Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagaimanakah hendak mengenalpasti amalan perubatan alternatif tidak bercanggah dengan syariat. Contohnya, bolehkah pemutus ubat disyaratkan dengan pemberian seperti ayam atau garam atau pulut atau seumpamanya? Adakah pemutus ubat sebegini tidak dibenarkan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrif “pemutus ubat”. Dalam bahasa mudahnya, pemutus ubat bermaksud suatu amalan atau perbuatan yang perlu dilakukan apabila pesakit telah mendapat kesembuhan — dengan izin Allah SWT — daripada penyakit atau sakit yang dialami. Dalam erti kata lain, pesakit tidak perlu lagi datang untuk berubat atau mendapatkan rawatan. Ia merupakan satu peradaban dalam kaedah rawatan, untuk memperlihatkan rasa terima kasih seorang pesakit terhadap orang yang telah merawatnya, di samping untuk memberitahu yang dirinya telah sembuh. Peradaban ini boleh menambahkan lagi keyakinan diri perawat.

Sesetengah amalan pemutus ubat dilihat seolah-olah mengandungi perkara khurafat atau kesyirikan. Biasanya yang sering ditonjolkan oleh perawat tradisional, bomoh, dukun ialah melepaskan binatang seperti ayam hitam ke kawasan yang tidak dihuni, menyembelih binatang yang memiliki sifat tertentu, mengikut arahan perawat yang meletakkan syarat-syarat tertentu dan upacara seperti menjamu yang tidak diketahui asalnya dan seumpamanya.

Jadi apabila seseorang itu yakin dan mempercayai bahawa perawat atau bomoh itulah yang menyembuhkan penyakit melalui ikhtiar dan usaha mereka atau melalui ubat-ubatan dan jampi-jampian mereka yang memberi bekas dalam menyembuhkan penyakit itu, maka dikhuatiri dia akan terjerumus ke dalam lembah kesesatan dan jauh daripada panduan agama yang sebenar. Bahkan sesetengah amalan itu juga sebenarnya bertujuan untuk berterima kasih kepada jin dan syaitan yang membantunya — iaitu bomoh tersebut. Jika dilakukan, nescaya jin dan syaitan tidak akan mengganggunya lagi kerana ada perjanjian di antaranya dengan jin dan secara tidak langsung pesakit telah bersekongkol dengan orang yang melakukan syirik pada Allah SWT.

Atas dasar itulah, kita sebagai orang Islam dilarang atau haram hukumnya untuk pergi kepada bomoh/tukang sihir bagi tujuan mengubati dan dia telah mensyirikkan Allah SWT. Menurut Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, diharamkan untuk meminta bantuan dari bomoh/tukang sihir untuk tujuan sihir atau perubatan. Hal ini kerana ia merupakan suatu perbuatan syirik kepada Allah SWT. (Lihat al-Fatawa al-Mu‘asirah, hlm. 319)

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi bertemu dukun atau tukang ramal, lalu dia membenarkan apa yang dikatakannya, maka sungguh ia telah kufur kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW.”

Riwayat Ahmad (9171)

Begitu juga, Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا السَّبْعَ الْمُوبِقَاتِ.‏ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ:‏ الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلاَتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan. Sahabat bertanya: ‘Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu?’ Baginda menjawab: ‘Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita muhsan beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina.”

Riwayat al-Bukhari (2766)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika perkara tersebut tidak ada sebarang testimoni dari sudut keberhasilannya dalam merawat dan membantu dalam memberi kesembuhan maka ia adalah tidak dibolehkan, dan sekiranya ada (testimoni dari sudut keberhasilannya dalam merawat) maka ia dibolehkan dengan syarat tidak mengandungi apa-apa perkara khurafat dan mensyirikkan Allah SWT. Hal ini kerana sekalipun terdapat testimoni dari sudut keberhasilannya dalam merawat tetapi padanya terdapat unsur khurafat dan perbuatan mensyirikan Allah, maka ia tetap haram dan tidak dibolehkan.

Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dalam Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam (terbitan JAKIM), ada dinyatakan pada ‘Bahagian Bayaran Perkhidmatan/Pengeras’ bahawa:

  • Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.
  • Bayaran perkhidmatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong-menolong.

Begitu juga pada ‘Bahagian Pengijazahan’ ada dinyatakan bahawa tidak boleh melakukan upacara-upacara yang mengandungi unsur-unsur penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa-kuasa atau tenaga-tenaga ghaib seperti mempersembah sedulang makanan, menyembelih ayam dan sebagainya. (Lihat Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam, terbitan JAKIM, hlm. 17)

Kami mengambil kesempatan di sini, menasihatkan dan mengingatkan kepada semua, jika amalan atau perbuatan dalam pemutus ubat itu terdapat keraguan padanya dan tidak dapat dipastikan sama ada ia bertepatan dengan kehendak agama ataupun tidak, maka sebaik-baiknya meninggalkannya atau tidak melakukannya  adalah lebih baik dan jauh daripada tergelincir ke lembah kesesatan. Bahkan ia bertepatan dengan saranan agama untuk meninggalkan dan menjauhi perkara-perkara syubhah dan meragukan. Meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Sebaik-baiknya jika seorang pesakit itu tetap ingin membuat majlis bagi menyatakan kesyukurannya, di samping menjadi tanda pemutus ubat bagi penyakitnya yang telah sembuh, maka dia boleh mengadakan majlis kesyukuran kepada Allah SWT dengan menjemput orang ramai lalu menjamu mereka makan. Majlis itu juga mengandungi bacaan doa, ayat-syat suci al-Quran dan seumpamanya. Pada masa yang sama, dia hendaklah istiqamah menjalankan tanggungjawabnya sebagai orang beriman dengan mengerjakan kewajipan yang diperintahkan dan memperbanyakkan amalan-amalan sunat.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply