Angsa teritip disangka berasal daripada teritip pada masa dahulu. Ia membiak di kawasan utara pada belebas tebing tinggi dan berhampiran dengan tasik dan sungai. Bulunya berwarna hitam dan putih dengan dahi jendul dan muka berwarna putih. Angsa berdada merah berwarna perang berangan, hitam dan putih. Ia membiak di kawasan tundra di barat Siberia. Angsa swan bersarang di kawasan timur laut Asia. Kawasan musim sejuknya merentang ke selatan sehingga ke Korea, Jepun dan China. Angsa swan berwarna perang, dengan paruh hitam dan berkaki jingga.

Pembiak baka telah mewujudkan pelbagai jenis angsa bela jinak. Angsa embden ialah sejenis angsa putih yang teratur dengan dada bulat. Angsa Toulouse ialah burung berwarna kelabu yang pendek dan gempal. Paruh dan kakinya berwarna jingga, dan bawah rahangnya tergantung kulit kendur yang dikenali sebagai gelambir. Angsa China dan angsa Afrika mempunyai bonjol yang besar pada paruhnya. Angsa Sebastopol ialah baka pertunjukan dengan bulunya yang tergulung keluar dan memberikan rupa yang gebu. Angsa bela jinak yang lain termasuklah jenis Buff, Pilgrim dan Roman.

Kehidupan angsa liar. Angsa liar memakan tumbuhan-tumbuhan air, rumput, jagung dan gandum. Pada masa penghijrahan musim luruh, angsa mungkin mencari makanan di tunggul jerami sekitar kawasan pertanian. Angsa yang berhijrah terbang dalam kumpulan yang besar, selalunya dalam susunan bentuk V. Sesetengah ahli akademik percaya bahawa angsa menggunakan bentuk susunan ini kerana arus udara yang diwujudkan oleh burung di hadapan membolehkan burung-burung lain terbang dengan lebih mudah. Ahli akademik yang lain pula percaya bahawa susunan bentuk V ini membolehkan angsa mengikut ketuanya dan membantu burung-burung tersebut terbang dalam satu kumpulan.

Angsa kembali ke sarangnya di kawasan utara pada awal musim bunga. Angsa awal dewasa memilih teman pada masa ini dan akan hidup dengan teman yang sama sepanjang hayat. Pasangan yang akan mengawan ini memilih tapak sarang di tanah, jauh dari kelompoknya. Angsa betina kemudiannya membina sarang daripada ranting, rumput, rumpai dan lumut, kemudian mengalaskan sarang dengan bulu lembut. Angsa betina akan bertelur beberapa biji telur, tidak lebih daripada sebiji sehari. Angsa betina tinggal di sarang hampir sepanjang masa, acap kali memusingkan telur dengan paruhnya. Sementara angsa betina menjaga telur, angsa jantan mempertahankan sarangnya.

Telur biasanya menetas dalam masa 28 hingga 32 hari. Anak angsa diliputi bulu lembut yang halus gebu. Anak angsa berupaya mencari makan sendiri sebaik sahaja menetas tetapi perlu dilindungi daripada kesejukan sekurang-kurangnya beberapa hari yang awal. Anak angsa belajar berenang beberapa hari selepas menetas. Pembesarannya amat pantas pada musim panas dan bulu yang tegap beransur-ansur tumbuh untuk terbang. Anak angsa mula terbang selepas kira-kira dua bulan. Anak angsa tinggal bersama-sama induknya sekurang-kurangnya selama setahun. Menjelang musim luruh, angsa dewasa dalam kelompok menggugurkan bulunya dan bulu baru tumbuh. Angsa dan anak angsa berkumpul dalam kelompok yang lebih besar untuk mencari makanan dan menggemukkan diri masing-masing sebagai persediaan untuk berhijrah ke kawasan musim sejuk yang lebih panas.

Angsa mempunyai banyak musuh semula jadi, termasuk musang dan serigala. Mamalia kecil dan burung camar serta burung laut yang lain mungkin mencuri telur angsa dan menyerang anak angsa. Angsa mempertahankan dirinya dengan berdesir dan menggigit, serta menyerang menggunakan kepaknya. Hayat angsa adalah panjang dan kadangkala mencapai lebih 30 tahun dalam kurungan.

Menternak angsa. Penternakan angsa adalah lazim di Eropah dan Asia. Kebanyakan angsa dilepaskan dalam petak atau di tanah lapang yang berpagar supaya ia boleh memakan rumput. Penternak angsa menggunakan makanan ternakan khas untuk menggalakkan pembesaran yang cepat. Makanan ini mengandungi ramuan seperti jagung atau bijian yang lain, kacang soya, produk sampingan daging, vitamin, dan mineral. Angsa disembelih untuk dagingnya apabila umurnya beberapa bulan. Di Eropah, sejenis makanan seperti pes yang enak disebut pâté de foie gras dibuat daripada hati angsa yang digemukkan secara khusus. Hati yang besar dan lebih berlemak dihasilkan dengan memaksa angsa memakan lebih makanan daripada biasa.

Fakta dan cereka tentang angsa. Orang Mesir membela angsa 4000 tahun dahulu. Selepas itu, orang Yunani juga menternak angsa. Angsa suci di Capitol, Rom dikatakan telah menyelamatkan bandar Rom daripada ditawan oleh orang Gaul pada 390 S.M. Bunyi angsa yang berbunyi bising ini memberikan amaran ketika tentera musuh memanjat tembok bandar.

Aesop menulis dongeng tentang angsa yang menelurkan telur emas . Angsa ialah tajuk lagu dan puisi kanak-kanak serta pantomin yang dikenali sebagai Mother Goose. Dua buku — The Snow Goose oleh Paul Gallico dan The Wonderful Adventures of Nils oleh Selma Lagerlof — kedua-duanya memaparkan angsa dalam ceritanya.

Dari segi pengelasan saintifik, angsa berada dalam kelas Aves. la tergolong dalam rumpun Anatidae. Angsa greylag ialah Anser anser, angsa teritip ialah Branta leucopsis, angsa brent ialah B. bernicle, angsa Kanada ialah B. canadensis dan angsa berdada merah ialah B. ruficollis. (Lihat Ensiklopedia Dunia, Terj. DBP, 1/611-613).

Dalam bahasa Arab, angsa dipanggil sebagai iwazzah (إِوَزَّةٌ) dan kata jamaknya ialah al-iwaz (الإِوَزُّ). Ini adalah seperti mana disebutkan oleh Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam kamusnya, Kamus Idris al-Marbawi Arab-Melayu (1/34). Menurut al-Damiri ia ialah itik. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/175).

Hukum Memakan Angsa

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Selain itu, di sana terdapat juga ulama yang jelas menyatakan berkenaan kehalalan angsa. Ini adalah seperti mana yang disebutkan oleh al-Damiri bahawa angsa halal dimakan menurut ijma‘ ulama. (Lihat Hayah al-Hayawan al-Kubra, 1/354). Begitu juga  ‘Ala’uddin  al-Samarqandi menyatakan, adapun burung-burung yang jinak (yang biasanya dipelihara) seperti ayam, itik dan angsa, maka hukum memakannya adalah halal berdasarkan kesepakatan umat (ijma‘ al-Ummah). (Lihat Tuhfah al-Fuqaha’, 3/65).

Malah sebagaimana diketahui angsa termasuk dalam spesies burung air (Anatidae[2]). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa mana-mana haiwan yang tidak terdapat padanya larangan, maka ia adalah halal (untuk dimakan), tetapi dengan syarat ia disembelih (mengikut syarak) seperti itik dan burung air. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, mana-mana haiwan yang hidup di air dan juga di darat, di antaranya burung air seperti itik dan angsa serta seumpamanya, maka ia adalah halal. Namun, bangkainya tidak halal tanpa sebarang khilaf. Sebaliknya disyaratkan padanya sembelihan (menurut syarak bagi menghalalkannya). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa angsa termasuk dalam jenis burung yang halal untuk dimakan sebagaimana dalil-dalil yang telah dikemukakan di atas. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya, tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Selain itu, hal ini juga dikuatkan lagi dengan nukilan ijma‘ oleh sebahagian ulama yang menyatakan mengenai keharusan dan kehalalan untuk memakannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=angsa. Diakses pada 23 September 2023.

[2] Anatidae adalah keluarga biologi burung air yang merangkumi itik, angsa, dan swan. (Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Anatidae. Diakses pada 24 September 2023).

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply