Soalan:

Assalamualaikum Ustaz Abang saya baru meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak (yatim) dan isteri. Adakah boleh menggunakan duit sedekah kematian oleh orang ramai untuk bayaran gali kubur arwah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT :

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ

Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

 (Surah al-Ankabut: 57)

Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197)

Firman Allah SWT lagi :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan mengenai kewujudan makhluk daripada ketiadaannya, Allah SWT mewujudkan mereka bagi menguji dan menilai siapakah di kalangan mereka yang paling baik amalannya. Ibn Abi Hatim berkata, diriwayatan daripada Qatadah berkenaan ayat ini, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالمَوْتِ وَجَعَلَ الدُنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ وَجَعَلَ الآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak-anak Adam dengan kematian, dan menjadikan dunia ini tempat dihidupkan (kehidupan sementara) dan kemudian tempat dimatikan, dan menjadikan akhirat sebagai tempat pembalasan dan tempat kekal abadi.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Menjawab bagi persoalan di atas, kami katakan dalam isu ini ia bergantung kepada niat pemberi. Sekiranya pemberi menghulurkan sumbangan itu bagi meringankan keluarga si mati dalam menguruskan jenazah maka kami berpandangan dibolehkan menggunakan duit sumbangan tersebut untuk membayar upah kepada  penggali kubur tersebut kerana secara adat kebiasannya duit sumbangan orang ramai itu adalah untuk kegunaan dalam menguruskan jenazah. Namun sekiranya sumbangan tersebut diberikan sebagai bentuk bantuan kepada keluarga si mati bagi meneruskan kehidupan, maka tidak wajib bagi keluarga si mati menggunakan duit tersebut untuk membayar upah penggali  kubur tersebut. Yang demikian adalah bergantung kepada niat pemberi.

Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith yang diriwayatkan daripada daripada Amirul Mukminin Abi Hafs Umar bin al-Khattab RA berkata “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِالنِيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut apa yang dia niat.”

Riwayat al-Bukhari (1) dan Muslim (1907).

Berdasarkan hadis ini juga, ulama’ mengeluarkan satu kaedah fiqhiyyah yang utama:

‌الأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: “Setiap perkara dinilai berdasarkan niat.”(Lihat Al-Asybah wa Al-Nazair, hlm. 8)

Perkara pertama yang diperlu difahami dalam menguruskan harta peningalan si mati sebelum pembahagian faraid adalah sepertimana berikut:

  • Pengurusan jenazah
  • Melangsaikan hutang si mati (Hutang Allah dan Sesanma makhluk)
  • Malaksanakan wasiat si mati
  • Pembahagian faraid

Dalam menjelaskan isu ini Imam al-Nawawi menyatakan : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Tolibin, 180)

Telah dinyatakan  juga dalam Mausua’h Fiqh al-Islami bahawa: “Hak pertama yang perlu diberi perhatian dalam urusan harta pusaka adalah hak yang berkaitan dengan harta yang ditinggalkan, seperti cagaran, hutang, dan zakat yang wajib. Kemudian, kelengkapan untuk persiapan jenazahnya. Termasuk juga  dalam hal  ini adalah keperluan tanggungan si mati ketika dia masih hidup seperti hambanya dan isterinya yang tidak nusyuz. Yang demikian  sekiranya dia seorang yang  mampu yang memiliki harta peninggalan. Kemudian hendaklah diselesaikan segala hutang-hutang yang menjadi tanggungannya samada hutang  tersebut berkaitan hutang kepada Allah SWT  atau kepada manusia.

Selain itu juga, hendaklah melaksanakan segala wasiat-wasiat yang ditinggalkan seperti  pembebasan hamba yang diwasiatkan selepas kematiannya atau  sumbangan yang tidak sempat dipenuhi  ketika dia sakit serta melaksanakan wasiatnya dengan kadar 1/3 daripada peninggalannya setelah melangsaikan hutangnya dan kemudian barulah dibahagikan harta peninggalan tersebut kepada ahli waris. (Lihat Mausua’h Fiqh al-Islami, 4/295)

Justeru, kami katakan duit sumbangan orang ramai boleh digunakan untuk membayar segala urusan berkaitan dengan urusan  jenazah melainkan telah dita’yinkan (ditentukan) sumbangan tersebut untuk keluarga si mati. Pada asasnya segala kos pengurusan jenazah boleh diambil daripada harta peninggala si mati sebelum melakukan pembahagian faraid.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segla titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply