#3288: Bidan Yang Menyambut Kelahiran Nabi SAW

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Siapakah bidan yang menyambut kelahiran Nabi SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rasulullah SAW dilahirkan di kota Makkah. Baginda SAW dilahirkan di rumah Abu Talib di Syi’b Bani Hasyim. Bidan yang menyambut kelahirannya pada ketika itu ialah al-Syifa’, ibu kepada Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A.

Terdapat juga beberapa pandangan lain, iaitu: 

  • Dilahirkan di Syi’b Bani Hasyim seperti dihikayatkan oleh al-Zubair. 
  • Baginda SAW dilahirkan di al-Radm. 
  • Baginda SAW dilahirkan di Usfan. 

Ibn al-Athir berkata, “Dikatakan bahawa Rasulullah SAW menghadiahkan rumah tersebut kepada Aqil bin Abu Talib. Kemudian beliau meninggal dunia dan anaknya telah menjual rumah tersebut kepada Muhammad bin Yusuf. (Lihat Makrifah Rasulullah SAW, hlm. 12)

Nabi Muhammad SAW dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berasal-usul suci dan berketurunan mulia. la sebuah keluarga yang memiliki intipati segala kelebihan yang ada pada bangsa Arab. Keluarga Baginda SAW juga jauh daripada segala cacat-cela yang boleh memburukkannya. Kelahiran Nabi SAW dalam keluarga yang mempunyai kedudukan yang hebat merupakan sebahagian daripada faktor kejayaan yang Allah SWT sediakan untuk risalah Baginda. Ini kerana masyarakat Arab terdahulu berasaskan ketaksuban kabilah yang kuat, sampai ke tahap semua orang dalam sesuatu kabilah sanggup mati demi mempertahankan kehormatan kabilah mereka dan kehormatan sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan kabilah terbabit. Dalam suatu tempoh Islam pernah hidup dalam pengaruh adat resam yang diamalkan ini, sehinggalah Islam dapat berdikari sendiri. Sepertimana pohon yang berdikari dan tidak perlukan sesuatu yang menyokongnya, setelah pohon itu keras dan matang (Lihat Fiqh al-Sirah oleh Muhammad al-Ghazali, hlm. 70) (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 30)

Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (3/386) berkata: Al-Qadhi Iyadh menyebut daripada al-Syifa’ ibu bepada ‘Abd al-Rahman bin Auf, bahawa beliaulah bidan yang menyambut kelahiran Rasulullah SAW. 

Nama penuh al-Syifa’ ialah al-Syifa’ binti ‘Auf bin Abd bin al-Harith bin Zuhrah bin Kilab. Ibunya ialah Salma binti Amir. Beliau telah dinikahi oleh Auf bin Abd Auf bin Abd bin al-Harith bin Zuhrah. Lalu lahirlah antaranya Abd al-Rahman bin Auf, al-Aswad, Atikah.

Al-Syifa’ binti Auf telah memeluk Islam bersama anaknya Atikah binti Auf bin Abd Auf R.Anhuma. Kedua-duanya telah berbai’ah kepada Rasulullah SAW. Al-Syifa’ ibu kepada Abd al-Rahman bin Auf adalah daripada kalangan Muhajirin. Beliau telah berhijrah bersama saudara perempuannya Atikah (iaitu ibu bepada al-Miswar bin Makhramah). Al-Syifa’ telah meninggal dunia ketika Rasulullah SAW masih hidup.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 27 September 2023 bersamaan 11 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *