Soalan:

Saya anak angkat yang diambil dari baby. Saya telah dibintikan kepada bapa angkat. Saya sudah berumur 51 tahun dan bekerja sebagai guru. Saya sudah berkeluarga dan semasa nikah telah berbintikan Abdullah. Anak-anak juga mengetahui asal usul saya. Semasa ibu angkat meninggal dunia saya tidak mengambil sebarang harta pusaka. Atas keputusan mak and bapa saudara semua disedekahkan. Ibu angkat duduk bersama saya selepas saya berkahwin. Persoalannya, perlukah saya tukar nama pada IC dan surat kelahiran saya. Proses lama dan akan menyulitkan juga untuk urusan gaji dan pekerjaan saya. Saya mula-mula mendapat tahu saya anak angkat ketika berusia 23 tahun. Terima kasih Dato’ untuk pencerahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ مِنَ الْمَاءِ بَشَرًا فَجَعَلَهُ نَسَبًا وَصِهْرًا وَكَانَ رَبُّكَ قَدِيرًا

Maksudnya: Dan Dia lah Tuhan yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan pertalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua yang dikehendakiNya).

(Surah al-Furqan: 54)

Syeikh Ahmad al-Maraghi pula menghuraikan bahawa hubungan nasab dinisbahkan melalui para lelaki manakala hubungan persemendaan bagi kaum wanita, maka terhasillah hubungan kekeluargaan. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 19/26).

Dari sudut bahasa, nasab berasal daripada kalimah نَسَبَ – يَنْسِبُ, jika disebut يَنْسِبُهُ (yansibuhu) adalah menisbahkan seseorang kepada bapanya. Nasab juga pada bahasa dengan makna qarabah. Dijamakkan dengan kalimah أَنْسُبٌ (ansub).  (Lihat Lisan al-Arab, 1/755)

Makna nasab menurut Kamus Dewan Edisi Keempat adalah ‘pertalian keluarga, keturunan (terutama daripada sebelah bapa). Contohnya, nasab bapa pertalian keluarga di sebelah bapa; nasab ibu pertalian keluarga di sebelah ibu; penasaban hal yang berkaitan dengan nasab: ini berkaitan dengan nasab, pewalian, pewarisan, dan pergaulan dalam keluarga.

Imam Raghib al-Asfahani mendefinisikan nasab dan nisbah sebagai persekutuan pada salah seorang ibu atau bapa, sama ada hubungan menegak seperti nasab antara bapa dan anak-anak; atau hubungan melintang seperti nasab antara saudara-mara dan bapa-bapa saudara. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 801).

Begitu juga Syeikh Wahbah al-Zuhaili berkata: “nasab merupakan penyandar yang paling kukuh yang berdirinya sebuah keluarga. Ia mengikat unit-unit keluarga dengan ikatan atas asas kesatuan darah, dan juz’i pada bahagiannya. Ini kerana anak sejuzuk daripada bapanya dan bapa adalah sejuzuk daripada anaknya. Ia merupakan nikmat yang agung, kurniaan Allah kepada manusia. Justeru, memelihara nasab adalah salah satu daripada maqasid syariah yang lima.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, hlm10/7247).

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan menasabkan anak kepada ayahnya adalah bukti penting dari perkahwinan yang sah, dan ini merupakan hak ayah dengan mengiktiraf anak sebagai keturunannya. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menghindari sebarang tuduhan yang tidak berasas. Syariah Islam telah mengambil langkah berjaga-jaga dalam hal ini dengan menekankan sebab-sebab pengesahan keturunan, dan Al-Quran al-Karim dengan jelas menyatakan bahawa keturunan anak-anak hanya sah jika dinasabkan  kepada bapa mereka. Oleh yang demikian menasabkan anak kepada ayah angkat adalah  tidak dibolehkan dalam islam.

Firman Allah SWT:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّهِ

Maksudnya: “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri,”

(Surah al-Ahazab:5)

Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ayat ini diturunkan kepada  Zaid Bin Harithah. Sepertimana kata Ibnu Umar bahawa para sahabat memanggil Zaid bin Harithah dengan Zaid bin Muhammad menjadi dalil bahawa anak angkat telah diamalkan sejak zaman jahiliyyah. Datang Islam meneruskan amalan tersebut dan mendukungnya sehinggalah turun ayat  ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِم. Maka Allah menjelaskan hukum tersebut dan melarang untuk menasabkan anak angkat kepada angkat dengan menggunakan perkataan ‘lebih adil’. Yang lebih utama adalah menasabkan anak angkat tersebut kepada bapanya sendiri”( Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran,14/119)

Ibnu Kathir  juga menyatakan bahawa  “Ayat ini diturunkan untuk memutuskan penasaban anak angkat kepada ayah angkat.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim,hlm.3/564)

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas :

مَنِ انْتَسَبَ إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ , أَوْ تَوَلَّى غَيْرَ مَوَالِيهِ ، فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Maksudnya: ”Sesiapa yang memanggil seseorang dengan selain nama ayahnya atau selain dari maulanya maka ke atasnya laknat Allah, para malaikat dan manusia seluruhnya:”

Sunan Ibnu Majah (2609)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam kali ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003 telah membincangkan tentang menggabungkan nama anak angkat dengan bapa angkat dalam sijil Pengangkutan dan Kad Pengenalan. Muzakarah telah memutuskan bahawa mana-mana anak angkat yang diangkat oleh orang Islam tidak boleh

Dalam isu ini kami katakan apa yang telah lalu kita harapkan Allah memberi pengampunan sebagaimana firmanNya.

عَفَا اللَّهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّهُ مِنْهُ ۗ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya.

(Surah al-Ma’idah:95)

Namun dalam situasi seperti ini hendaklah beriktikad bahawa ayah dan emak angkat bukanlah ayah dan emak yang sebenar kerana dalam islam hukum menasabkan kepada ayah angkat adalah haram. Walau bagaimanapun hendaklah berlaku baik kepada merka serta keluarga angkat walaupun mereka telah meninggal dunia sebagai penghormatan atas jasa mereka dalam menjaga dan mendidik saudari sejak kecil.

Berkaitan persoalan menukar nama pada kad pengenalan dan surat beranak,sekiranya ia membawa kepada banyak kesulitan terhadap beberapa keadaan seperti urusan kerja atau gaji sebagaimana yang telah disebutkan. Kami katakan tiada masalah untuk mengekalkan nama yang sedia ada namun hendahkah mempercayai secara hakikat bahawa nasab yang sebenar bukanlah seperti yang tertulis pada kad pengenalan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahua’lam.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply