Soalan:

Apa hukum melewatkan solat jenazah sehingga sehari semalam untuk menunggu waris ahli keluarga dan rakan taulan si mati pulang menghadiri solat jenazah?

Jawapan:

Dalam isu ini, kami syorkan agar jenazah itu disegerakan untuk dikebumikan. Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”[1]

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, perbuatan yang terbaik adalah kita segerakan kecuali tempoh yang tidak lama untuk menunggu.  Oleh itu, segerakanlah. Setelah itu, bagi mereka yang datang selepas itu, maka bolehlah pergi ke perkuburan untuk melakukan solat jenazah dan mendoakan untuk si mati.

Hal ini kerana telah thabit dalam hadith Nabi SAW, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:

مَاتَ إِنْسَانٌ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعُودُهُ فَمَاتَ بِاللَّيْلِ فَدَفَنُوهُ لَيْلاً، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَخْبَرُوهُ فَقَالَ ‏ “‏ مَا مَنَعَكُمْ أَنْ تُعْلِمُونِي ‏”‏‏.‏ قَالُوا كَانَ اللَّيْلُ فَكَرِهْنَا ـ وَكَانَتْ ظُلْمَةٌ ـ أَنْ نَشُقَّ عَلَيْكَ‏.‏ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ.

Maksudnya: Telah mati seseorang yang Rasulullah SAW selalu menziarahinya maka matinya pada waktu malam dan dikebumikan juga pada waktu malam. Apabila subuh, mereka memberitahu Rasulullah SAW maka berkata Rasulullah SAW: “Apa yang menghalang kalian dari memberitahuku?”. Mereka berkata: “Sudah malam dan gelap dan kami tidak mahu menyusahkan kamu”. Rasulullah SAW telah pergi ke kuburnya dan menyembahyangkannya.

Riwayat al-Bukhari (1247) dan Ibn Majah (1530)

Imam Badruddin al-‘Aini dalam mensyarahkan hadis di atas menukilkan beberapa pendapat yang mengatakan boleh solat jenazah di kubur. Antaranya Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad dan Ishak bin Rahawaih. Begitu juga dengan Abdullah bin al-Mubarak yang mengatakan sekiranya jenazah telah dikebumikan dan tidak disolatkan lagi, maka solat di atas kubur. (Lihat ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 8/26)

Begitu juga dengan hadis Nabi SAW daripada Abi Hurairah RA:

أَنَّ امْرَأَةً، سَوْدَاءَ كَانَتْ تَقُمُّ الْمَسْجِدَ – أَوْ شَابًّا – فَفَقَدَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَسَأَلَ عَنْهَا – أَوْ عَنْهُ – فَقَالُوا مَاتَ ‏.‏ قَالَ: ‏”أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي”‏ ‏.‏ قَالَ: فَكَأَنَّهُمْ صَغَّرُوا أَمْرَهَا – أَوْ أَمْرَهُ – فَقَالَ ‏”‏دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ”‏ ‏.‏ فَدَلُّوهُ فَصَلَّى عَلَيْهَا ثُمَّ قَالَ:‏ إِنَّ هَذِهِ الْقُبُورَ مَمْلُوءَةٌ ظُلْمَةً عَلَى أَهْلِهَا وَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُنَوِّرُهَا لَهُمْ بِصَلاَتِي عَلَيْهِمْ‏”.

Maksudnya: Sesungguhnya terdapat seorang wanita (ataupun pemuda) kulit hitam yang selalu membersihkan masjid dan Rasulullah SAW lama tidak melihatnya maka ditanyakan soalan tentangnya dan mereka berkata bahawa dia telah mati. Berkata Rasulullah SAW: “Mengapa kalian tidak memberitahuku, seakan kalian meremehkan urusannya. Kemudian Rasulullah SAW menyuruh agar ditunjukkan kuburnya lalu Rasulullah SAW solat di situ kemudian berkata: “Sesungguhnya kubur ini dipenuhi dengan kegelapan ke atas ahlinya dan Allah ‘Azza wa Jalla menyinarinya dengan solatku ini ke atas mereka.”

Riwayat Muslim (956)

Al-Khattabi berkata: Padanya jelas menunjukkan harus solat atas kubur bagi sesiapa yang tidak sempat solat jenazah sebelum dikebumikan. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/315)[2]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ ارْحَمْ مَوْتَانَا،  وَاشْفِ مَرْضَانَا، وَعَافِ مُبْتَلَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami. Sembuhkanlah orang sakit di kalangan kami, dan berilah kesejahteraan kepada orang yang diuji di kalangan kami.”

[1] Dalam hadith mursal menyebut:

 الأناة فِي كل شَيْء إِلَّا فِي ثَلَاث إِذا صِيحَ فِي خيل الله وَإِذا نُودي بِالصَّلَاةِ وَإِذا كَانَت الْجِنَازَة

[2] Kami nukilkan juga sini beberapa pandangan dari tokoh ulama’ dalam membicarakan mengenai hukum Solat Jenazah di atas kubur ini. Antaranya:

Pertama: Al-Imam al-Mawardi (wafat 450H) Rahimahullah menukilkan perbahasan ini di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir dengan menyebut: “Barangsiapa yang tidak berkesempatan untuk solat (jenazah) dikalangan wali (si mati) ataupun selainnya, maka disolatkan kali kedua sebelum dikebumikan dan selepas dikebumikan di kubur dan itulah yang paling utama bahkan al-Syafi’e memakruhkan solat sebelum dikebumikan kerana takut akan rosaknya mayat.” Ini merupakan pendapat sebahagian Sahabat seperti Ali, Umar, Ibn Umar, Abu Musa dan ‘Aisyah Radhiyallahu’anhum. Manakala dikalangan tabi’en seperti al-Zuhri dan selainnya, dikalangan fuqaha’ seperti al-Auza’ie, Ahmad dan Ishak. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/59).

Kedua: Di dalam al-Majmu’, al-Imam al-Nawawi (wafat 676H) Rahimahullah menyebut: “Jika hadir sesiapa yang belum sempat untuk solat ke atas jenazah selepas dikebumikan atau berkehendakkan solat ke atas jenazah di negeri yang lain dibolehkan dan tiada khilaf padanya.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/247)

Ketiga: Begitu juga di dalam mazhab Hanbali seperti yang telah dinukilkan oleh Ibn Qudamah al-Maqdisi (wafat 620H) Rahimahullah iaitu bagi siapa yang terlepas solat jenazah sehingga telah dikebumikan, maka solat dikuburnya dan dibolehkan untuk solat di situ selama satu bulan. Begitulah pendapat ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan selain mereka dan itu juga pendapat al-Auza’ie dan al-Syafi’e. (Lihat al-Mughni, 2/381)

Justeru, selapas nukilan daripada pendapat para ulama’, kami nyatakan di sini bahawa solat jenazah di atas kubur jika tidak sempat melakukannya sebelum dikebumikan adalah harus dan dibolehkan. Bahkan dinyatakan oleh Syeikh Daud al-Fatoni sah mengerjakan solat Jenazah di atas kubur dan memadai solat di atas kubur walaupun jenazahnya sudah reput, jika jenazah itu belum lagi disembahyangkan dengan syarat kuburnya belum pernah digali sebelum itu. (Lihat Furu’ al-Masa’il, hlm. 560

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply