Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf hendak bertanya. Saya ada soalan. Jika isteri merupakan seorang penghafaz al-Quran, adakah si suami akan menanggung dosa isterinya tadi jika si isteri tadi melupakan hafalan al-Qurannya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menghafaz al-Quran merupakan suatu perkara yang mulia yang mendapat ganjaran yang sangat besar kerana menjaga Kalamullah. Malah, menghafaz al-Quran secara keseluruhan hukumnya adalah fardhu kifayah dan sunat ‘ain, iaitu sunat bagi setiap Muslim. (Lihat Radd al-Muhkhtar wa Hasyiah Ibn ‘Abidin, 1/538).

Namun, sekalipun menghafaz al-Quran suatu perkara yang mulia, tetapi yang selalu menghantui penghafaz al-Quran sekarang adalah untuk menjaga hafalannya supaya sentiasa mengingatinya kerana sengaja melupakannya dikira sebagai berdosa. Bahkan sebahagian mereka menganggapnya sebagai dosa besar. Perbincangan mengenai seseorang yang lupa ayat-ayat al-Quran yang telah dihafal, kami telah bahaskannya dalam artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #64 Lupa Hafazan al-Quran.[1]

Kami bawakan di sini sebahagian daripada isi perbahasannya. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, disebutkan dalam sebuah riwayat daripada Abu ‘Ubaid daripada jalur al-Dahhak secara mauquf:

مَا مِنْ أَحَدٍ تَعَلَّمَ القُرآنَ ثُمَّ نَسِيَهُ إلَّا بِذَنْبٍ أَحْدَثَهُ لِأَنَّ اللهَ يَقُوْلُ:  وَمَا أَصَابَكُمْ مِنْ مُصِيْبَةٍ فَبِمَا كَسَبَتْ أَيْدِيْكُمْ

Maksudnya: “Tiada seorang pun yang mempelajari al-Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah SWT berfirman (yang bermaksud): ‘Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri.’

Mereka menambah dengan menyebutkan, tiada musibah yang lebih besar daripada melupakan al-Quran (yang dihafal). Selain itu, terdapat lagi sambungan hadith di atas tetapi ia dinilai sebagai mursal menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani; yang bermaksud: “Tidak aku nampak dosa yang lebih besar daripada dosa penghafaz al-Quran, kemudian meninggalkannya.” (Lihat Fath al-Bari,  9/86).

Selain itu, Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari turut berpendapat bahawa haram hukumnya melupakan hafazan al-Quran. (Lihat Asna al-Matalib, 1/64). Begitu juga  al-Ramli berpendapat, haram hukumnya melupakan ayat al-Quran jika disebabkan kecuaian dan malas, dan ia merupakan salah satu dosa besar. (Lihat Fatawa al-Ramli, 4/376).

Manakala al-Syaukani berpendapat, melupakan hafazan al-Quran merupakan antara dosa terbesar daripada kategori dosa-dosa kecil sekiranya ia tidak disertai dengan niat meremehkan keagungan al-Quran. (Lihat Nail al-Autar, 2/178). Tambahan pula, Ibn Rusyd menukilkan ijma‘ bahawa jika seseorang itu terlupa hafazan al-Quran kerana sibuk mempelajari ilmu-ilmu yang wajib dan ilmu-ilmu sunat, maka dia tidak dianggap berdosa. (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/605).

Oleh yang demikian, jelaslah bahawa melupakan ayat-ayat al-Quran termasuk dalam perkara yang dianggap dosa menurut para ulama. Lebih-lebih lagi, jika al-Quran itu dilupakan daripadanya disebabkan oleh kelalaiannya dan tidak mengulanginya kerana malas dan sibuk dengan hal-hal keduniaan.

Namun, jika dia sudah berusaha mengingati dan menghafaznya serta mengulangnya, tetapi masih tidak ingat, maka hukumnya tidak berdosa. Bahkan sifat “terlupa” adalah tabiat sifat manusiawi, kerana Nabi SAW sendiri pernah terlupa sebahagian ayat al-Quran. Ini sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha:

سَمِعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ فِي سُورَةٍ بِاللَّيْلِ فَقَالَ:‏ يَرْحَمُهُ اللَّهُ لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً كُنْتُ أُنْسِيتُهَا مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki membaca satu surah daripada al-Quran pada suatu malam lalu bersabda: ‘Moga Allah SWT merahmatinya, dia telah memperingatkan kepada aku suatu ayat daripada satu surah al-Quran yang telah dilupakan daripadaku.’

Riwayat al-Bukhari (5038) dan Muslim (788)

Seterusnya, setiap mukallaf pada asal syarak, tidak kira lelaki mahupun perempuan yang sudah baligh bertanggungjawab terhadap amalan, perbuatan, pahala dan dosa masing-masing.  Mereka tidak akan menanggung dosa yang dilakukan oleh orang lain. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.

(Surah al-Fatir: 18)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”

(Surah al-An‘am: 164)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya. Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya, dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain. Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/383-384).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa suami tidak menangggung dosa isterinya disebabkan si isteri melupakan hafalan al-Qurannya. Hal ini kerana seseorang yang telah baligh, dosanya ditanggung sendiri, bukannya ibu ayah, adik beradik, mahupun suami.

Sekalipun begitu, si suami dianggap bersalah apabila membiarkan isterinya terus berbuat dosa seperti berterusan melupakan ayat-ayat al-Quran yang pernah dihafalnya tanpa menasihati mahupun memberi motivasi kepadanya untuk mengulangnya. Apatah lagi, setiap Mukmin wajib menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada api neraka sebagaimana firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu serta ahli keluarga kamu dari api neraka.

(Surah al-Tahrim: 6)

Syeikh Muhammad Sayyid Tantawi dalam tafsirnya menyebutkan, makna ayat ini ditujukan kepada setiap insan yang mengaku beriman kepada Allah SWT agar mereka menjauhi diri mereka daripada api neraka dengan melakukan perkara kebaikan serta menjauhi diri daripada melakukan perkara maksiat dan ahli keluarga mereka dengan cara menasihati mereka, menunjukkan jalan yang benar kepada mereka dan menyuruh mereka melakukan perkara yang makruf serta mencegah diri daripada melakukan perkara mungkar. Di samping itu, Imam al-Qurtubi menukilkan daripada pendapat Qatadah dan Mujahid bahawa maksud memelihara diri adalah memelihara diri dengan menjaga tingkah laku, manakala memelihara ahli keluarga pula adalah dengan menasihati mereka.  (Lihat Tafsir al-Wasit, 476/14).

Pada masa yang sama, kami turut menyarankan kepada si suami boleh mengajak isterinya untuk mengulang al-Quran bersama-sama, atau meminta kepada isteri untuk memperdengarkan kepadanya bacaan al-Quran melalui hafalan dan begitulah sebaliknya si suami juga boleh memperdengarkan hafalan al-Qurannya kepada si isteri. Bahkan suami juga boleh membaca hafalan al-Quran ketika mengimami isterinya solat; sama ada solat fardhu mahupun sunat. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

وَإِذَا قَامَ صَاحِبُ الْقُرْآنِ فَقَرَأَهُ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ ذَكَرَهُ وَإِذَا لَمْ يَقُمْ بِهِ نَسِيَهُ

Maksudnya: “Apabila seorang sahibul Quran membacanya (sewaktu solat) pada waktu siang dan malam, nescaya dia akan hafal dan ingat ayat al-Quran, namun jika dia tidak melakukan yang demikian, maka dia akan melupakannya.

Riwayat Muslim (789)

Kesemua ini termasuk dalam cara dan kaedah yang boleh digunakan untuk mengulang hafalan al-Quran dan mudah-mudahan ia menjadi asbab yang membawa kepada tidak melupakannya dengan sengaja.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

 

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/64-lupa-hafazan-al-quran/. Diakses pada 25 September 2023.

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply