Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kisah Ka’ab datuk Nabi SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Menurut al-Suhaili, ada pendapat menyatakan, dia dinamakan sedemikian kerana dia menyembunyikan dirinya daripada kaumnya dan kerana sisi lembutnya kepada mereka. Perkataan Ka’ab diambil daripada “كَعْب الْقدَم” (tumit kaki). Manakala Ibn Duraid pula berpendapat, ia berasal daripada “كَعْبِ الْقَنَاةِ” (tiub saluran air). Selain itu, ada juga yang berpendapat, dia dinamakan sedemikian kerana ketinggian kedudukannya dan kemuliaannya dalam kalangan kaumnya. Oleh sebab itu, mereka patuh dan taat kepadanya sehinggakan mereka merekodkan tarikh kematiannya. Beliau juga ialah orang pertama yang menghimpunkan kaumnya pada hari Jumaat, yang dahulunya mereka namakan sebagai hari ‘Arubah sehinggalah datangnya Islam. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 163/7).
Pada hari tersebut, kaumnya (Quraisy) akan berhimpun kepadanya. Kemudian dia akan menyampaikan khutbah kepada mereka. (Dalam khutbah itu) dia mengingatkan mereka dengan perutusan Nabi SAW dan memberitahu mereka bahawasanya Nabi tersebut daripada keturunannya. Bukan itu sahaja, dia turut memerintahkan mereka untuk mentaati Nabi tersebut dan beriman dengannya. Selain itu, dia turut mendendangkan beberapa bait syair mengenai perkara tersebut diantaranya:
يَا لَيْتَنِي شَاهِدٌ فَحْوَاءَ دَعْوَتِهِ إذَا قُرَيْشٌ تُبَغّي الْحَقّ خِذْلَانًا
“Seandainya daku dapat menyaksikan ketika Baginda menyampaikan risalahnya.”
Tatkala Quraisy menjauhi kebenaran dan meninggalkannya (tidak menyokong).”
(Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 60/1; al-Raudh al-Unuf, 29/1). (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 6)
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445