Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini sebelum solat di sebuah surau RnR, saya terlihat ada seekor belalang kecil mati di atas lantai dekat dengan saf saya hendak solat. Jadi tanpa berfikir, saya terus mengambilnya dan membuangnya, lalu saya terus solat tanpa basuh tangan terlebih dahulu. Tak lama selepas itu, baru saya terfikir, bangkai belalang itu najis atau tidak, atau ia termasuk dalam najis yang dimaafkan serta bagaimana dengan solat saya, sah atau tidak? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas berkenaan sedikit pengenalan mengenai belalang. Belalang ialah serangga yang boleh melompat kira-kira sejauh 20 kali panjang badannya. Belalang sama ada bertanduk pendek, dengan sesungut pendek atau bertanduk panjang, dengan sesungut panjang. Badan belalang mempunyai tiga bahagian utama iaitu; (1) kepala, (2) toraks dan (3) abdomen. Kulit keras yang dikenali sebagai eksoskeleton menutupi badannya. Ia mempunyai lima mata. Mata majmuk yang besar, terdiri daripada beribu-ribu kanta tunggal, terletak di kedua-dua belah kepala. Dengan mata ini, ia boleh melihat ke depan, ke sisi dan ke belakang. Ia mempunyai enam kaki dan kebanyakannya mempunyai dua pasang sayap. Sesetengah spesies mempunyai sayap yang pendek dan tidak berguna, dan yang lain tidak bersayap langsung. Belalang hidup di kebanyakan bahagian di dunia kecuali dekat Kutub Utara dan Selatan. Banyak belalang hidup di padang dan padang rumput yang terdapat banyak daun untuk dimakan. Antara spesies belalang yang ada ialah belalang kunyit, belalang lubber, Katydid, belalang juta dan lain-lain. (Lihat Ensiklopedia Dunia, (Terj. DBP), 3/392-396).

Seterusnya, di antara syarat sah solat ialah bersih daripada najis pada badan, pakaian dan tempat solat. Difahami bahawa najis itu perlu dibersihkan daripada pakaian melalui perintah Rasulullah SAW kepada Khaulah binti Yasar. Khaulah bertanya kepada Baginda SAW:

يَا رَسُولَ اللهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي إِلاَّ ثَوْبٌ وَاحِدٌ وَأَنَا أَحِيضُ فِيهِ فَكَيْفَ أَصْنَعُ ؟ قَالَ: إِذَا طَهُرْتِ فَاغْسِلِيهِ، ثُمَّ صَلِّي فِيهِ

Maksudnya:Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tiada pakaian lain melainkan sehelai ini sahaja, dan sekarang aku sedang haid mengenakan pakaian tersebut. Apakah yang perlu aku buat?” Baginda SAW menjawab: “Apabila engkau telah suci daripada haid engkau, maka basuhlah pakaian itu (yang terkena haid), kemudian solatlah dengan menggunakan pakaian itu.

Riwayat Abu Daud (365)

Hadith di atas menunjukkan bahawa Nabi SAW memerintahkan agar pakaian yang dipakai untuk solat perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada segala jenis najis.

Dalam menjawab soalan di atas, terdapat riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحَالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211)[1]

Hadith di atas menunjukkan bahawa belalang termasuk dalam haiwan yang mana bangkainya adalah suci lagi halal meskipun tidak melalui proses penyembelihan. Hal ini kerana ia adalah haiwan yang mustahil untuk disembelih, maka syarat sembelihan itu gugur. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/72; Mughni al-Muhtaj, 6/98-99).

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Hurairah R.A, yang menceritakan satu perjalanan Rasulullah SAW bersama para sahabat ketika mengerjakan haji dan umrah, dan mereka terserempak dengan sekelompok belalang, lalu mereka membunuhnya. Kemudian Baginda SAW bersabda:

كُلُوهُ فَإِنَّهُ مِنْ صَيْدِ الْبَحْرِ

Maksudnya:Makanlah ia, kerana ia sama jenisnya dengan binatang buruan di laut (dari segi kehalalan bangkainya).

Riwayat Ibn Majah (3222)

Selain itu, Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa belalang bangkainya adalah halal dimakan, tidak kira sama ada matinya itu bersebab atau ia mati dengan sendirinya. Demikianlah juga tidak disyaratkan untuk memotong kepalanya. Ini adalah pendapat ulama dalam kalangan mazhab al-Syafi‘i, Abu Hanifah, Ahmad dan majoriti daripada kalangan mereka. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/74). Malah, Ibn Battal menukilkan bahawa ulama-ulama dari Kufah berpendapat belalang halal untuk dimakan walau bagaimana cara pun ia mati, dan ia merupakan pendapat Imam al-Syafi‘i. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 5/402).

Bahkan al-Khatib al-Syirbini secara tidak langsung ada menjelaskan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijmak para ulama. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235).

Ini menunjukkan bahawa bangkai belalang dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis serta ia tidak berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya untuk dimakan sebagaimana ikan.

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, tidak mengapa seseorang memegang bangkai belalang kerana ia dihukumkan sebagai suci dan bukannya najis, tidak kira bagaimana pun ia mati kerana ia tidak berhajat kepada sembelihan bagi menghalalkannya.  Justeru, tangan yang menyentuhnya masih dikira sebagai suci, dan solat yang didirikan juga adalah sah serta tidak perlu mengulanginya.

Perbahasan lain berkenaan belalang bolehlah merujuk kepada artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah seperti yang berikut:

  • #524 Memakan Belalang.[2]
  • #529 Cara Menyembelih Belalang.[3]
  • #532 Memakan Belalang secara Hidup-hidup.[4]
  • #553 Memahami Kontradiksi Hadith Berkaitan Belalang.[5]

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلاَ تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

[1] Imam al-Baihaqi menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/524-memakan-belalang/. Diakses pada 24 September 2023.

[3] Lihat https://maktabahalbakri.com/529-cara-menyembelih-belalang/. Diakses pada 24 September 2023.

[4] Lihat https://maktabahalbakri.com/532-memakan-belalang-secara-hidup-hidup/. Diakses pada 24 September 2023.

[5] Lihat https://maktabahalbakri.com/553-memahami-kontradiksi-hadith-berkaitan-belalang/. Diakses pada 24 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply