Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah terdapat hadith yang kita diminta untuk berlindung dairpada penyakit baras, gila, kusta dan penyakit yang lain?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Ya, benar, doa ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A.
Beliau berkata:
كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
Maksudnya: Adalah Nabi SAW berdoa:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ
(“Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).”
Riwayat Abu Daud (1554). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, sanad hadith ini adalah sahih.
Imam al-Khattabi menyatakan kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit ini kerana ia mencacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan seumpamanya yang mana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/297)
Tambahan pula, penyakit gila adalah suatu penyakit yang menyebabkan hilangnya akal di mana akal adalah permulaan kepada kebaikan ilmu dan amal sehingga dikatakan ia (akal) lebih utama daripada ilmu.
Adapun penyakit kusta pula adalah penyakit yang menyebabkan badan menjadi hitam, lalu ia akan merosakkan anggota dan kemungkinan ia akan memakan anggota tersebut sehingga menyebabkan ia terputus daripada badan. Justeru, kita dituntut untuk memohon perlindungan dengan Allah daripada apa-apa yang boleh merosakkan batin kita seperti hilangnya akal serta apa-apa yang boleh mencacatkan zahir kita seperti penyakit kusta ini.
Maka dengan sebab itu, diumumkan (pada akhir doa) daripada setiap penyakit yang membinasakan diri atau badan dengan menyebut penyakit-penyakit yang buruk. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 7/217-218)
Al-Tibi pula dalam menjelaskan hadith ini menyebut bahawa Nabi SAW tidak meminta berlindung secara mutlak daripada segala penyakit kerana sebahagian penyakit ada yang tidak terlalu parah dan mengandungi banyak pahala jika dihadapi dengan sabar. Ini seperti demam, pening, sakit mata dan sebagainya. Baginda SAW hanya minta berlindung daripada penyakit-penyakit yang kronik, yang berpanjangan, di mana menjadikan manusia menjauhkan diri darinya seperti sopak, gila, kusta dan seumpamanya. (Lihat Syarh al-Tibi ‘ala Misykat al-Masabih, 6/1918)
Kami pernah bertanya kepada Syeikh Muhamad ‘Awwamah berkenaan makna “penyakit-penyakit yang buruk”. Menurutnya, ia adalah apa-apa sahaja penyakit teruk yang berbahaya seperti selsema burung, kanser dan sebagainya. Maka, virus Covid-19 yang sedang merebak pada waktu ini juga boleh dikategorikan sebagai penyakit-penyakit yang buruk sepertimana disebutkan di dalam hadith atau doa di atas. (Berdasarkan pertemuan di kediaman beliau di Istanbul, Turki pada 27/1/2020. Lihat juga Irsyad al-Hadith Siri ke-465 untuk bacaan lanjut).
Marilah sama-sama kita melazimi doa ini dan juga doa-doa yang lain supaya ALlah SWT pelihara kita dari sebarang penyakit dan segala bentuk kemungkaran akhlak, hawa nafsu dan lain-lain.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445