Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sememangnya sudah menjadi kebiasaan saya untuk membawa sebotol hand sanitizer kecil, yang kadang-kadang saya gantungkannya pada beg galas saya. Soalan saya, bolehkah saya mendirikan solat selepas menggunakan hand sanitizer tanpa perlu membasuhnya terlebih dahulu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan secara ringkas terlebih dahulu takrifan dan sedikit pengenalan mengenai pembasmi kuman atau ia lebih dikenali sebagai “hand sanitizer.” Ringkasnya, pembasmi kuman atau hand sanitizer ini turut dipanggil sebagai antiseptik tangan. Ia adalah agen yang digunakan pada tangan untuk menghilangkan patogen biasa (organisma penyebab penyakit). Hand sanitizer biasanya tersedia dalam bentuk busa, gel, atau cecair. Penggunaannya disyorkan apabila sabun dan air tidak didapati/tersedia untuk mencuci tangan atau apabila pencucian tangan berulang kali merosakkan penghalang kulit semulajadi (contohnya, menyebabkan kulit menjadi kering atau merekah). Walaupun keberkesanan hand sanitizer adalah bervariasi, ia digunakan sebagai cara mudah untuk mengawal jangkitan dalam pelbagai situasi, dari pusat jagaan kanak-kanak dan sekolah-sekolah hingga hospital dan klinik kesihatan, dan dari pasar raya hingga kapal persiaran.

Berdasarkan bahan aktif yang digunakan, hand sanitizer boleh diklasifikasikan sebagai salah satu daripada dua jenis: beralkohol atau bebas alkohol. Produk beralkohol biasanya mengandungi antara 60 hingga 95 peratus alkohol, biasanya dalam bentuk etanol, isopropanol, atau n-propanol. Pada kepekatan tersebut, alkohol segera menyahtukarkan protein, dengan berkesan meneutralkan jenis mikroorganisma tertentu. Manakala produk bebas alkohol pula biasanya berasaskan pembasmian kuman seperti benzalkonium klorida (BAC), atau agen antimikrob seperti triclosan. Aktiviti bahan pembasmian kuman dan agen antimikrob adalah serta-merta dan berterusan. Selain itu, banyak produk hand sanitizer juga mengandungi emolien (contohnya, gliserin) yang menenangkan kulit, agen pemekat dan pewangi.[1]

Dalam menjawab soalan di atas, permasalahan yang timbul adalah pada produk hand sanitizer yang mengandungi alkohol. Adapun produk hand sanitizer yang bebas alkohol, tidak timbul masalah dalam penggunaannya selagi mana ia tidak mengandungi bahan bernajis yang lain serta tidak memudaratkan penggunanya, maka penggunaannya adalah diharuskan ketika solat.

Seterusnya berkenaan penggunaan produk yang mengandungi alkohol, kita hendaklah membezakan di antara alkohol yang terhasil melalui proses pembuatan arak dan alkohol yang terhasil secara sintetik melalui proses campuran atau sebatian bahan kimia. Kami sudah membahaskannya secara terperinci dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #3144: Penggunaan Alkohol Sintetik.[2]

Kami sebutkan di sini sebahagian perbahasan tersebut. Alkohol yang terhasil melalui proses pembuatan arak, tidak syak lagi hukumnya adalah haram. Ini kerana arak merupakan najis dan dosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan, hukum bagi arak adalah haram diminum dalam kuantiti banyak atau sedikit kecuali dalam keadaan darurat kerana arak itu adalah haram secara zatnya. Begitu juga tidak boleh mengambil manfaat daripadanya sama ada bagi tujuan perubatan atau selainnya kerana Allah tidak menjadikan penawar (ubat) buat kita daripada sesuatu perkara yang diharamkan ke atas kita. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5474).

Bahkan dinyatakan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jumhur fuqaha’ berpendapat, haram untuk mengambil manfaat daripada arak bagi tujuan perubatan, dan sebarang bentuk manfaat yang lain, seperti menggunakannya dalam minyak wangi atau makanan atau tanah liat. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/25).

Akan tetapi alkohol yang terhasil bukan melalui proses pembuatan arak, tetapi melalui proses campuran atau sebatian bahan kimia dan sebagainya, maka para ulama berbeza pendapat mengenainya, dan pendapat yang sahih (kuat dan terpilih) ia dihukumkan sebagai suci. Ini adalah sebagaimana dinyatakan dalam Fatwa Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam Tahun 2005 (hlm. 74) bahawa: “Alkohol sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah haram meminumnya kerana sifatnya yang memudharatkan seperti mana racun. Adapun barangan kosmetik yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia adalah harus menggunakannya, kerana ia bukan najis. Dengan ini juga, sah sembahyang seseorang yang memakai baju yang telah disembur dengan minyak wangi yang mengandungi alkohol yang dihasilkan melalui sintetik atau tiruan daripada campuran bahan kimia kerana ia bukan najis.”

Tambahan lagi, berkenaan alkohol ini juga, Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan Isu Alkohol Dalam Makanan, Minuman, Pewangi Dan Ubat-Ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah memutuskan bahawa:

  • Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walau bagaimanapun bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperolehi dari proses pembuatan arak, hukumnya haram dan najis.
  • Manakala alkohol yang diperolehi bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram (tidak boleh) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.
  • Minuman ringan yang diproses/dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1%v/v adalah harus (boleh) diminum.
  • Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus (boleh) dimakan/diminum.
  • Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus (boleh) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan dari proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5%.
  • Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Selain itu, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin juga ada menyebutkan, penggunaan alkohol untuk penyahkuman atau merawat luka adalah tidak mengapa jika ada keperluan bagi perkara tersebut. Sesungguhnya dikatakan bahawa alkohol menghilangkan akal tanpa memabukkan. Jika perkara itu adalah benar, maka ia bukanlah arak. Jika perkara itu tidak benar, maka ia adalah arak dan meminumnya adalah haram menurut nas dan ijma‘. Adapun penggunaannya untuk tujuan selain minum, maka ia menjadi perkara yang memerlukan penelitian lebih lanjut.

Kemudian, Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin menukilkan pula fatwa Syeikh Muhammad Rasyid Redha yang menyimpulkan bahawa alkohol adalah bahan suci yang membersihkan dan salah satu bahan asas dalam bidang farmasi, perubatan, dan pelbagai industri serta digunakan dalam beratus-ratus ubat. Jadi, melarang umat Islam daripada menggunakannya akan menyekat mereka daripada menguasai ilmu, seni, dan banyak bidang lain. Ini adalah salah satu sebab mengapa bangsa Eropah mendahului umat Islam dalam bidang seperti kimia, farmasi, perubatan, rawatan, dan perindustrian. Melarang penggunaan alkohol dalam konteks ini boleh menjadi punca kematian ramai pesakit atau orang cedera atau menyebabkan sakit mereka menjadi lebih lama dan semakin bertambah. (Lihat Majmu‘ Fatawa Ibn ‘Uthaimin, 11/256-259).

Bahkan hal ini disokong dengan resolusi yang dikeluarkan oleh Nadwah Figh Perubatan kali Kelapan anjuran Pertubuhan Ilmu-Ilmu Perubatan Islam yang berlangsung di Kuwait (dari 22-24 Mei 1995). Resolusi tersebut antara lain menyebut:

“Bahan alkohol tidak najis dari segi syarak, berdasarkan kepada perakuan yang lalu, yang berasaskan kepada prinsip asal sesuatu itu adalah suci, sama ada alkohol itu sahaja atau telah dicampurkan dengan air, kerana menerima pakai pandangan ulama yang menghukumkan kenajisan arak dan lain-lain bahan yang memabukkan, hanyalah berbentuk maknawi dan bukannya hissi, kerana ia dianggap sebagai benda kotor yang menjadi kesukaan syaitan. Dari itu tidak menjadi kesalahan dari segi syarak, menggunakan alkohol dari sudut perubatan sebagai bahan pencuci kulit, kecederaan, ubat-ubatan dan pembunuh kuman. Begitu juga dengan penggunaan minyak wangi (Air Colonia) yang menggunakan alkohol, sebagai bahan pelarut kepada bahan-bahan minyak wangi yang ringan atau penggunaan krim yang mengandungi alkohol. Ia tidak ada kaitan dengan arak, kerana arak haram diambil manfaat daripadanya.” (Lihat Isu-isu Fiqh Halal & Haram Semasa oleh Dr. Basri bin Ibrahim, hlm. 598-605).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa penggunaan hand sanitizer sama ada yang mengandungi alkohol atau bebas alkohol adalah diharuskan kerana alkohol yang digunakan sebagai bahan asas kandungannya adalah alkohol sintetik yang dihasilkan bukan melalui proses pembuatan arak, sebaliknya ia dihasilkan melalui proses sebatian kimia dan seumpamanya. Sekalipun begitu, keharusan tersebut juga terikat selagi mana ia tidak mengandungi bahan bernajis yang lain dan tidak memudaratkan penggunanya.

Ini adalah selari dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga kaedah fiqh yang lain menyatakan:

الأَصْلُ فِي الأَشْيَاءِ النَافِعَةِ الإِبَاحَةُ، وَفِي الأَشْيَاءِ الضَّارَّةِ الحُرْمَةُ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu yang bermanfaat adalah dibolehkan (yakni harus) dan hukum asal bagi sesuatu yang berbahaya adalah diharamkan.”

Bahkan pendapat ini juga adalah selari dengan keputusan yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia sebagaimana yang kami telah sebutkan sebelum ini.

Begitu juga penggunaannya ketika solat juga adalah dibolehkan dan solat yang didirikan juga adalah sah serta tidak perlu mengulanginya kerana ia dihukumkan sebagai bahan suci dan bukannya najis.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

[1] Lihat https://www.britannica.com/topic/hand-sanitizer. Diakses pada 25 September 2023.

[2] Lihat https://maktabahalbakri.com/3144-penggunaan-alkohol-sintetik/. Diakses pada 25 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply