#3279: Halimah al-Sa’diah dan Kisah Penyusuannya

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan bagaimana bermulanya kisah penyusuan Halimah al-sa’diah kepada Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum Rasulullah SAW disusukan kepada Halimah al-Sa’diah, Thuwaibah yang merupakan maula Abu Lahab sempat menyusukannya beberapa hari. Baginda SAW disusukan oleh Halimah al-Sa’diyah dengan air susu anaknya Abdullah, saudara lelaki Unaisah dan Juddamu iaitu al-Syaima, anak-anak al-Harith bin Abd al-Uzza bin Rifa’ah al-Sa’di. Kemudian berlaku perbezaan pendapat tentang keislaman kedua orang tua Baginda SAW daripada penyusuan. Wallahu a’lam.

Halimah menyusukan pula bersama Baginda SAW, anak bapa saudaranya bernama Abu Sufyan bin al-Harith bin Abd Muttalib. Beliau pada awalnya sangat kuat permusuhannya dengan Nabi SAW. Kemudian beliau masuk Islam ketika peristiwa Pembukaan Kota Makkah dan beliau melaksanakan ajaran Islam dengan baik. Adapun bapa saudara Baginda SAW, Hamzah bin Abd al-Muttalib disusukan di sisi Bani Sa’ad bin Bakr, Ibu Hamzah pernah menyusukan Rasulullah SAW selama satu har ketika Baginda SAW telah berada dengan ibunya Halimah. Maka Hamzah adalah saudara susuan Nabi SAW dari dua sida sisi Thuwaibah dan dari sisi al-Sa’diyah. (Lihat Zad al-Ma’ad, 1/84)

Halimah binti Abu Zuaib merupakan seorang penyusu daripada kabilah Bani Sa’ad. Beliau merupakan salah seorang daripada perempuan-perempuan yang datang ke Mekah dengan niat untuk pulang membawa seorang anak susuan sebagai punca rezekinya. Pada mulanya, minatnya tidak tertarik kepada anak yatim. Tetapi disebabkan tidak mendapat bayi yang dican dan malu untuk pulang dengan tangan kosong, akhirnya beliau kembali semula bertemu Aminah untuk membawa pulang Muhammad SAW. Kepulangan Halimah bersama Baginda SAW disertai oleh keberkatan. Sebelum itu, Halimah menempuh kemarau selama beberapa tahun. Lalu Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan yang berlipat kali ganda selepas itu. Kambing-kambingnya mengeluarkan susu yang banyak, sedangkan sebelum itu, ia tidak bersusu. Kehidupan Halimah menjadi senang dan selesa. Halimah, suami dan anaknya merasai bahawa kepulangannya dari Mekah membawa keberkatan dan keuntungan, bukannya kefakiran dan keyatiman. Itu semua menambah tautan hati dan penghargaan mereka kepada anak yatim. (Lihat Fiqh al-Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 77)

Ibn Ishaq menyebut bahawa Halimah menceritakan: “Setelah mengambilnya, aku pun kembali ke kenderaanku. Setelah aku meletakkan bayi itu di dalam bilik, aku meletakkan bayi itu pada dadaku supaya dia dapat menyusu sebanyak mana yang dia mahu. Lalu diminumnya sehingga puas, dan saudaranya juga menyusu sehingga puas. Kemudian, kedua-dua bayi itu pun tidur. Sebelum itu, kami tidak pernah dapat tidur kerana bayi kami yang asyik menangis. Suamiku bangun dan pergi kepada unta tua kami; tiba-tiba dia mendapati unta itu mempunyai susu! Lalu diperahnya susu unta itu sekadar untuk minumannya. Aku juga turut minum sehingga betul-betul rasa puas dan kenyang.

Pada malam itu, kami dapat tidur lena. Apabila pagi, suamiku berkata kepadaku:

تَعَلَّمِي وَاللهِ يَا حَلِيمَة، لَقَدْ أَخَذَتِ نسمة مباركة

Maksudnya: “Ketahuilah, demi Allah wahai Halimah. Sesungguhnya engkau telah mengambil seorang manusia yang diberkati.” (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 1/134; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/163)

Aku menjawab, “Demi Allah, aku pun mengharapkan demikian. Kemudian kami keluar dan aku menunggang keldaiku dengan membawa Rasulullah SAW bersama-samaku. Demi Allah, keldai itu bergerak pantas sekali sehingga tidak mampu dikejar oleh keldai-keldai mereka yang lain, sehinggakan teman-temanku berkata, “Hai puteri Abu Zu’aib! Perlahanlah sedikit! Bukankah itu yang kamu tunggang semasa keluar bersama-sama kami?” Aku menjawab, “Bahkan demi Allah, keldai inilah yang aku tunggang dahulu. Lalu wanita-wanita itu berkata, “Demi Allah, pada keldai itu ada sesuatu urusan.”

Kemudian, kami pun sampai ke rumah-rumah kami di perkampungan Bani Sa’ad. Setakat yang aku tahu, kampung kami adalah tempat yang paling buruk dilanda kemarau. Tatkala kami pulang membawa Rasulullah SAW, kambing-kambingku pulang dan meragut dalam keadaan kenyang dan mempunyai susu. Lalu, kami perah dan minum susu kambing itu sedangkan orang lain tidak mendapat setitik susu pun pada kambing mereka. Sehinggakan kaum kami yang melihatkan hal tersebut berkata kepada para penggembalanya, “Mengapa kamu tidak membawa kambing-kambing itu ke tempat yang dibawa oleh penggembala puteri Abu Zu’aib?” Kambing mereka pulang dalam keadaan lapar sedangkan kambingku pulang dalam keadaan kenyang serta mempunyal susu. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/162-164; al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 67-68)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Kami amat mengalu-alukan sumbangan anda untuk penyelenggaraan operasi Maktabah Al-Bakri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *