Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kami sering dengar berkenaan dengan terpadamnya api Majusi ketika Rasulullah SAW lahir, begitu juga, istana Kisra runtuh dan gereja-gereja di sekitar tasik Sawah telah runtuh. Adakah ini benar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Berkenaan kelahiran Nabi SAW, tahun kelahiran yang disepakati adalah Tahun Gajah. Manakala bulan yang disepakati adalah bulan Rabiul Awal dan hari yang disepakati adalah hari Isnin. Namun, ahli sejarah telah berselisih pendapat berkenaan tarikh kelahiran Rasulullah SAW kepada beberapa pendapat. Antaranya:
- 12 Rabiul Awal pada Tahun Gajah, 531 M. Inilah pendapat Ibn Ishaq al-Zahabi dan al-Tabari.
- 9 Rabiul Awal bersamaan 20 April 571 M yang juga tahun pertama serangan tentera bergajah. Pendapat disokong oleh Syeikh Muhammad Sulaiman al-Mansurfuri dan Ahli Falak terkenal, Mahmud Basha.
Berkenaan masa kelahiran pula, terdapat dua pandangan, iaitu:
- Ketika fajar hampir menyingsing. Inilah pendapat al-Zubair bin Bakkar.
- Pada waktu pagi. Inilah pendapat al-Hafiz Abu al-Fadhl al-Iraqi.
Pendapat kedua ini telah ditarjihkan oleh ramai ulama’ seperti Sa’id bin al-Musayyib, Ibn Dihyah dan juga al-Zarkasyi. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 11-12)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan pertamanya, terdapat beberapa kisah dan peristiwa pada malam kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad SAW yang sangat masyhur dan tersebar luas di segenap dunia Islam. Ini membuktikan betapa umat Islam sangat menekankan ilmu pengetahuan berkaitan sirah kehidupan kekasih kita Rasulullah SAW. Antara peristiwa ini, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Musa bin Rasyid al-‘Azimi:
- Bergegar Istana Kisra semasa kelahiran Baginda SAW.
- Runtuhnya 14 beranda di Istana Kisra.
- Terpadam api yang menjadi sembahan kaum Majusi.
- Tasik Sawah (سَاوَة) mengering.
- Runtuhnya tempat-tempat sembahan di sekeliling Sawah (سَاوَة).
Antara yang meriwayatkan kisah dan peristiwa ini adalah Imam al-Baihaqi, sebagaimana yang disebutkan dalam perbahasan khusus tentang tanda-tanda yang berlaku pada malam kelahiran Rasulullah SAW. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, 1/126)
Riwayat tentang peristiwa-peristiwa ini juga juga dibawakan oleh Abu Nu‘aim al-Asbahani (82) dalam bab yang menyatakan tentang tanda-tanda kenabian Rasulullah SAW semasa lahir. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah, hlm. 138) Imam Abu Bakr al-Khara’iti juga membawakan kisah tentang peristiwa-peristiwa ini dengan jalur periwayatan yang sama. (Lihat Hawatif al-Jinan, hlm. 57)
Apabila diteliti dengan baik, kesemua jalur riwayat yang dibawakan melalui seorang perawi yang bernama Hani’ al-Makhzumi.
Hani’ al-Makhzumi ini adalah perawi yang tidak dikenali sebagai salah seorang sahabat. Ni sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani daripada Ibn al-Asir, katanya: “Tidaklah hadith ini (riwayatnya tentang tanda-tanda yang berlaku pada malam kelahiran Rasulullah SAW) menjadi bukti bahawa dia adalah seorang sahabat.” (Lihat al-Isabah, 6/411)
Imam al-Zahabi menukilkan riwayat ini daripada Ibn Abi al-Dunya, daripada Ali bin Harb al-Ta’i, daripada Abu Ya‘la Ayyub bin ‘Imran al-Badjali, daripada Makhzum bin Hani’ al-Makhzumi, daripada bapanya. Disebutkan bahawa ketika kelahiran Rasulullah SAW, bergegarnya Istana Kisra, runtuhnya 14 beranda istana tersebut, keringnya tasik Sawah (سَاوَة), terpadamnya api Parsi yang sebelum ini tidak pernah terpadam selama seribu tahun, dan banyak lagi peristiwa lain.
Kemudian, Imam al-Zahabi mengatakan bahawa riwayat hadith ini adalah munkar gharib. Dalam erti kata lain, ianya tidak sahih dan tidak thabit. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah min Tarikh al-Islam, hlm. 11-14)
Imam Ibn Kathir pula menghukumkan kisah ini sebagai gharib jiddan, atau tersangat ganjil. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 6/299)
Syeikh Muhammad al-Ghazali tidak bersetuju dengan beberapa pendapat berkenaan istana Kisra runtuh, api Majusi terpadam dan seumpamanya, katanya:
Sesetengah ulama’ meriwayatkan bahawa beberapa petanda perutusan Nabi SAW telah berlaku ketika kelahiran Baginda SAW: Empat belas lengkungan gerbang istana Kisra telah runtuh, api yang disembah oleh kaum Majusi telah padam, dan gereja-gereja di sekitar tasik Sawah (سَاوَة) telah runtuh setelah tasik itu kering sebagaimana kata-kata al-Busiri.
Syeikh Muhammad al-Ghazali menyatakan bahawa kata-kata tersebut adalah ungkapan yang salah tentang buah fikiran yang betul. Hal ini kerana kelahiran Nabi Muhammad SAW memang suatu perisytiharan bahawa kezaliman akan hilang, zamannya akan pupus dan tanda-tandanya akan hancur. (Lihat Fiqh Sirah oleh al-Ghazali, hlm. 75; Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 30)
Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri menyebutkan, telah diriwayatkan beberapa irhas (keajaiban yang berlaku sebelum dilantik menjadi nabi) yang berlaku semasa kelahiran junjungan kita Nabi Muhammad SAW, seperti robohnya 14 beranda Istana Kisra, terpadamnya api sembahan Majusi, runtuhnya gereja-gereja di sekeliling tasik Sawah (سَاوَة) selepas ianya kering. Beginilah yang diriwayatkan oleh al-Tabari, al-Baihaqi dan selain mereka. Sedangkan riwayat ini tidak ada sanad yang thabit. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 45)
Kesimpulan
Melihat kepada penghujahan yang dibawakan oleh ramai ilmuan Islam, kami cenderung memilih pandangan yang mengatakan bahawa riwayat tentang peristiwa ini tidak sahih. Benar sekali, menelusuri sirah hayat Rasulullah SAW merupakan salah satu tanda kecintaan kita kepada Baginda SAW. Akan tetapi, menjaga kesahihan dan kebenaran sesuatu kisah tentang kehidupan Baginda juga merupakan salah satu bukti yang kuat untuk menzahirkan kecintaan terhadap Baginda SAW.
Dalam pada itu, ulama’ juga tidak melarang periwayatan kisah dan sirah meskipun riwayatnya berstatus dha‘if. Akan tetapi, periwayatan dan kesahihan peristiwa yang berlaku adalah 2 perkara yang berbeza. Maka lebih afdhal bagi seseorang itu untuk mengambil kisah-kisah yang sahih untuk dijadikan ikutan dan pedoman, di samping mempelajari juga riwayat-riwayat yang dha‘if atau lemah bagi menambahkan ilmu pengetahuan tentang ilmu hadith dan periwayatan.
Semoga, kita diberikan kefahaman dan ilmu pengetahuan yang benar dan thabit tentang garis masa hayat Rasulullah SAW. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ انْفَعْنَا بِمَا عَلَّمْتَنَا وَعَلِّمْنَا مَا يَنْفَعُنَا وَزِدْنَا عِلْمًا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah manfaat terhadap apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami, ajarkan kepada kami sesuatu yang bermanfaat bagi kami, dan tambahkanlah kepada kami ilmu.”
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445